Penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar bakal menimang cahaya mata ketiga apabila isterinya, Sha Dila Halid kini hamil tiga bulan.
Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia mendapat berita gembira itu sekembalinya dari United Kingdom (UK) pada 21 Februari lalu.
“Sebaik tiba dari UK, isteri mengadu kurang sihat. Jadi, saya terus membawanya ke hospital. Doktor kemudian memaklumkan dia hamil tujuh minggu.
“Kami tidak pernah merancang pun, tapi ini adalah rezeki. Anak adalah amanah Allah dan kami bersyukur atas kurniaan ini. Apa saya boleh katakan, tahun ini tahun rezeki saya. Lagipun saya memang mahukan anak ramai,” katanya.
Ads
Alif yang juga pengacara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 33) mengakui perlu bekerja keras demi keluarga yang semakin bertambah.
“Allah menjanjikan rezeki bagi setiap anak. Dalam masa sama, membesarkan anak ada cabaran tersendiri terutama dalam zaman serba maju ini. Disebabkan itu, saya kena bekerja keras.
“Apa pun, saya sangat gembira dan teruja. Malah, kedua ibu bapa saya antara yang paling teruja kerana tahun ini saja mereka bakal mendapat tiga cucu apabila dua adik saya pun sedang hamil,” katanya.
Ads
Mengenai jantina anak, Alif berharap dikurniakan anak lelaki selepas yang pertama dan kedua adalah anak perempuan.
“Memandangkan sudah dapat dua anak perempuan, jadi saya berharap dikurniakan anak lelaki pula. Namun, dalam soal ini ia ditentukan Allah. Kita hanya boleh cakap saja. Paling penting anak yang bakal lahir sihat, selamat dan sempurna. Insya-Allah, doakan segalanya dipermudahkan,” katanya.
Alif juga berkongsi, dua anaknya Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2, memanggil anak dalam kandungan isterinya dengan ‘baby brother’.
“Setiap kali pegang perut mak mereka, mesti panggil ‘baby brother’. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin mereka pun teringinkan adik lelaki. Apa boleh dikatakan, nampak keterujaan mereka. Setiap hari bertanya mengenai adik mereka,” katanya.
Berbengkung memberikan banyak manfaat kepada ibu selepas bersalin. Antara kebaikan berbengkung buat ibu-ibu selepas melahirkan antaranya ialah mengelakkan perut daripada masuk angin.
Berbengkung Banyak Manfaat Untuk Ibu Lepas bersalin
Rutin berpantang berbengkung yang juga dikenali sebagai berbarut ini dilakukan oleh wanita sejak berzaman kerana terbukti memberikan banyak manfaat kepada wanita selepas bersalin.
Menurut juruterapi berpengalaman Noraziati Ahmad dari Urban Women Spa, wanita tidak sepatutnya mengabaikan rutin berpantang selepas bersalin. Kini banyak jenis bengkung terdapat di pasaran dan tidak menjadi alasan untuk melengah-lengahkannya. Pilihlah yang mana sesuai dengan rutin berpantang dan praktikaliti kepada anda.
LEBIH LABUH KAIN BENGKUNG MAKA LEBIH BAIK KERANA JIKA LEBIH PANJANG IA AKAN MEMBANTU MELIPUTI DARIPADA BAHAGIAN BAWAH PAYUDARA SEHINGGA KE PAHA UNTUK KESAN YANG LEBIH OPTIMUM.
BILA BOLEH MULA BERBENGKUNG?
Berbengkung bagi wanita selepas bersalin normal dilakukan tiga hari selepas bersalin. Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean pula, bolehlah mula memakai bengkung bertali dua minggu selepas bersalin tetapi dilonggarkan pada bahagian atas parut bedah.
Bagaimana pun semasa ibu ketika di dalam wad selepas bersalin sudah boleh mula memakai bengkung lembut berpelekat sebagai langkah awal mengelakkan perut menggeleber dan ibu lebih selesa.
Menurut Noraziati, dalam rutin berpantang harian, berbengkung dilakukan selepas selesai mandi herba, berurut dan bertungku. Selepas berbengkung, lazimnya ibu akan diberikan jamu kencur untuk pemulihan dalaman.
11 MANFAAT BERBENGKUNG
1. Bengkung mengampu bahagian perut. Ibu rasa lebih selesa untuk bergerak selepas bersalin terutama sekali semasa di hospital.
2. Lazimnya wanita selepas bersalin perutnya tidak segera mengempis. Berbengkung mengelakkan perut menggeleber dan lama-kelamaan akan mengempiskan. Jika diamalkan dengan disiplin pemakanan yang sihat, ibu boleh mendapatkan bentuk badan yang ramping dan perut kempis.
