“Terpaksa Bagi Bayi Makan Air Liur” Terperengkap Bawah Runtuhan, Hanya Bertahan Hingga Hari Kelima

Share

“Ketika terperangkap di bawah runtuhan, isteri saya tidak dapat menyusukan bayi lelaki kami, Muhammet Alparslan berusia enam bulan, jadi saya cuba memberinya makan dengan air liur saya.

“Pada hari kelima di bawah runtuhan, Muhammet tidak bermaya lagi dan saya memeriksa nadinya dan mendapati dia sudah meninggal dunia,” kata Muharrem.

Muharrem menceritakan pengalaman sedih itu kepada Anadolu Agency pada Rabu, selepas dia dan isterinya Hidayet Polat berjaya diselamatkan di bawah runtuhan bangunan di Kahramanmaras, selatan Turkiye.

Pasangan itu terperangkap 202 jam di bawah runtuhan bangunan terbabit sebelum ditarik keluar dalam penyelamatan ajaib pada Selasa selepas pasukan penyelamat mendengar jeritan suara mereka.

Muharrem dan Polat yang kini berada di bawah pemantauan perubatan memberitahu Anadolu Agency, dua anak mereka kehilangan nyawa akibat runtuhan itu.

“Kami tidak makan apa-apa di bawah runtuhan. Saya hanya menemui ‘Vaseline’ dan makan sebahagiannya, langsung tidak hiraukan ia bahaya atau tidak,” kata Polat.

Polat berkata, pasukan penyelamat memanggil mereka sehari atau dua hari sebelum berjaya diselamatkan, tetapi impak runtuhan menghalang pasukan mengeluarkan mereka.

Mengimbas detik berlakunya gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu 6 Februari lalu, Muharrem berkata, ketika gegaran gempa bumi pertama, lantai kediaman mereka tertutup sepenuhnya.

“Selepas gegaran gempa bumi seterusnya, ia (mungkin sudah) terbuka. Saya menyedarinya pada hari ketujuh (terperangkap dalam runtuhan).

“Pada hari sama, saya memanggil isteri dan memberitahu ada sesuatu di sana. Saya menggali tanpa henti dan sehingga air salji (mencair) keluar. Allah mengasihani kami,” katanya yang menegaskan usaha itu akhirnya membawa kepada kejayaan usaha menyelamat mereka.

Lebih 35,000 individu terbunuh dan 81,000 lagi cedera dalam dua gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan beberapa negara di rantau itu, terutama Syria.

Kredit:Hmetro

https://www.youtube.com/watch?v=DIKU6Lp2OgM&t=637s 

Jangan panik! Jom, belajar cara handle situasi cemas. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/stay-safe/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekaran

Published by
NuFa