Melalui satu tempoh berpantang selama 44 hari bukanlah satu waktu yang singkat. Apa lagi bila terpaksa melaluinya dalam keadaan tidak selesa seperti orang lain.
Sebenarnya memilih untuk berpantang di rumah mentua bukanlah satu kesalahan jika ruang peribadi ibu berpantang terjaga, lebih-lebih lagi untuk menyusu. Di sinilah suami perlu memainkan peranan.
Perkongsian Kaunselor Laktasi, Pn Nad Masrom ini membuatkan hati kita tersentuh. Sebaiknya elakkan ketidakselesaan ketika waktu pantang. Biar di rumah sendiri asalkan kita selesa dan bebas untuk menyusu dengan baik.
Saya teringat kepada satu kisah pengalaman saya menyantuni seorang ibu yang tertekan kerana anaknya keliru puting. Ibu minta saya datang bantu beliau beberapa tahun lepas. Bila saya datang, suasana di rumah nampak tegang.
Suami sekejap-sekejap keluar masuk. Seolah nak dengar apa luahan isteri kepada saya sedangkan saya masa tu sedang gigih pujuk bayi beliau menyusu semula.
Melihat keganjilan sikap suami, saya ajak isteri untuk berlatih menyusu di bilik memandangkan isteri nampak tak selesa nak menyusu di ruang tamu.
Dalam bilik, isteri teresak-esak menangis. Dari ceritanya, isteri merupakan seorang surirumah yang bergantung harap kepada pendapatan suami.
Sepanjang bercerita, sekali-sekala bahu isteri terhinjut-hinjut menahan sebak. Kisah bayinya keliru puting adalah kerana bayinya telah diberikan botol susu oleh staf kesihatan hospital. Dan staf kesihatan itu ialah suaminya sendiri!
Isteri diminta berpantang di rumah mertua. Dipaksa berpantang di ruang tamu (berbentangkan tilam) untuk tidur dan menyusu bagi memudahkan ibu mertuanya memantau sepanjang masa berbanding di dalam bilik.
Ads
Dalam rumah mertua ada adik-beradik suami yang lain. Isteri kepanasan. Perlu menutup aurat dalam pantang yang masih lagi baru berusia 2 minggu. Tak bebas nak buat apa-apa dan sangat tertekan nak menyusukan bayi dalam keadaan terbuka. Dan saya tanya, apa respons suami bila dia dipaksa pantang sebegitu.
Isterinya jawab, suami penat kerja. Isteri dah pernah minta untuk berpantang di rumah ibunya sendiri tapi ditentang suami dengan alasan rumah ibu suami lebih dekat dengan tempat kerja beliau. Kami dalam bilik tak lama. Masa suami keluar rumah, itulah peluang isteri masuk ke dalam bilik sekejap bersama saya.
Suami yang memang ambil cuti khas sempena saya nak datang menyantuni isterinya, kedengaran balik dan masuk ke rumah. Saya nampak ibu tadi panik dan ajak saya ke ruang tamu semula. Masa tu sudah tengahari. Saya datang dari jam 10 pagi. Saya nampak suami mundar mandir. Seolah beri isyarat.
Isteri minta izin sekejap dari saya, dan minta saya bantu jagakan bayi. Saya terpinga sekejap. Isteri yang sedang berpantang 2 minggu, yang masih kelam kabut uruskan bayinya yang tak pandai menyusu, yang tak selesa dipaksa berpantang di ruang tamu, rupanya kena ke dapur hidangkan makanan kepada suami pula.
Ruang tamu tempat saya berada dan dapur tak jauh. Ruang makan dapur pula terbuka. Jadi saya nampak suami duduk sambil isteri tadi ambil air basuh tangan, tuangkan air basuh tangan untuk suami, sendukkan nasi beserta lauk serta tuangkan air untuk suami menjamu selera. Tah kenapa, saya rasa sebak kasihan pada ibu berpantang itu.
Ads
Patutlah ada ayat seperti ‘SUAMI BERMUTASI MENJADI BAYI YANG PERLUKAN PERHATIAN’. Saya tahu segala apa yang dilakukan isteri pasti diredai suami. Tapi melihat keadaan isteri, saya rasa empati sebab suami tidak menunjukkan simpati.
