Sebak! Hanya itu sahaja perkataan yang mampu diungkapkan apabila membaca berita tentang bayi ini. Tidak mampu melawan, hanya senyum apabila dipaksa, cuba menahan sakit dan hidup seperti biasa walaupun setiap hari didera oleh ibu angkatnya. Dia keliru, apakah salahnya? Dia hanyalah bayi yang berusia 16 bulan ketika itu.
Wajah ceria JungIn sebelum diambil oleh keluarga angkatnya
13 Januari 2021 perbicaraan pertama sebutan kes yang berlaku di Korea, sebut satu-satu kesalahan apa yang mak angkat baby ni dah buat. Akan ada perbicaraan kedua dan ketiga. 17 Februari 2021 adalah tarikh perbicaraan kedua.
Didera dalam tempoh yang lama (271 hari) sehingga mati. Punca kematian adalah dari pankreas yanang pecah, hanya beban sebanyak 3800-4200 Newtons sahaja yang mampu menyebabkan pankreas dalam abdomen baby pecah dan ini bersamaan berat seorang wanita dewasa yang berdiri dari atas sofa melompat pijak perut bayi yang baring di lantai.
Tempurung kepala retak, tulang bahu patah, tangan kaki patah, tulang rusuk jugak banyak patah dan ada yang tumbuh semula tanpa diberi rawatan sepatutnya.
Baby Jung In didera fizikal dan mental oleh ibu angkatnya, dia juga tidak diberi makan dengan betul sehingga menyebabkan kekurangan nutrisi. Dikurung dalam bilik gelap dibiarkan menangis sehingga tidur keletihan, disuap makanan panas yang baru keluar dari microwave, diberi makan cili, sering ditinggal bersendirian di dalam kereta, disimbah air panas.
Baby Jung In juga seperti dipukul dengan objek keras dan besar dalam keadaan tangan tergantung sampai ada kecederaan teruk di bahagian ketiak. Jangan pernah kita lupa apa yang terjadi dekat baby ni. Teruskan berdoa moga keadilan berpihak pada Jung In. Moga Allah mendengar setiap satu doa dari hambaNya.
Keadaan Usus Yang Bocor
Buat pengetahuan semua, Jung In kene bukan sikit-sikit. Usus dia bocor, ini menyebabkan 90% cecair (bersamaan 600ml air) dalam badan memasuki ususnya yang koyak. Usus Jung in penuh gas, darah dan nanah. Bagitau aku macam mana baby nak terima makanan kalau perut dia sendiri bukan dalam keadaan yang baik.
Bagitau aku macam mana usus budak sampai bocor koyak, kerja siapa kalau bukan mak bapak angkat dia yang zalim. Bila budak tak boleh terima makanan kau salahkan budak tu picky eater katanya, sebab tu tak cukup nutrisi. Ada kau bawak dia jumpa doctor tak check apa masalah??
Ads
Tak ada kan? Mak angkat dia tak pernah pun dapatkan rawatan sepatutnya dari hospital untuk baby Jung In, sedangkan tulang bahu patah pun dia letak anduh bodoh macam tu je berbulan-bulan sampai budak tu meninggal dia biarkan je patah! Hujung hayat Jung In, dia kene serangan Jantung sebanyak 3 kali. Bayi sekecil ini, kene serangan jantung 😫
Bila cikgu taska bawak ke hospital mak angkat meroyan mengamuk-ngamuk dekat taska kenapa bawak anak pegi hospital. Kalau kau sejenis mak bapak elok tak ada la cikgu taska kena ambik peranan kau. Aku betul tak boleh digest perangai si Jang Ha Young ni. Yang suami pulak jenis takut bini mengikutttt je!
Masalah semua berpunca dari mak angkat dia tapi hujung-hujung dia tolak semua salah dekat Jung In jugak. Jung In mati jatuh sofa kata nya. Ya Rabbi. Kau nak menipu apa lagi la hai. Berat dia 50kg pegi pijak baby berat 8kg. Bayangkanlah daya yang Jung In kene tanggung!