3. Mengelakkan perut ibu dimasuki angin. Angin ini jika tidak dibendung dipercayai boleh menyebabkan meroyan.
4. Menggalakkan pengecutan rahim.
5. Memecahkan lemak.
6. Meletakkan kembali batu merian pada tempatnya iaitu di antara pusat dan ari-ari.
7. Menggalakkan pengeluaran darah nifas terutama sekali darah yang berketul.
8. Memudarkan parut regangan pada perut (jika dipakai bersama dengan herba barut).
9. Merapatkan kembali tulang rusuk dan pelvis yang mengembang semasa hamil.
10. Membantu ibu memperbaiki postur badan.
11. Dipercayai boleh mengelakkan sakit belakang kepada ibu dalam jangka masa panjang.
Ibu hamil biasanya kurang peka dengan diet sihat yang perlu diikuti sepanjang tempoh mengandung. Kebanyakan ibu akan makan mengikut nafsu. Akibatnya berat badan akan naik mendadak dan berpotensi untuk menghidap diabetes.
BERAPA BANYAK SEPATUTNYA BERAT NAIK?
Bagi memudahkan anda untuk memahami formula kenaikan berat badan ketika hamil, lihat info ini. Secara ringkas berat badan ibu hamil harus naik sebanyak:
Bagi wanita yang mempunyai BMI normal sebelum mengandung, jumlah peningkatan ketika trimester pertama adalah 5.2kg. Jumlah peningkatan yang baik setiap minggu adalah 0.40kg.
MANAKALA ibu yang hamil anak kembar pula perlu mendapatkan jumlah kenaikan berat badan antara 15kg – 20kg sepanjang tempoh mengandung iaitu lebih kurang 0.68kg seminggu.
Sebenarnya kenaikan berat badan semasa hamil berbeza mengikut BMI seorang wanita sebelum hamil. Namun secara keseluruhanya (bagi wanita BMI normal) adalah 11.5kg – 16kg.
KENAPA BERAT BADAN BOLEH NAIK?
Pertambahan berat badan yang naik mendadak adalah berpunca dari pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, gula, dan berkalori tinggi tanpa kawalan. Ada pendapat yang mengatakan faktor genetik menjadi penyebab kenaikan berat badan ibu hamil, namun tiada hasil kajian yang menyokongnya.
Sumber foto: ww.freepik.com
Semasa pemeriksaan bulanan dilakukan ke atas ibu hamil, doktor akan menyarankan ibu untuk minum air gula jika didapati beratnya naik terlalu banyak. Fungsi air gula adalah untuk mengetahui sama ada ibu mengandung itu menghidap gestatinal diabetic mellitus (kencing manis ketika hamil) atau tidak. Jika penyakit ini dapat dikesan dari awal, pemantauan kesihatan akan dibuat dengan lebih ketat dan si ibu akan diberikan diet seimbang yang harus dia ikuti.
Jika tidak diberi perhatian, ibu hamil mungkin menghidap kencing manis dan darah tinggi tanpa sedar. Si ibu akan berisiko untuk melahirkan melalui pembedahan atau bayi dalam kandungan bersaiz besar. Jika bayi terlebih berat, dia juga berkemungkinan menghidap hypoglycaemia (kurang glukosa dalam darah).
JAGA PEMAKANAN
Bagi mengelak berat badan naik secara mendadak adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, banyak gula dan tinggi kandungan kalori.
Sumber foto: ww.freepik.com
Selain itu, si ibu perlu belajar untuk mengawal porsi makanan yang diambil. Susunan waktu makan yang teratur juga boleh membantu untuk mengelakkan kenaikan berat badan yang mendadak.
Apakah Pecahan Berat Badan Ketika Hamil? Adakah Semuanya Berat Ibu Dan Anak?
Tidak. Pecahan berat badan ini adalah pada bayi (3.55kg), uri (0.67kg), air ketuban (0.896kg), payudara (0.448kg), darah (1.34kg), cecair (3.2kg) dan pengembangan rahim (1.12kg).
Tiada diet yang terperinci ketika sedang mengandung, si ibu hanya perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan memastikan setiap pemakanan yang diambil seimbang dengan porsi yang sederhana.
Pengambilan susu tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan. Berat badan boleh naik jika anda minum susu bersama makanan yang tidak sihat. Jadi janganlah risau untuk minum susu ketika hamil kerana khuatir pertambahan berat badan.
Sesetengah wanita jika sememangnya sudah bersedia untuk hamil, pasti gembira jika ujian UPT yang dibuat menunjukkan keputusan positif. Walaupun begitu, tetap ada isteri yang masih tidak bersedia untuk hamil terlalu awal terutamanya jika pasangan tersebut masih muda atau mengamalkan perhubungan jarak jauh.
