Bukan hanya ibu hamil yang berdebar menanti kelahiran, bakal ayah juga turut berdepan dengan debaran yang sama, saat bergelar menjadi ayah. Debaran inilah yang sedang dilalui pelakon Fattah Amin, saat menanti kelahiran anak pertama mereka pada Oktober nanti.
Usia kandungan Fazura yang sudah pun memasuki 7 bulan membuatkan bakal ayah ini semakin berdebar-debar.
Melalui perkongsiannya di Astro Gempak, Fattah mengakui dia cukup berdebar menantikan kelahiran bayi sulung mereka. Namun dalam masa yang sama amat teruja malah tidak sabar untuk melihat sendiri wajah si comel yang bakal menyinari hidupnya dan Fazura kelak.
“Sekarang kehamilan isteri saya sudah masuk bulan yang ketujuh, insya-Allah dia akan bersalin sekitar bulan Oktober ini, sikit masa sahaja lagi.
“Saya rasa teruja dan pada masa yang sama gementar kerana ini pengalaman pertama saya menyambut kelahiran cahaya mata, saya harap para peminat mendoakan agar segala urusan saya dan Fazura dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya berkongsi rasa teruja.
Pastinya banyak persiapan yang telah dilakukan pasangan ini untuk menyambut permata hati mereka pada Oktober nanti.
Mahu makan makanan manis setiap hari
Dalam pada itu, Fatah juga turut berkongsi pengalamannya di awal kehamilan Fazura. Pasti banyak yang dilalui pelakon ini demi untuk memastikan isteri tercintanya sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.
Fattah turut berkongsi pengalaman mengalami perubahan selera makan ketika usia kandungan isterinya, pelakon Nur Fazura memasuki bulan kelima satu ketika dahulu.
Namun menurut Fattah, dia tidak mengalami alahan teruk dan hanya mahu makan makanan manis setiap hari.
“Sewaktu usia kandungan Fazura memasuki bulan kelima, saya ada mengalami sedikit perubahan, saya tahu ada orang cakap, kalau isteri tak mengalami alahan, mungkin kena pada suami.
“Namun apa yang saya alami tidaklah teruk, saya cuma bertambah selera makan sahaja, ketika itu, hari-hari saya mahu makan makanan manis.
“Sampailah bila tiba waktu saya mahu jalani penggambaran, saya sedar muka saya lebih bulat dari biasa,” selorohnya.
Oktober pastinya dinantikan bukan hanya Fattah Amin, bahkan buat semua peminat kedua pasangan ini. Tak sabar rasanya untuk melihat Fazura dan Fattah junior.
Pastinya comel seperti papa dan mamanya. Kita doakan semoga kandungan Fazura bertambah baik dan menjalani trimester ketiga dengan baik tanpa sebarang masalah.
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.