Setelah kisah adik Nadhim Nubhan yang disahkan kanser ( B-cells acute lymphoblastic leukemia) disiarkan 21 Julai secara terperinci di Facebook Pa&Ma, ibu adik Nadhim mengucapkan terima kasih dan bersyukur apabila wang bagi kos perubatan Nadhim sudah mencukupi.
Tiada kata-kata yang mampu diucapkan selain ucapan terima kasih atas keprihatinan dan sikap pemurah rakyat Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN [Masih Perlukan RM20,000 Untuk Dana Ubat Nadhim. Ada Yang Sudi Bantu?]
Terima Kasih Rakyat Malaysia!
Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah ke hadrat illahi.
ALHAMDULILLAH wang bagi kos perubatan Nadhim Nubhan sudah mencukupi. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian yang membantu dan dengan ini saya ingin menutup akaun sumbangan untuk anak saya Nadhim Nubhan.
Setelah kisah Nadhim Nubhan tular menerusi Facebook Jumaat (17 Julai) ramai yang simpati dan menyalurkan sumbangan.
Terima kasih juga kepada CAKNE – Persatuan Sokongan Kanser Kanak Kanak PPUKM , Pa&Ma dan semua yang menyiarkan kisah anak saya di mana sehingga hari ini duit terkumpul sebanyak RM70,000.
Saya tidak mengenali mereka yang membantu, tapi sifat pemurah rakyat Malaysia amat saya hargai.
Saya Nuratikah Mat Osman dan suami Nazwan bin Nayan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan bantuan untuk menampung kos perubatan anak kami. walaupun yang tidak mengenali diri saya, keluarga saya, tetapi tetap berusaha share di fb, IG tentang anak saya dan menghulurkan sumbangan. Perasaan saya sebagai ibu tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian.
Harapan kami sama seperti ibu bapa lain, ingin melihat anak kami kembali sihat dan bermain bersama kawan-kawan yang lain. Mohon doakan anak kami dan pesakit-pesakit kanser lain sembuh seperti sedia kala. Mungkin antara kita ada doa yang dimakbulkan.. Jutaan terima kasih sekali lagi, semoga urusan kalian juga dipermudahkan.
Kos ubat mencecah RM80,000
Sebelum ini Nuratikah terpaksa membuka tabung dana untuk menyara kos ubat anaknya yang berjumlah RM74101. 50 untuk kelangsungan hidup yang lebih cerah supaya Nadhim dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Ini kerana Nuratikah terpaksa bercuti sementara dari bekerja untuk menjaga Nadhim. Buat masa ini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya saja dan tak mampu nak menampung perbelanjaan kos ubat-ubatan ini.
Harapan saya dengan terkumpulnya dana ini, kami suami isteri dapat melihatnya membesar dengan sihat dan ceria.
Doktor akan mulakan untuk rawatan guna ubat Blinatumomad
Insya-Allah Khamis (23 Julai) doktor akan beritahu untuk guna ubat Blinatumomad.
Ubat khas Blinatumomad (blincyto) doktor suggest untuk cure kanser anak dari terus menyerang semula. Risiko sel kanser kembali adalah tinggi jika tidak di kawal. Imunoterapi adalah sejenis rawatan barah yang membantu sistem imun anak melawan kanser.
Sistem ketahanan badan membantu badan melawan jangkitan dan penyakit lain berbeza dengan kimoterapi sebelum ini mempunyai kesan sampingan yang tinggi, risiko seperti jangkitan seperti kulat, demam tinggi, virus, buah pinggang dan menganggu organ lain seperti hati dan limfa.
Bagi mengelakkan risiko seperti yang saya nyatakan ubat blinatumomad (blincyto) mempunyai kesan sampingan yang rendah lebih rendah dari 5 peratus. Imunoterapi adalah sejenis terapi biologi. Terapi biologi adalah sejenis rawatan yang menggunakan bahan yang terbuat dari organisma hidup untuk merawat barah.
Ubat Blinatumomad ni akan masuk melalui kimoport di dada nadhim selama 24 jam dan 28 hari tanpa henti. Ubat ini akan terus menerus masuk ke dalam badannya.