Gambaran cara ibu angkat Jung In bawak dia, rangkul dekat leher macam tu. Masuk dalam lif dia letak baby dekat tempat pemegang tu dia belek-belek muka dekat cermin 😡😡 ada lagi satu rakaman cctv lif, dia tolak stroller kuat-kuat sampai langgar dinding lif. Berpaut la baby kuat-kuat takut jatuh dari stroller. Time tolak keluar lif pun tolak kasar-kasar sampai terangkat dua tayar depan.
Ads
Inilah hari terakhir Jung In di taska sebelum dia pergi buat selamanya..Dia nazak 😢 tak ada siapa pun yang tahu nasib dia untuk esok hari.. dipijak-pijak ibu angkat yang tak ada hati perut, sampai pecah pankreas Jung In. Dua hari tak diberi makan sebelum meninggal, diseksa pulak dengan kejam.
Cikgu cuba suap makanan tapi dia tak mampu nak makan
Dia lemah sangat-sangat. tak boleh berdiri.. bergilir-gilir cikgu pegang and peluk dia. Cikgu cuba berdiri kan dia tapi dia Tak larat. Makan pun tak boleh. Perut dia dah tak boleh terima makanan. Walaupun selembut-lembut pisang.
Termenung dia duduk tersandar, mungkin fikir nasib diri. Dia sendiri tak faham apa yang jadi. Gambar last sekali tu masa dia nak balik, cikgu bagitau ayah dia yang dia tak larat jalan ayah dia panggil juga suruh datang. Nampak ketara dia punya langkah tu berat.
Dua hari sebelum meninggal Jung In tak dibagi makan. Macam mana la sampai tak pecah kalau dalam keadaan macam ni ditekan pulak dengan beban yang tinggi. Waktu pagi hari Jung In kritikal tu jiran ada dengar bunyi berdentum kuat macam org baling benda ke lantai, itu pun dia boleh cakap dia tak tau apa jadi dekat Jung In, jatuh sofa je kata nya. 😡😡 dia ada keluar statement Jung In tak banyak menangis, doctor kata baby dah tak boleh nangis dah kalau dia nangis dengan kuat tulang rusuk dia yang patah tu bergerak-gerak boleh sebabkan dia lagi sakit. Antara tahan sakit dengan tahan nangis, baby terpaksa tahan nangis. Perit nya ya Allah
Allah. Kalau teringat Jung In memang tak ada perkataan lagi dah aku dapat sebut. Terlalu perit. Didera 271 hari, anak ini akhirnya pergi tanpa ada siapa pun dapat selamatkan dia. Aku harap si Jang dengan Ahn dapat hukuman setimpal. Harap dia rasa segala apa yang dia buat dekat baby ni. Kejam!
Ada dalam 20org masa dorang shooting (untuk satu rancangan dalam TV di Korea) dekat rumah si Jang mak angkat yang dera baby ni sampai mati dalam video di atas. Mustahil tak ada sorang pun yang nampak keadaan budak ni. Kenapa semua butakan mata!!! Tengok air muka dia pun kita tau dia confused dia tak betul-betul happy.
Aku sendiri dari jauh dalam gambar je pun aku nampak bahu belah kanan dia biru besar, tah apa la perempuan ni buat. Ni baju yang Jung In pakai ni baju anak dia masa umur 4 bulan padahal masa ni Jung In dah umur 14 bulan ye tuan puan.
Macam mana boleh muat?? Sebab perempuan ni tak bagi Jung In makan dengan betul! Dia suapnya makanan panas berasap dari microwave, sumbat nya sos maggie samyang yang pedas tu, dia bagi baby ni makan makanan expired satu tin 7hari berturut-turut.
Betul-betul kejam si Jang Ha Young ni. Tu dahi tu kene shoot dengan pistol mainan siapa buat? Bapak angkat dia yang buat!
