Kehamilan

Teringin Anak Yang Lahir Jadi Baik, Isteri Mengandung Suami Pun Kena Jaga Perangai

Share

Masa mengandung bukan ibu sahaja yang kena jaga kelakuan tetapi ayah pun sama. Perangai ayah terhadap isteri semasa mengandung mempengaruhi kelakuan bayi kelak.

Pernah tak anda perasan si kecil yang baru menginjak usia setahun sudah semakin bijak dan adakalanya menunjukkan kelakuan seperti orang dewasa. Kadang kala perangainya saling tak tumpah seperti si ayah!

Si kecil sudah pandai bersuara garang dan meninggi suara, padahal tak pernah pula kita mengajar dia berkelakuan sedemikian. Dalam fikiran mulalah terbayang ini mesti pengaruh kawan-kawan yang sama tinggal di taska atau rumah pengasuh.

Sebenarnya tanpa kita sedari, tindak-tanduk kita sendiri yang telah mempengaruhi dan membentuk karektor si anak. Orang tua-tua selalu pesan kalau tengah mengandung, ibu perlulah menjaga kelakuan dan kata-kata. Takut nanti anak dalam kandungan ikut perangai yang tak elok.

Tetapi kita lupa bahawa bukan ibu sahaja yang perlu menjaga perilaku sebaliknya bakal ayah juga perlu menjaga perangai dan tindak-tanduknya terhadap isteri yang sedang hamil.

Perkongsian daripada Dr.Suriyakhatun,  sangat menarik untuk dijadikan panduan kepada bakal ibu dan ayah sekalian.

Menurut beliau perangai dan tindak-tanduk ayah terhadap isterinya dan perasaan serta emosi ayah semasa ibu sedang mengandung akan mempengaruhi bayi yang dikandung! Emosi ayah semasa ibu mengandung mempengaruhi perkembangan anak yang dikandung.

Beliau yang menghadiri bengkel Homeopathy di Cyberjaya University College of Medical Sciences turut tertarik dengan perkongsian daripada salah seorang pensyarah jemputan iaitu Professor Dr Parinaz Humranwala.

Dr Parinaz telah menghasilkan sebuah software yang boleh menganalisa ‘temperament’ seseorang dan dikaitkan dengan ubat homeopati yang serasi.

Dr. Suriyakhatun memberitahu pengalamannya menemui ramai ibu hamil yang tertekan dengan suami mereka dan mengadu tentang perbuatan suami sepanjang mereka mengandung.

Jaga Kelakuan Ya Bakal Ayah!

“Ada kalanya saya akan panggil suami mereka untuk terangkan kepadanya supaya lebih prihatin dan berikan perhatian yang lebih kepada isteri serta sabar melayan kerenah isteri yang sedang mengandung namun tidak semua suami boleh terima apa yang saya katakan.”

Kongsinya lagi, Dr Parinaz turut menceritakan sebuah kisah seorang suami yang pemabuk (di India) dan sering memukul isterinya setiap malam setelah balik dari ‘bar’ . Keesokan paginya dia amat menyesal dan berjanji tidak akan buat namun tetap mengulanginya juga.

Semasa isterinya mengandung, isterinya membuat keputusan untuk lari dari rumah maka semasa tujuh bulan mengandung dia berpindah ke bandar lain dan mengutus email kepada suaminya memberitahu untuk menuntut cerai dan tidak akan balik lagi.

Semasa anak lelakinya berumur 5 tahun, anaknya telah memukul ibunya pada waktu tengah malam dan keesokan pagi, apabila ibunya bertanya dia menjawab betapa dia sayang sangat kepada ibunya dan tidak pernah dan tidak akan memukul ibunya.

Nyata perbuatan memukul si ibu di tengah malam tidak disedarinya. Mujurlah Dr Parinaz berjaya merawat emosi pelik anak itu. Perangai pelik ini mungkin telah diturunkan kepadanya oleh si ayah semasa ibunya mengandung dahulu.

Apa jua pengaruh buruk yang berlaku semasa ibu mengandung mempengaruhi kandungan dan jangan ingat hanya emosi sahaja yang boleh terjejas, mungkin ada juga fizikal yang akan terjejas!

Sumber: Dr.Suriyakhatun

Published by
Wan Amy