Tidur adalah salah satu perkara penting untuk kesihatan manusia. Apatah lagi jika anda sedang hamil. Tidak cukup tidur semasa hamil bukan hanya boleh menjejaskan kesihatan ibu, bahkan juga memberi kesan kepada bayi dalam kandungan.
Meskipun anda tidak pernah mengalami masalah tidur sebelum ini, namun jangan terkejut jika anda akan mengalaminya semasa kehamilan. Ini kerana perubahan tubuh dan hormon semasa hamil akan membuatkan anda tidak dapat tidur lena. Oleh itu, wanita hamil disarankan untuk menambah waktu tidur malam mereka pada siang hari. Meridap atau tidur siang penting untuk membantu ibu hamil cukup rehat dan cukup tidur.
Namun, bagaimana pula keadaannya jika ibu hamil terlebih tidur? Ketahui kesan jika ibu kurang tidur dan terlebih tidur semasa kehamilan.
Jangan pandang remeh jika anda mengalami masalah tidur semasa hamil. Wanita hamil yang tidak mendapat tidur secukupnya adalah berisiko mengalami keadaan kesihatan serius, malahan juga boleh merumitkan proses kelahiran anda. Terdapat kajian yang menunjukkan wanita hamil yang tidur kurang daripada enam jam pada waktu malam mengalami masa bersalin yang panjang serta cenderung melahirkan secara pembedahan caesarean.
Berikut adalah antara impak yang akan terjadi jika ibu tidak cukup tidur semasa kehamilan.
Terdapat juga kajian lain menunjukkan bahawa tidur yang anda alami semasa trimester pertama boleh memberi kesan kepada kesihatan anda semasa trimester ketiga. Ibu hamil yang tidak mendapat cukup tidur (kurang daripada lima jam pada waktu malam) semasa trimester pertama adalah hampir 10 kali lebih cenderung untuk mendapat preeklampsia pada hujung kehamilan.
Bukan sahaja kurang tidur boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi, malahan, ibu yang terlebih tidur juga boleh memberi kesan kepada kehamilannya. Tidur berlebihan, iaitu tidur melebihi 10 jam pada waktu malam, semasa trimester pertama juga boleh meningkatkan risiko mendapat preeklampsia. Malahan, risikonya adalah dua kali ganda.
Oleh itu, wanita hamil disarankan untuk mendapat tidur yang cukup (tidak lebih dan tidak kurang) bagi memelihara kesihatan tubuhnya dan kandungan. Ibu juga disarankan untuk mendapatkan tidur siang antara 30 minit hingga 60 minit bagi menggantikan tidur yang tidak cukup pada malam hari. Pakar juga menyarankan supaya ibu hamil meluangkan masa sekurang-kurangnya 8 jam di atas katil pada setiap malam, supaya mereka boleh dapat paling kurang 7 jam waktu tidur malam.
Sumber: Hello Doktor