Semua orang sayang anak. Tiada orang yang tidak sayang anak. Ada anak yang patuh, ada anak yang agak degil. Namun itu tidak mengurangkan rasa sayang kita pada anak.
Bukan sekali melihat seorang kanak-kanak yang datang secara emergency ke klinik untuk mendapat rawatan nebulizer akibat serangan asthma. Bila ditanya, “anak saya mandi dalam kolam renang lebih 3 jam”.
Bila ayah kanak-kanak yang hadir sama bertanya, “Dah tahu anak ada asthma, kenapa biarkan berendam lama sangat?” Ayatnya lebih kurang macam itu.
“Budak tu dah nak sangat mandi. Saya biarkan jerlah”
Saya hanya mendengar saja. Biarlah suami isteri berbincang dan bergaduh. Kita orang luar ‘buat tak tahu saja’. Kita pun bukan berada di tempat kejadian untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Kita pun tak tahu apa yang sedang bermain di fikiran ibu kanak-kanak itu pada ketika itu.
Tapi apa yang hendak saya beritahu lebih dari itu. Kita kasihkan dan sayang pada anak. Tapi perbuatan kita tidak menggambarkannya.
Saya kesian melihat kanak-kanak yang kekurangan berat badan. Bila ditanya, ibu menjawab “Anak saya tiada selera makan”
Saya ingin bertanya begini. Masakan puan tak sedap ke? Tapi tak sampai hati. Takut terlalu tajam. Nanti ada yang terluka. Tapi niat saya mahu tahu mengapa kanak-kanak ini tidak mahu makan masakan ibunya sehingga berat badannya tidak mencapai berat yang sepatutnya.
Umur sudah menjejah 14 bulan, tapi berat badan masih 8kg. Banyak jurang yang perlu diperhatikan dan diisikan.
“Anak saya suka makan jajan, aiskrim. Tak mahu makan nasi” Akhirnya si ibu memberitahu.
Makanan yang tidak berkhasiat memang membunuh selera anak. Apatah lagi jika diberikan pada waktu menghampiri waktu makan. Mereka rasa kenyang dan puas akibat rasa manis dan MSG pada makanan yang baru mereka makan.Jadi apabila si ibu menghulurkan nasi dan lauk, memang anak tak berselera.
Nanti selepas 3-4 jam, anak lapar semula. Pada masa itu, bukan masa makan. Si ibu mungkin menghulurkan pula biskut dan roti. Bila tiba masa makan, anak-anak itu masih kenyang. Tak mahu makan nasi dan lauk yang dihidangkan.
Begitulah kitaran yang berlaku.
Agaknya apa yang berlaku, jika kita biarkan? Seperti mana anak yang dibiarkan berenang dalam kolam renang melebihi 3 jam tadi, mendapat serangan asthma, anak yang dibiarkan mengambil jajan menggantikan makanan yang sebenar (real food) akan mengalami masalah kekurangan nutrisi. Mudah sakit. Perkembangan otak terjejas.
Jika kita sayangkan anak, jangan biarkan. Bertegas sikit. Kalau dia lapar, jangan segera hulurkan roti, biskiu, aiskrim dan jajan. Teruskan berikan nasi dan lauk yang bersesuaian.
Jangan biasakan anak dengan perasa MSG dan manis. Insya Allah anak kita tidak ketagihan jajan, dan makanan ringan.
Saya juga mencadangkan anak-anak ini diberikan minyak sihat terutamanya minyak zaitun. Bergantung pada usia, berikan pada kadar yang bersesuaian. Minyak dan lemak adalah sebahagian dari makronutrien yang diperlukan oleh tubuh. Cari minyak sihat (healthy fat and oil).
Semoga bermanfaat.
Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI