Penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar bakal menimang cahaya mata ketiga apabila isterinya, Sha Dila Halid kini hamil tiga bulan.
Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia mendapat berita gembira itu sekembalinya dari United Kingdom (UK) pada 21 Februari lalu.
“Sebaik tiba dari UK, isteri mengadu kurang sihat. Jadi, saya terus membawanya ke hospital. Doktor kemudian memaklumkan dia hamil tujuh minggu.
“Kami tidak pernah merancang pun, tapi ini adalah rezeki. Anak adalah amanah Allah dan kami bersyukur atas kurniaan ini. Apa saya boleh katakan, tahun ini tahun rezeki saya. Lagipun saya memang mahukan anak ramai,” katanya.
Alif yang juga pengacara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 33) mengakui perlu bekerja keras demi keluarga yang semakin bertambah.
“Allah menjanjikan rezeki bagi setiap anak. Dalam masa sama, membesarkan anak ada cabaran tersendiri terutama dalam zaman serba maju ini. Disebabkan itu, saya kena bekerja keras.
“Apa pun, saya sangat gembira dan teruja. Malah, kedua ibu bapa saya antara yang paling teruja kerana tahun ini saja mereka bakal mendapat tiga cucu apabila dua adik saya pun sedang hamil,” katanya.
Mengenai jantina anak, Alif berharap dikurniakan anak lelaki selepas yang pertama dan kedua adalah anak perempuan.
“Memandangkan sudah dapat dua anak perempuan, jadi saya berharap dikurniakan anak lelaki pula. Namun, dalam soal ini ia ditentukan Allah. Kita hanya boleh cakap saja. Paling penting anak yang bakal lahir sihat, selamat dan sempurna. Insya-Allah, doakan segalanya dipermudahkan,” katanya.
Alif juga berkongsi, dua anaknya Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2, memanggil anak dalam kandungan isterinya dengan ‘baby brother’.
“Setiap kali pegang perut mak mereka, mesti panggil ‘baby brother’. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin mereka pun teringinkan adik lelaki. Apa boleh dikatakan, nampak keterujaan mereka. Setiap hari bertanya mengenai adik mereka,” katanya.
Sumber: Harian Metro & Ig Alif Satar