Dah jadi kebiasaan ibu bapa apabila marah anak mesti akan keluar ayat ugutan dengan harapan anak akan takut. Hakikatnya selepas itu tak buat pun seperti yang dicakapkan. Ini silap besar.
“Pergi mandi sekarang, nanti mak buang semua mainan!”
Ini antara silap paling besar ibu bapa di Malaysia. Nak mengugut anak dengan tujuan untuk mengajar tapi akhirnya anak jadi tak takut dan buat perangai. Kenapa keadaan ini berlaku sedemikian?
Cuba anda bayangkan jika terlalu kerap mengugut anak tapi tak buat pun apa kesannya?
Mak ayah selalu rasa anak ni terlalu kecil untuk faham. Ini silap besar kita. Anak-anak kecil kita sangat bijak sebenarnya. Bila kita kerap ugut macam tu tapi tak buat pun, dari hari ke hari, anak-anak akan anggap kita ni cakap tak serupa bikin.
Setiap kali mak ayah buat macam tu, sikit demi sikit anak akan hilang rasa hormat dan kurang takut pada apa kita cakap. Dalam fikiran mereka, buat apa takut, mak ayah bukan akan buat pun. Gertak je lebih!
Ugut anak kata, pergi kemas mainan, kalau tak, mama tak bawa pergi McD. Tup tup, anak tak kemas, tapi petang tu mama bawa juga pergi McD tu. Anak-anak akan fikir buat apa nak ikut cakap, sebab kalau tak ikut pun, dapat juga apa yang nak.
Penyelesaian dalam hal ini agar anak terus mendengar cakap dan tak perlu nak marah, anda boleh cuba praktikkan cara ini.
Contoh, ‘Pergi mandi sayang, kalau tak nanti mama tak bawa pergi taman petang ni’. Kalau dia tak buat, tak perlu marah, tak perlu jerit. Tapi bila sampai petang, jangan bawa pergi taman. Walaupun dia menangis jerit masa tu.
Biar anak kita tahu, kita bukan pemarah tapi kita tegas. Setiap apa kita cakap, kita buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakapkan. Walaupun tanpa menjerit.
Kata pada dia, “hari ni sayang dah buat salah, mama tak bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar kata, kita pergi esok.”
Esoknya bila kita suruh mandi, dia akan mula teringat, semalam mama papa dia betul-betul tak bawa pergi taman. Hari ni kena dengar cakap.
Kata kunci adalah bersama-sama. Ia takkan menjadi jika hanya salah seorang saja yang usaha begini.
Sumber: Muhammad Zukermi Bin Edi