Sesetengah keputusan UPT, walaupun positif tetap tidak boleh diyakini sehingga seorang wanita itu membuat ujian bersama doktor. Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan alat ujian kehamilan tercemar dan rosak sehingga mengganggu keputusannya. Dr Zubaidi Hj Ahmad turut berkongsi tentang isu wanita tidak hamil walaupun ujian UPT positif melalui laman Facebooknya.
Sumber foto: www.freepik.com
TIDAK HAMIL TAPI UPT POSITIF?
Saya tersenyum bila seorang bakal ibu yang baru saja hamil, tetapi belum bersedia untuk hamil, menelefon saya.
“Doktor saya belum bersedia untuk hamil. Saya masih muda. Masih lagi belajar di universiti. Suami saya tinggal berjauhan. Saya anak yatim. Kami belum bersedia…”
Ya puan. Apa masalahnya?
“Saya sedih doktor. Ujian UPT saya pagi tadi POSITIF. Saya tidak sangka yang saya hamil”
Perbualan kami panjang. Sepatutnya kerunsingan ini dikongsikan bersama suami. Fikir apa yang harus dilakukan. Sama-sama berjumpa doktor. Minta nasihat.
Kerisauan ini bukan patutnya dihadapi sendirian oleh isteri.
Di akhir perbualan, beliau mahu tahu bagaimana menggugurkan kehamilan.
Saya mengucap panjang dalam hati. Tak mahu dia berkecil hati dan mengatakan saya tak empati.
“Begini puan. Puan harus berjumpa doktor dulu. Paling baik bersama suami. Bincang dengan suami dan doktor bagaimana nak buat.”
“Yang penting ialah pastikan atau confirmkan kehamilan puan”
“Bolehkah UPT positif tapi saya tidak hamil?”
“Ya ia boleh berjadi. Puan harus buat pemeriksaan ultrasound jika kehamilan puan sudah memasuki 6 minggu. Pemeriksaan UPT hanya ujian saringan. Ia bukan pengesahan. Ia harus dipastikan dengan pemeriksaan ultrasound.”
Banyak pemeriksaan UPT POSITIF tetapi wanita itu tidak hamil. Sementara itu ada pemeriksaan UPT NEGATIF TETAPI wanita itu hamil.
KEPUTUSAN UPT ‘SALAH’
Oleh setiap ujian UPT yang dilakukan sendiri haruslah dirujukkan kepada doktor kerana ada kalanya ujian ini mengelirukan.
Ada beberapa keadaan di mana ujian UPT positif padahal wanita itu tidak hamil. Pertama, apabila alat ujian UPT telah tamat tempuh atau disimpan di tempat yang panas. Oleh itu sebelum melakukan ujian ini, perhatikan tarikh luputnya. Kadang kala kita simpan alat itu terlalu lama dan terlupa ia telah pun mencapai tarikh luput. Malah ada yang disimpan di tempay yang panas sehingga merosakkannya.
Kedua, keadaan di mana telah mengalami keguguran dan menyangka darah yang keluar itu adalah darah haid. Padahal darah yang keluar adalah darah keguguran. Dalam kes ini ujian UPT mungkin masih menunjukkan tanda positif, tetapi kehamilan telah berakhir.
Sumber foto: www.freepik.com
Saya percaya melakukan ujian UPT selepas beberapa hari, ujian UPT akan bertukar menjadi negatif.
Ketiga, apabila seorang wanita yang sedang dalam rawatan kesuburan dan diberikan suntikan kesuburan. Ramai yang tidak sabar untuk mengetahui sama ada beliau hamil atau tidak selepas beberapa hari bersama suami.
Ujian UPT akan menunjukkan keputusan positif, pada wanita itu tidak hamil.
UJIAN UPT MUNGKIN POSITIF KERANA ADA CYST
Keempat, apabila seorang wanita mengalami beberapa penyakit seperti ovarian cyst dan kanser ovari. Tidak semua semua kes ovarian cyst yang menunjukkan ujian UPT positif. Jadi ujian UPT bukanlah saringan untuk ovarian cyst.
Ujian UPT juga mungkin positif bagi wanita yang mengalami kanser ovari yang advanced bila sel-sel kanser telah mereka ke bahagian lain.
Jadi apa yang perlu dilakukan bila ‘mendapati berita gembira apabila ujian UPT yang dilakukan sendiri memberikan keputusan positif’?
Jika ujian UPT dilakukan terlalu awal, belum cukup (6 minggu), sebaiknya melakukan semula selepas dua minggu kemudian.
Jika ujian itu telah dilakukan selepas 6 minggu, elok buat pemeriksaan doktor bagi melakukan ujian pemeriksaan ultrasound.
Jadi jangan terlalu gembira sebelum pengesahan dilakukan.
Sebagai hadiah sempena Hari Raya dan bagi meringankan beban, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56.