Kagum melihat semangat ibu kepada dua anak, Elyana, 34, yang sentiasa kuat walaupun kini sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser limfoma tahap empat. Namun raut wajahnya tidak sedikitpun mempamerkan penderitaan yang dihadapi.
Timbul kekaguman bagaimana Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal mengumpul kekuatan melawan penyakit berbahaya ditanggung sejak 10 tahun lalu.
Namun, selagi hayat dikandung badan, wanita kelahiran Shah Alam, Selangor itu tidak sesekali berhenti berharap untuk berjuang melawan penyakitnya.
Wajahnya sentiasa ceria melayani pengikut dalam Instagram (IG) Live, biarpun sedang menerima rawatan di hospital selama dua minggu. Tetap manis menguntum senyum, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Secara jujur, saya tidak tahu daripada mana datangnya kekuatan ini. Saya percaya berkat doa semua orang, ia bagaikan meniupkan semangat untuk saya terus bernafas.
“Saya hanya manusia biasa, ada masanya momen kecewa dan tertekan. Saya akui sukar menerima kenyataan pada awal disahkan menghidap kanser. Saya sering tertanya-tanya kenapa ia terjadi kepada saya?
“Saya juga mempersoalkan, kenapa orang lain menghidap penyakit sama boleh sembuh, tetapi saya tidak? Namun, lama kelamaan saya mula menyedari, semakin lama Allah menguji, semakin saya beroleh ketenangan,” katanya.
Demi menjalani rawatan dengan tenang, Elyana juga menjauhkan dirinya daripada insan negatif. Akuinya, rohani juga semakin terisi selepas hampir 10 tahun menjadi pesakit kanser.
Malah, pelakon drama Dunia Baru dan Misi Dania Cun itu berkata, dia juga tidak terlalu mengejar kebendaan. Andai sebelum ini pekerjaan menjadi fokus utama, tetapi kini sekadar membiarkan Allah mengatur rezeki buatnya sekeluarga.
“Saya percaya kepada rezeki Allah dan tidak mengejar kehidupan dan keduniaan seperti dahulu. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya beroleh ketenangan dan rezeki sentiasa ada,” katanya.
Berkongsi tahap kesihatannya, Elyana yang baru sahaja keluar hospital bagi menjalani rawatan berkata, dia optimis, meskipun sel kanser sudah merebak pada anggota badan yang lain.
Ads
“Saya menjalani 10 kali rawatan radioterapi dan dimasukkan dua beg darah. Untuk rawatan radioterapi kali ini, doktor memfokuskan kepada sel kanser yang tumbuh pada bahagian dada kerana ia agak besar berbanding lain.
“Sebenarnya, tujuan asal ke hospital tempoh hari hanyalah untuk menambah darah, tetapi apabila ujian imbasan PET dilakukan, doktor mendapati terdapat ketumbuhan pada bahagian tengah dada. Jadi, doktor terpaksa menjalankan rawatan radioterapi secepat mungkin.
“Kesan ketumbuhan ini, saya sukar bernafas, malah batuk tidak henti-henti hampir setahun. Apabila asyik batuk, saya mengalami kesukaran menelan hingga menjejaskan selera makan. Ia juga memberi kesan kepada berat badan.
“Selain dada, kanser turut merebak pada bahagian paru-paru, belakang rahim, sedikit pada usus dan beberapa bahagian badan lain. Dengan bantuan steroid, berat badan hanya 35 kilogram (kg) kini sudah naik kira-kira tujuh kg.
“Selera makan juga sudah semakin baik berbanding sebelum ini,” kata Elyana.
Biarpun sudah hampir sedekad berjuang melawan penyakit selepas melahirkan anak sulung, Elyana berkata, dia tidak pernah berputus asa mencari penawar penyakitnya. Bahkan, tidak pernah rasa takut, biarpun ramai membuat tanggapan penyakit kanser adalah ‘death penalty’ untuk penghidapnya.
