Selepas empat hari di rawat di hospital swasta kerana tidak sedarkan di rumah pengasuh di Bandar Puchong Jaya, Serdang, akhirnya bayi perempuan berusia 10 bulan disahkan telah meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata mangsa dikejarkan ke hospital selepas ibu dan bapa mangsa dihubungi pengasuh berusia 40 tahun memaklumkan bayi mereka tidak sedarkan diri kira-kira 12 tengah hari, Selasa lepas.
Bergantung pada mesin bantuan pernafasan
Menurutnya, pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan mengesyaki terdapat unsur dera.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa disahkan kematian otak dan bergantung pada mesin bantuan pernafasan sahaja sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.19 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesan jatuh dari tempat tinggi
Ismadi berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang pada 1.40 tengah hari tadi mendapati punca kematian adalah pendarahan di kepala mangsa kesan jatuh dari tempat tinggi.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh dua kali iaitu di rumahnya sendiri dan rumah pengasuh, namun tiada unsur penderaan berlaku.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.
Sumber: BERNAMA
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.