Tekanan emosi dan perasaan dalam mendidik anak adalah sebahagian dari pakej yang datang dengan status menjadi seorang ibu atau bapa. Mari bersikap jujur dengan diri sendiri. Kita bukan Superhero!
Menguruskan urusan diri sendiri, keluarga, kerjaya dan anak-anak dalam masa yang sama adalah sumber tekanan yang datang hampir setiap hari. Kalau tidak betul gaya menguruskan tekanan ini, kita mungkin akan tersilap langkah.
Berikut dikongsikan tips ini untuk panduan bersama
TANGGUHKAN REAKSI ANDA – Tidak kita seteruk mana pun masalah yang ditimbulkan oleh anak anda, jangan terus bertindak. Tindakan serta merta anda, selalunya didorong oleh emosi (baca: Amygdala Hijack). Selalunya kesilapan dalam bertindak berlaku sewaktu kita impulsif, bertindak melulu tanda memikirkan kesan. Jadi berhenti sejenak, fikir dengan otak rasional, bukan otak emosi. Kemudian baru tentukan tindakan anda dalam situasi tersebut.
BELAJAR TEKNIK RELAKSASI – macam-macam teknik anda boleh pelajari dari buku, alam maya mahupun professional. Tak semestinya yang terlalu rumit. Teknik pernafasan dalam (deep breathing technique – sedut-tahan-hembus dengan kiraan dan kitaran teratur), teknik distraction dan sebagainya sudah cukup berkesan dengan syarat di lakukan dengan betul dan konsisten.
PERBETULKAN FOKUS ANDA – Kita mudah terkesan dengan perkara yang kecil dan remeh seperti anak tumpahkan air, anak hilang jadual, anak berebut remote televisyen sehingga kita lupa fokus yang lebih besar. Pilih pertarungan anda. Jangan sampai isu kecil seperti air tumpah menjadi luka besar pada emosi anda dan anak-anak yang kekal sampai bertahun. Fikirkan apa yang anda ingin capai dalam situasi itu. Tugas anda mendidik dan bukan mengherdik. Ada masa diam dan tunjuk cara penyelesaian lebih berkesan dari membebel berjam sambil menyumpah seranah.
Ads
FIKIR PANJANG – orang putih kata, begin with end in mind. Bila ingin berbuat sesuatu kepada anak atau diri sendiri, fikirkan apakah kesan jangka masa panjang tindakan kita. Apa yang kita ingin capai dari situasi ini. Kita mungkin puas hati seketika dapat kepas geram dengan memukul anak, tapi kesannya pada anak mungkin sampai bila-bila.
CARI HARI HUJUNG MINGGU UNTUK ANDA – Anda juga perlu cuti rehat dari jadi ibu bapa. Bila kali terakhir anda bercuti berdua dengan pasangan? Kalau rumahtangga dan anak-anak kelam kabut tak tahu punca, mungkin sebenarnya ia signal minta anda mohon cuti. Parkirkan anak di rumah ibubapa, ganjarkan diri anda dengan percutian seketika.
CARI HOBI/ AKTIVITI SOSIAL – jangan ingat hobi dan bersosial hanya layak untuk orang bujang. Cari semula minat yang anda telah tinggalkan dek kesibukan menajdi ibu bapa. Jangan pencen awal dari main bola, membakar kek, menjahit manik, melukis, berkebun atau apa juga hobi yang membantu anda rehat dan rawat enjin anda.
URUS MASA – bangun lambat, kerja tak siap, anak lewat ke sekolah, kerja sekolah anak tak siap – bahan asas yang cukup sempura untuk memulakan hari dengan keadaan tertekan. Susun semula prioriti kehidupan. Senaraikan apa yang perlu di buat sekarang, kemudian dan akan datang mengikut ketetapan yang realistik. Kaji penggunaan masa anda. Buang tabiat membuang masa – layan internet tanpa tujuan, bersembang tak bertopik atau drama yang bersiri-siri.
Ads
CARI KAWAN – Jangan ingat berkawan maksudnya ‘tak ingat anak bini’. Kawan ada ruang khas dalam hidup. Ia membantu menampung kelompongan yang ada dalam jiwa. Jangan duduk dalam gua dan berharap kita akan hidup gembira.
BERKONGSI – setiap ibu bapa ada pengalaman tersendiri. Kongsi masalah anda, kongsi kejayaan anda. Belajar antara satu sama lain membantu membesarkan lensa kita dalam melihat cabaran mendidik anak-anak.