Isteri tidak disantuni untuk berpantang dengan tenang dan menyusukan bayi dalam keadaan selesa dan bebas dalam keadaan isteri boleh buka tudung dan pakai baju yang selesa.
Malah saya tak nampak sejak tadi bila ibu ini makan. Biasanya ibu menyusu ni kan kerap lapar. Dah tengah hari, ibu ini pula perlu hidang makan pada orang yang tak berpantang dan ada kudrat nak angkat senduk sendiri. Tapi, tetap si isteri menjalankan TUGAS UTAMA demi suami.
Selalunya saya akan lihat (sewaktu home visit), ahli keluarga akan bantu ingatkan ibu berpantang makan atau hidangkan makan tengahari kepada mereka mengikut waktunya. Tapi ini terbalik pula.
Hakikatnya, sesi hari itu tidak berjalan lancar. Namun, isteri kelihatan sedikit lega kerana sekurangnya ada teman untuk mendengar apa yang dia rasa. Bayinya yang keliru puting tidak dapat dibantu sehingga saya minta izin undur diri. Banyak kekangan sewaktu sesi kaunseling bersama ibu. Dan kekangan paling besar yang saya lihat ialah TIADA SOKONGAN SUAMI kepada si ibu.
Ads
Saya rasa ralat dan sedih sebab tak dapat bantu ibu. Tapi apakan daya, itulah limitasi saya sebagai kaunselor penyusuan susu ibu. Kita membimbing dan selebihnya bergantung kepada usaha si ibu.
Cuma bersyukurnya suami benarkan isteri panggil saya datang ke rumah. Tapi isteri perlu berjuang sendiri. Walaupun suami staf kesihatan, belum tentu suami ada empati kepada isteri sendiri.
Mungkin kerana ‘beras suami yang beli’. Jadi, suami rasa lebih penat dan perlu dihargai. Tahlah. Saya tak berani nak komen lebih-lebih. Bimbang saya mengajar ibu-ibu jadi isteri menderhakai suami. Bukan itu maksud saya. Cuma saya merujuk kepada common sense dari cerita ini.
Sedih bila melihat kaum sendiri tidak dilayani. Dan menyimpan duka dalam hati yang saya rasa suaminya juga tidak berusaha untuk mengerti.
Ini baru satu kisah. Ada juga beberapa kisah yang meruntun hati, saya simpan sekian lama tak pernah kongsi di sini. Itulah cabaran seorang wanita yang duduk di rumah bergelar ISTERI. Yang ramai lihat seperti hamba abdi. Tanpa perlu dikasihani. Kerana mereka fikir, golongan ini sudah banyak berehat sendiri.
Seolah-olah kerja sebagai suri tidak layak mendapat cuti. Walaupun berpantang, tetap perlu menjadi SURI. Walaupun hati mungkin penuh DURI.
P/s: Gambar ni ialah saya ketika berpantang Ali waktu pandemik. Kami berpantang sendiri. Syukurlah kami walaupun masa ni serba serbi tak sempurna, tapi suami berusaha yang terbaik semampunya.
“Anak hampir sawan. Mak beritahu badan Mateen keras kaku,” kata pelakon Yana Samsudin mengenai situasi yang berlaku kepada anaknya, Aisy Mateen sebelum dimasukkan ke hospital di Batu Pahat, Johor semalam.
Yana menerusi akaun Instagram berkongsi detik cemas yang berlaku terhadap anaknya ketika dia dan suami Fadzil Zahari keluar atas urusan kerja.
“Rabu lalu sekitar jam 3.30 pagi kami masih lagi gigih nak habiskan satu perjumpaan di Johor Bahru. Namun, tiba-tiba dapat satu panggilan dari rumah di Yong Peng. Memang pelik kalau dapat panggilan awal pagi. Mesti ada kecemasan.
“Rupanya betul, Mateen demam panas. Ketika itu, kami terus minta Mateen dibawa ke klinik 24 jam sementara kami dalam perjalanan bertemu Mateen.