“Bagi saya, tiada apa yang perlu ditakutkan, semua orang bakal berdepan kematian suatu hari nanti. Saya percaya pada qada dan qadar, ada orang tidak sakit pun tiba-tiba boleh meninggal dunia.
Ads
“Ada yang diuji tiada makanan, ada pula dengan kesakitan. Pendek kata, setiap manusia tidak terlepas melalui ujian masing-masing. Jadi, apa yang boleh dilakukan, hadapilah ujian dengan ikhlas.
“Paling penting, belajarlah untuk reda. Apabila kita reda, insya-Allah ketenangan akan datang,” katanya yang sedang berehat di rumah gembira selepas dua minggu terpisah dengan keluarga kecilnya.
Memulakan kerjaya nyanyian seawal usia 14 tahun, kongsi Elyana, dia dijangka akan dimasukkan semula ke wad untuk merawat sel kanser pada bahagian lain.
Bagaimanapun, katanya, dia masih berada dalam dilema sama ada memilih rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Memandangkan anak-anak masih kecil, Elyana lebih selesa memilih radioterapi berbanding kemoterapi. Ini kerana kesannya tidak seteruk kemoterapi yang akan menyebabkan tubuhnya menjadi lembik.
“Saya akan lakukan apa sahaja sebagai ikhtiar untuk sembuh. Selain perubatan moden, saya mahu mencuba rawatan alternatif. Apa sahaja cadangan kenalan, saya akan cuba.
Ads
“Malah, saya pernah berulang alik selama hampir tiga tahun ke Jakarta, Indonesia untuk menjalani rawatan. Namun, saya tidak dapat terbang ke sana disebabkan COVID-19.
“Saya serasi dengan perubatan di Jakarta. Saya rasa lebih bertenaga seperti orang tidak sakit. Rawatannya menggunakan kaedah alami dan tidak mengenakan apa-apa bayaran.
“Rawatan juga lebih kepada kerohanian. Setiap malam Jumaat, ceramah agama diadakan membuatkan saya beroleh ketenangan. Biasanya, saya berulang alik antara sebulan atau dua bulan sekali. Kos mungkin agak tinggi kerana perlu terbang ke seberang.
“Namun, saya menjadi tidak berkira soal duit disebabkan beroleh ketenangan dan bertenaga,” katanya.
Mengulas penampilan terbaharu yang kini berhijab, Elyana mengakui, dia sedang berubah perlahan-lahan untuk berhijab dengan sempurna.
Akuinya, dia sudah lama berniat memakai tudung, memandangkan usia semakin meningkat dan anak-anak kian membesar.
“Jika dahulu, saya sibuk memikirkan konsep album, bimbang imej tidak bersesuaian. Lagipun, masih darah muda dan saya pula tidak pakai seksi, jadi belum masanya untuk berhijab.
“Tetapi, kini usia pun semakin meningkat, anak-anak sudah membesar. Dengan ujian COVID-19, saya rasa tiba masanya untuk saya berubah perlahan-lahan dan memakai hijab,” katanya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak tahu dirinya mengandung ketika itu, Yatt Hamzah turut memberikan nama indah buat janinnya yang tidak sempat dilahirkan ke dunia. Biarpun usia kandungannya yang mengalami keguguran baru berusia dua bulan ketika itu, namun Yatt membuat keputusan untuk tetap memberikan nama buat anaknya.
Yatt memilih satu nama indah, Muhammad Abdullah buat bayi yang sepatutnya lahir sebagai anak kelimanya itu.
Menerusi satu entri di instagramnya, Yatt turut berkongsi sekeping gambar ketika menguruskan janinnya yang keguguran pada usia dua bulan. Ternyata kesedihan menyelubungi Yatt sekeluarga. Kata Yatt lagi, dia reda namun amat merindui anak kelimanya itu.
“Ya Allah aku redha namun aku tak boleh lupakan dia. Anakanda Bonda Muhammad.
“Tunggu Bonda, Abah dan Kakak-kakak di pintu Syurga ya Anak,” katanya berkongsi.