Sekarang orang luar dah boleh hantar petitions. Ada yang nak join x ? Boleh hantar ke adibahnazib@gmail.com atau contact sy www.wasap.my/60126864246/JungIn
Nak kumpul banyak-banyak dan hantar sekali terus ke sana.. Saya ada tanya pasal hantar petitions ni melalui email tapi buat masa ni email tak diterima. Benda ni serius, bukan org Korea je marah satu dunia marah termasuk saya sendiri. Tak terbayang penderitaan yang ditanggung.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas empat bulan mendapatkan rawatan sehingga ke London, England bagi membuang ketumbuhan dalam mulutnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang berusia 13 bulan akhirnya pulang semula ke rumahnya di Taman Ayer Molek.
Ainul Mardhiah yang sebelum ini menderita penyakit sel kanser mulut Germ Cell Tumor bersama ibu bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 23, dibenarkan pulang dari Hospital Melaka sehari selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Safiuddin, sejak pembedahan itu, anaknya menunjukkan perkembangan positif termasuk berat badan bertambah dari 2.3 kilogram (kg) kepada 3.8kg selain memberikan tindak balas terutama apabila namanya dipanggil dan mula pandai bermain.
Dalam proses menyesuaikan diri di rumah
Katanya, apa yang berlaku segalanya dengan keizinan ALLAH SWT yang memanjangkan usia permata hatinya dan yakin segala perkembangan anaknya termasuk meniarap dan sebagainya akan berlaku namun ia memerlukan masa.
“Malam tadi Ainul Mardhiah tidur lena dan dalam proses menyesuaikan diri di rumahnya sendiri.
“Alhamdulillah syukur, beberapa bulan pelbagai risiko yang dilalui kami akhirnya dapat pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di sini hari ini.
Ahmad Safiuddin berkata, anaknya akan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka dan menggunakan bantuan mesin oksigen kerana belum dapat menelan air liur dengan baik.
Tambahnya, memandangkan anaknya belum pulih sepenuhnya, dia dan isteri perlu menitikberatkan aspek kebersihan dengan kerap kali mencuci tangan dan mandi.
Menurutnya, dia juga memohon maaf dan meminta orang ramai memahami dengan tidak mendukung anaknya sekiranya bersua atas faktor kesihatan.
“Kami tahu ramai yang mengambil berat tentang Ainul Mardhiah dan mahu mendukungnya namun kami harap masyarakat faham, bukan kami menghalang atau sombong tapi kesihatan Ainul Mardhiah perlu menjadi keutamaan.
“Terima kasih rakyat Malaysia tidak kira bangsa membantu anak kami sehinggakan berjaya menjalani pembedahan,” katanya.
Sebelum ini, ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam.
Pembedahan itu dilaksanakan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Penderitaan Ainul Mardhiah juga mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.
Hasrat Bawa Ainul ke Tanah Suci jika Allah izinkan
Sementara itu, di Facebook Ahmad Safiuddin, kedua ibu bapa Ainul berhasrat untuk bawa Ainul ke Tanah Suci jika Allah mengizinkan mereka sampai ke sana.
Hanya hasrat dan impian kami. InshaAllah, jika Allah SWT izin dan Ainul sihat dan doktor sahkan ainul 100% sihat dan selamat, maka kami akan pergi ke sana.
Tapi bukan lah dalam masa terdekat ataupun tahun ini. Keutamaan sekarang adalah Ainul Mardhiah. Walaupun Ainul sudah balik, tapi Ainul perlu sering ke hospital untuk rawatan susulan (Follow up)
Masih banyak lagi perkara yang Ainul perlu tempuhi. Ya, jauh lagi jalan Ainul ini tuan/puan.
Bukan selesai pembedahan, terus habis segala rawatan. Tapi ada lagi beberapa perkara yang ainul perlu jalani selepas ini.
Alhamdulillah, Ainul kekal sihat sehingga hari ini. Hasil doa dan kata semangat dari tuan/puan semua.
Saya dan isteri doakan tuan/puan semua dirahmati olehNya, dipermudahkan urusan, dilipatgandakan rezeki dan diberi kebahagiaan dunia akhirat. Amin!