UBAH CARA FIKIR – cara fikir kita menentukan emosi dan reaksi kita. Kalau kita rigid dan negatif dalam berfikir, emosi dan tindakan yang datang juga akan negatif. Contohnya anak buat salah, kalau kita fikir “kenapalah anak aku ni tak faham-faham!” – sudah tentu emosi yang akan terbit juga sama rasanya. Adakalanya kita berhenti dan ubah cara fikir “adalah tu yang tak kena, mungkin dia penat agaknya”. Emosi dan tindakan kita sudah tentu berbeza.
JANGAN LUPA TUHAN – Anak adalah amanah Allah. Allah jualah yang sumber kekuatan kita semua. Lebih dekat dengan pencipta, lebih dekat yang dicipta pada kita.
Ads
Berminat untuk tahu lebih banyak tips, jom dapatkan buku PSIKOLOGI SI KECIL sebagai panduan setiap keluarga dalam memahami psikologi anak-anak.
Dapatkan di link berikut: bit.ly/Psikologi_Si_Kecil
#psikologisikecil
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak-anak jangan dibiar berkeliaran di luar rumah waktu maghrib, syaitan sedang berkeliaran. Apakah benar syaitan akan masuk ke rumah yang terbuka ketika waktu Maghrib? Ramai di kalangan kita mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis yang Baginda SAW tinggalkan.
Antaranya adalah berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika masuknya waktu senja. Ini kerana, dinyatakan di dalam hadis bahawa syaitan berkeliaran pada waktu tersebut.
Sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu syaitan sedang berkeliaran. Dinukilkan sebuah hadis sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]
Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulamak ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadis ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadis ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]
Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadis ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.
Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan).
Hal ini juga disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H).
Kesimpulannya, melihat kepada beberapa pandangan para ulamak di atas, maka disimpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua.
Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.
Berikut kata-kata daripada seorang ulamak berkaitan hadis di atas:
Maksudnya: “Pada perintah agar ditutup pintu-pintu adalah melibatkan maslahah agama dan dunia yang mana dengan itu akan memelihara diri dan harta daripada orang yang sia-sia dan merosakkan terutamanya syaitan-syaitan.” [Lihat: Fath al-Bari, 87/11]
Marilah sama-sama kita mengamalkan petunjuk Nabi SAW ini agar kita terselamat daripada fitnah syaitan yang terkutuk. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara diri dan seluruh ahli keluarga daripada perkara-perkara yang tidak baik.
Malang tidak berbau! Hanya beberapa saat saja semua boleh jadi. Inilah ungkapan yang sesuai menggambarkan detik cemas yang dihadapi oleh penyanyi, Nubhan Ahamad apabila puteri sulungnya, Aafiya Kamilia terkunci di dalam kereta miliknya.
Melalui laporan Oh Bulan, kejadian itu dikatakan berlaku semasa dia mengambil barang di dalam rumah dan meninggalkan anaknya sendirian di dalam kereta.
Menurut Nubhan, pada awalnya dia meninggalkan Aafiya dalam keadaan kereta yang tidak berkunci tetapi anak perempuannya itu telah mengunci kereta tersebut dari dalam ketika dia berada di dalam rumah untuk mengambil barang.
Menyedari kereta tersebut telah berkunci, dia kemudian mengajar Aafiya untuk menekan button unlock tetapi tidak berjaya. Dia kemudian meminta pertolongan rakannya untuk membuka pintu tersebut. Aafiyah dikatakan terperangkap di dalam kereta selama 15 minit.
Tinggalkan Anak
Rata-rata netizen menasihati Nubhan dan orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan anak-anak.
Mereka juga turut meninggalkan pesanan supaya menurunkan sedikit tingkap dan pintu kereta tidak ditutup dengan rapat agar perkara yang sama tidak berulang lagi.
Akui kesilapan dan sebagai pengajaran
Dalam satu posting lain di instagramnya Nubhan akui kesilapannya dan berterima kasih pada semua kerana prihatin dan memberi nasihat yang baik.
“Sebagai manusia biasa memang ada masanya kita lalai dan tak terfikir tapi saya tahu tiada yang sempurna. Kejadian ini benar-benar buat saya serik dan memberi pengajaran pada masa akan datang.
“Mungkin bukan saya seorang saja tetapi buat semua ibu bapa diluar sana yang mempunyai anak kecil dan ingatlah jangan sesekali alpa. Hanya beberapa saat semua boleh berlaku” jelasnya.
Sumber: Nubhan Ahamad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap tahun, pasti kebanyakan keluarga akan memilih beraya di kampung jika masih ada ibu bapa. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan dari Encik Akhtar Syamir ditujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mertua
1. Bantu mertua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
__________
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.