Terdahulu, Yatt memaklumkan dirinya mengalami keguguran selepas menyangkakan dirinya mengalami keracunan makanan akibat cirit-birit dan muntah ketika bercuti di Melaka. Rupa-rupanya ibu kepada empat anak ini mengalami keguguran. Dia langsung tidak menyangka kerana dia sendiri tidak tahu dirinya mengandung ketika itu.
“Bonda namakan anakanda bonda ini Muhammad Abdullah kerana dia tetap anugerah Allah untuk Bondanya. Peluang mengandungkannya itu mulia walaupun hanya sekejap saja. Bonda reda dengan taqdirNYA, mudah-mudahan ada hikmah yang tak ternilai.
InsyaaAllah ada janjiNYA yang baik-baik untuk ibu yang reda atas taqdirNYA walaupun hanya sempat mengandungkan beberapa hari sahaja. Wallahu a’lam. AL – FATIHAH,” katanya lagi.
Bagaimanapun tindakan Yatt memberikan nama kepada janinnya yang baru berusia dua bulan itu menimbulkan tanda tanya dikalangan pengikutnya.
Menerusi entri berlainan, ibu cantik ini membalasnya dengan penuh berkhemah malah turut menjelaskan kepada umum tindakannya memberikan nama biarpun tidak pernah mengetahui jantina anak yang dikandungnya lagi.
“Jika anak itu tiga bulan ke atas dan bernyawa, hukumnya sunat diberi nama. Jika tidak, maka tidak sunat diberi nama.
“Tapi tak salah untuk beri nama. Dia tetap anugerah Allah untuk ibunya. Peluang hamil itu mulia. Reda dengan takdir-Nya sudah tentu ada pahala buat ibu yang reda.
“Namakan juga dia sebagai nama lelaki seperti Abdullah. Dia hamba Allah walaupun belum ada roh,” kata Yatt menerusi entri berlainan.
Yatt mendirikan rumah tangga dengan juruvideo Mohamad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016. Pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata Suci Humaira Iqlima, Suci Hayfa Medina dan Suci Hawa Zulaikha serta Suci Hanania Malika melalui perkahwinan pertamanya.
EPISOD 5 PA&MA JOURNEY BERSAMA JOVIANINA: Little Farm Dekatkan Anak Dengan Alam
Kanak-kanak harus didedahkan dengan alam kerana aktiviti ini akan membuatkan mereka lebih berani. Jika kita tidak mendedahkan mereka dengan alam dari kecil, ia mungkin akan membuatkan anak-anak tidak berani untuk mencuba benda baru.
Saksikan Episod ke 5, Journey Bersama JoviaNina pada 23 September 2020, jam 9 malam hanya di Astro Ria saluran 104/124.
Selepas pemergian puteri kedua, Sharifah Nur Ainul Mardiah pada 26 November lalu, pelawak Ali Puteh berkongsi keadaan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir walaupun cukup perit untuk menerimanya.
Jelas Ali mesin bantuan pernafasan terpaksa dicabut selepas kali ketiga kerana akan memberi kesan kepada otak dan buah pinggang arwah anaknya.
“Saya baru kehilangan anak saya yang berusia tiga bulan selepas mengalami masalah injap jantung terbalik. Dia hanya mampu bertahan selama 16 hari selepas pembedahan.
“Dia tidak memberi respon positif kerana paru-parunya tidak dapat menyokong walaupun jantung berdegup seperti normal.
“Saya difahamkan oleh doktor ini merupakan kali ketiga mesin bantuan pernafasan dicabut selepas mendapati ia akan memberi kesan kepada otak dan buah pinggang. Pada kali pertama dan kedua dicabut masih boleh disambung semula.
“Jadi saya dan isteri diminta untuk reda sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini. Saya sebagai ayah terpaksa terima dengan qada’ dan qadar yang telah ditentukan. Mati itu pasti kan,” katanya kepada HLive.
Pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan akui berasa tertekan dengan dugaan yang diberikan kepadanya.
“Semasa diuji dengan ujian cukup besar ini, saya agak tertekan kerana masih dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) di samping perlu membahagikan masa untuk menjaga anak di hospital setiap hari.