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Kenangan 21 & 22 Januari 2018 Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ****** Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu! Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar… “Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang 21 Januari 2018 “Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat. “Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas. Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi. “Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega. Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas. “Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil. “Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat. Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah…. Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku. “Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung. Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mubilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam 22 Januari 2018 Sanah helwah buat aku! Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah! Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari 24 Januari 2018 Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi 25 Januari 2018 Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi 30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya. BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi 15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas. “Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku. Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,” Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat. “Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi 16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat. Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya. Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku. “Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang. Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam. Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Siapa menyangka Aidil Fitri kali ini menjadi sambutan terakhir seorang ibu bersama anak sulungnya yang disahkan meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.
Anak kecil itu, Muhamad Syamil Aqil yang berusia 11 tahun menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok, jam 9.27 pagi.
Walaupun payah untuk menerima hakikat kehilangan anak sulungnya itu namun dia akur dan reda dengan aturan Allah Yang Masa Esa. Melalui facebooknya, ibu ini, Wanie Alias, 32, sempat meluahkan rasa hiba dan berkongsi nasihat untuk semua ibu bapa.
“Semua sayang Abe Aqil. Sorang pym tak tinggal, semua pakat-pakat kebumi Abe Aqil. Ibu sebak sangat-sangat tengok kami.
“Kamu anak yang baik Aqil. Abe Aqil dah selamat pergi ke negeri abadi. Selamat berehat anak ibu, penghuni pertama rahim ibu zuriat pertama abah ibu yang mengajar erti kehidupan dan kasih sayang. Semoga Abe tenang dan riang bersama kawan-kawan baru.
“Ibu tak kisah dah Abe nak main. Abe boleh main puas-puas doah. Ibu lepaskan Abe main puas-puas dengan kawan baru Abe di sana,” luahnya sebak.
Menceritakan detik hiba itu, kata Wanie anaknya sebelum itu iaitu pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua masih sihat dan aktif beraya bersama adik-beradik dan saudara-mara.
Malah katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat aktif apabila dapat bermain basikal sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.
“Saya sentiasa memantau keadaan anak pada setiap jam dan mendapati suhunya sekitar antara 37 hingga 38 darjah Celcius.
“Pada hari raya keempat selepas Subuh, saya lihat keadaan anak lemah sebelum mahu membawa anak ke klinik kesihatan, namun ketika sedang bersiap anak secara tiba-tiba diserang sawan.
“Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Balai dan sampai di sana doktor terus memberi oksigen dan branula untuk masuk air. Namun, tekanan nadi anak tiba-tiba terhenti dan anak didapati pengsan,” katanya berkongsi melalui Facebooknya.
Malah akui ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, doktor berusaha melakukan yang terbaik apabila memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Walaupun payah namun dia dan suami paksa reda panggilan Ilahi buat anak kesayangannya itu.
Bahkan kata ibu ini lagi, dia reda apabila diberitahu organ dalaman, jantung dan buah pinggang anaknya hangus malah kekurangan air dalam badan.
Beliau berkata, jenazah anaknya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati anaknya meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.
“Semua isi di dalam, jantung dan buah pinggang sudah hangus. Begitu juga air dan darah dalam tubuh sudah kering.
“Saya mahu ibu bapa mengambil iktibar dari cerita ini dan jangan bagi anak-anak main panas terik berikutan suhu masa ini sangat tinggi. Bagi anak minum air secukupnya,” pesannya.
Biasa dah kita dengar orang memburu malam Lailatulqadar bila akhir bulan Ramadan ini kan? Tetapi kali ini nak kena dengar juga cerita keindahan malam Lailatulqadar yang di kongsikan oleh Mama Irma Hasmie dan adik-adik Bintang Kecil ni.
Apa sebenarnya malam Lailatulqadar dan apa perlu kita buat untuk 10 malam terakhir? Kenalah saksikan sampai habis 1001 Malam Istimewa diserikan oleh KARIHOME.
Nak menang cash bernilai RM4000? Jom, hantarkan foto OOTD Sedondon Raya bersama anak anda di 👉🏼 SINI
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bacaan surah Al-Fatihah oleh anak usahawan Neelofa dan PU Riz, Muhammad Bilal dipuji wargamaya malah memuji cara didikan pasangan ini dalam mendidik anak mereka.