Berpantang tanpa anak bukanlah sesuatu yang mudah setelah mengharunginya dalam tempoh 9 bulan bersama bayi dalam rahim. Emosi ibu perlu kuat dan sokongan ahli keluarga penting untuk kembalikan semula kekuatan ibu yang masih bersedih.
Seperti kisah Puan Yantee Ikhsan, kehilangan bayi sewaktu nak melahirkannya benar-benar sedih walaupun hati ini dah reda dengan ketentuan Allah.
Jarak 6 tahun dengan anak ketiga
Baru ada kekuatan untuk mencoret kisah pemergian anak syurga selepas pemergiannya baru-baru ini. Saya melahirkan anak yang ke-4 ini pada 02122020 jam 0220am di Hospital Teluk Intan, Perak.
Saat itu memang terlalu sakit untuk melahirkan. Maklumlah sudah 6 tahun jarak baby dengan kakaknya. Pelbagai perasaan semua ada pada waktu. Tanda pun sudah keluar, tiba saja ke dewan bersalin terus cek bukaan dan sudah 6cm bukaannya.
Dah tiada denyutan jantung
Ketika itu juga, jururawat dan doktor memeriksa denyutan jantung bayi, bacaan jantungnya sangat lemah. Doktor suruh tukar ke scan, pindah katil sebelah. Doktor yang bertugas waktu itu terus menghubungi doktor pakar.
Dalam hati ini apakah yang bakal terjadi. Mulut saya tak henti-henti berzikir untuk tenangkan diri sendiri. Masa itu datang doktor pakar dan mereka terus scan untuk mengetahui keadaan bayi dalam kandungan.
Pada masa itu juga, terdengar doktor beritahu heart burn! Dalam hati ini tak berhenti zikir dan berdoa agar ibu dan bayi selamat. Tambah lagi dengan sakit kontraksi dan dengar doktor cakap bayi tiada denyutan lagi. Memang serba tak kena. Allah saja yang tahu perasaan aku waktu itu.
Segera untuk lakukan pembedahan
Doktor panggil suami dan berbincang untuk buat pembedahan segera. Suami pun setuju. Tempoh itu juga, bacaan darah terus tidak stabil, 190/110 dan turun naik tingginya. Doktor beri borang dan saya terus sign, kemudian ditolak ke dewan operate jam 0130am.
Epidural sebanyak 7x barulah rasa kebas dan terus tidak sedarkan diri. Saya rasa lama sangat czer kali ni, tepat jam 0220am lahir seorang bayi lelaki tanpa sebarang tangisan. Jururawat tepuk bahuku supaya terjaga dan dukung bayiku. Dalam keadaan masih lemah, ku lihat putih gebu, tembamnya dia. Saya katakan baby boy, dan jururawat minta izin bawa bayiku kepada ayahnya.
Bayi lahir seberat 6 kilogram
Betul-betul selesai dalam dewan bedah dalam jam 0530am. Saya diletakkan dalam bilik CCU labour room 24jam untuk pemantauan rapi. Pagi itu dalam 10 orang doktor datang, salah seorang bertanya, “Puan, tau ke berat baby berapa?. Aku menjawab “tak tahu doktor”. Dia beritahu bahawa bayi yang dilahirkan adalah seberat 6kg dan untuk pertama kalinya di hospital ini terima bayi 6kg.
Terkejut juga mendengarnya kerana 2 minggu sebelum itu semasa scan, anggaran berat baby dalam 2.57kg. Cepatnya kau membesar wahai anak. Dalam jam 12.30 tengah hari suami datang untuk menyerahkan barang keperluan. Masa itulah suami beritahu anak telah selamat dikebumikan di sebelah pusara datuknya. Syukur dipermudahkan urusanmu wahai wildan firdausi ibu ayah.
“Bergembiralah di sana sayang”
Selama 5 hari berada dalam wad, para doktor dan jururawat baik-baik dan sentiasa beri nasihat dan semangat untuk saya kuat hadapi dugaan ini. Berpantang tanpa anak sangat-sangat berlainan. Suami cakap pantang norma baru. Dia pujuk supaya tidak bersedih, tetapi hakikatnya dia pun sedih kerana ini adalah yang terakhir di atas permintaannya, kerana faktor umur dan kesihatan.
Tetapi apakan daya, Allah merancang semuanya, semoga ada hikmah di sebalik semua kejadian ini. Genap 86 hari pemergianmu, ibu baru ada kekuatan untuk ziarah pusaramu. Akan tetapi untuk membelek-belek bajumu ibu belum betul-betul kuat. Ayah simpan rapi peralatanmu dengan kemas. Al-fatihah buat wildan firdausi ibu ayah, Muhammad Syamil Hazwan Bin Mohd Jamil.
Kredit: Yantee Ikhsan
**Mahu dapatkan barangan keperluan anak pada harga istimewa, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)