Influenza atau flu merupakan satu jangkitan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza A, influenza B dan influenza C. virus-virus ini akan menjejaskan sistem badan melalui tekak dan juga paru-paru.
Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician and Technical Committee Chairman of Immunise4Life melalui temuramah secara dalam talian “Making Flu Prevention My New Normal” National Pledge Campaign, Flu boleh menjadi satu masalah kesihatan yang berbahaya jika tidak diberikan rawatan segera. Ini kerana flu berisiko mengakibatkan komplikasi kepada kesihatan seperti menyebabkan wujudnya masalah bronkitis, pneumonia, meningitis, kegagalan fungsi ginjal dan kegagalan fungsi hati yang boleh mengancam nyawa.
Simptom jangkitan influenza, seperti:
-Demam panas
-Kesakitan sendi dan otot
-Rasa keletihan yang kronik
-Sesak nafas
-Selesema atau hidung tersumbat
-Sakit kepala
Vaksin untuk bayi bawah 6 bulan?
Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail “Tiada vaksin untuk bayi dibawah umur 6 bulan. Bagi mengelakkan bayi terkena jangkitan influenza pastikan anak anda tidak dicium oleh orang yang bergejala dan pastikan anda menjaga kebersihan dan ‘protect’ bayi anda kerana daya imunisasi mereka masih lemah.”
Suntikan setiap tahun
Mungkin ada diantara anda atau anak sudah mendapatkan suntikan ini pada tahun lalu. Tetapi anda masih perlu untuk mendapatkan suntikan influenza pada setiap tahun. Ini kerana virus yang menyebabkan influenza akan berubah setiap tahun. Jadi keperluan untuk mengambil vaksin ini pada setiap tahun adalah amat digalakkan. Bukankah mencegah itu adalah sesuatu yang lebih baik daripada merawat?
Kematian
Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus influenza sebenarnya berlaku sepanjang tahun di kawasan tropika seperti Malaysia.
Wabak itu juga amat aktif pada musim sejuk iaitu pada November hingga Mac di Hemisfera Utara dan dari April hingga September di Hemisfera Selatan. Ia juga mudah tersebar di kawasan beriklim sederhana.
Jika diamati, laporan tahun penularan wabak berkenaan oleh WHO agak menakutkan. Dianggarkan tiga hingga lima juta kes dalam kategori sakit teruk yang mana 250,000 ke 500,000 kes melibatkan kematian.
Di negara perindustrian misalnya, kebanyakan kes kematian berkaitan dengan influenza sering direkodkan oleh golongan dewasa berumur 65 tahun ke atas.
Kajian juga menunjukkan, kira-kira 99 peratus kes kematian dalam kalangan kanak-kanak terdiri daripada mereka yang berumur di bawah umur lima tahun.
Melihat data WHO berkenaan, wajarlah kita semua berasa bimbang dengan situasi penyakit semasa itu.
Pun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap demam, batuk dan selesema merupakan satu perkara biasa, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak kecil. Cukupkah sekadar memberi si kecil ubat demam secara berterusan? Adakah pendekatan itu tepat? Atau kita dalam kategori ‘tunggu dan lihat’ meskipun anak sudah lebih seminggu demam? Jika ya, anda perlu segera mengubah sikap itu.
Sertailah ikrar ‘Cegah Flu, Norma Baharu’ sebagai tanda ingin melindungi diri masing-masing dan orang tersayang daripada influenza hanya dengan satu klik www.actoflove.ifl.my. Para selebriti seperti Scha Alyahya, Awal Ashaari, Alyssa Dezek, Dr Say Shazril, Betty Rahmad dan Dr Halina Mohd Yunos turut bersama berikrar untuk mencegah flu; jom ikrar bersama!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki buat rakyat negeri Pahang! Setiap kali Ramadan menjelang, mesti ramai penjawat awam tertanya-tanya, "Bonus raya ada ke tahun ni?". Alhamdulillah, kerajaan akhirnya mengumumkan...