“Nasib baik Klinik Kesihatan Yong Peng dekat. Kami sampai sana jam 5 pagi dan Mateen sudah diberikan ubat,” katanya.
Menurut Yana, memandangkan Mateen hampir terkena sawan dia kini perlu lebih berhati-hati.
“Saya ingin nasihatkan pada semua, tak kiralah sudah ada anak, bercucu ataupun tak kahwin lagi. Mereka yang mahu berjalan jauh atau nak tinggalkan anak dengan penjaga, bawa ubat serta tolonglah bagi ubat ikut masa.
“Jika panas tak juga kebah, jangan selimutkan tapi beri ruang udara panas untuk keluar. Kalau ada anak anak yang pernah kena sawan pertama kali, peluang untuk kena kali kedua sangat tinggi.
“Kalau terkena juga sawan terus ke hospital, jangan tangguh lagi. Takut tak bernafas. Allahuakbar sedihnya kalau berlaku.
“Apa yang berlaku kelmarin buat kami panik,” tulisnya lagi.
Sumber: ig Yana Samsudin
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Punya anak ramai bukan satu bebanan malah ia anugerah tak ternilai buat ibu-ibu. Walau ada waktunya emosi berubah-ubah dengan perangai anak yang bermacam-macam, namun jika pandai menguruskan emosi sendiri, ibulah insan paling istimewa dan bahagia.
Menguruskan emosi dengan bebanan menguruskan anak sebenarnya tidak mudah namun jika berusaha untuk melepaskan segala tekanan buat ibu makin bahagia. Inilah yang cuba dikongsikan oleh Penulis Keibubapaan, Pn Wawa Shauqi.
Lepas dapat anak ketiga ni, saya dapat rasa saya cope stress dengan lebih baik. Jauh lebih baik.
Walaupun baby menangis, memasak dan buat kerja rumah sambil mengendong si kecil, berjaga setiap jam setiap malam, berkejar-kejar nak handle 2 anak yang sekolah, syukur stress level saya tak macam anak pertama dulu.
Dulu, cepat sangat penat dan rasa overwhelm. Cepat je nak meletus. Selalu rasa diri teruk dan tak cukup baik. Tangan pun cepat je nak ternaik. Tapi syukur, insiden-insiden tu dah tak berlaku. Marah pun level percik-percik menyala sikit je.
Tak meletus macam dulu. Mungkin sebabnya;
Satu, dah 10 tahun pengalaman. Jadi kesediaan minda dan fizikal tu lebih. Dua, dah tau nak detect tanda-tanda nak stres. Jadi boleh pause sebelum stres melarat.
Tiga, saya dah prepare diri dengan ilmu. Ilmu tangani stres dan ilmu memahami anak-anak. Keempat, suami banyak ada masa di rumah untuk membantu. Tak macam zaman dulu, dia buat 2 kerja untuk mulakan hidup bersama. Kelima, anak sulung boleh diharap jagakan adik kalau saya perlu berkejar buat benda lain.
Dan yang keenam, saya direzekikan sesi terapi dengan psikologi yang kerap beberapa bulan sebelum bersalin.
Semalam, terlintas satu post dekat IG saya. Tentang Personal Growth seorang ibu. Tentang Self Development.
Selalunya, orang kaitkan Personal Growth ni dengan orang-orang berbisnes atau bekerjaya. Sebenarnya, ibu-ibu yang hidupnya bergelumang dengan anak je pun, ada Personal Growth tersendiri.
Tanda-tanda ibu ada Personal Growth yang baik :
✔️ Dah kurang kritik diri sendiri
✔️ Dah kurang judge orang lain
✔️ Mudah mmaafkan diri bila buat silap
✔️ Menerima kelebihan dan kekurangan diri
✔️ Tak malu untuk dibantu dan meminta bantuan
✔️ Galakkan anak berkreatif walaupun akan buat rumah sedikit messy
✔️ Berlapang dada bila anak buat silap sebab percaya pada proses belajar
✔️ Respon anak dengan baik instead of react emotionally
✔️ Hubungan dengan pasangan semakin baik
Self love, self respect, let go. Antara 3 resepi yang paling penting kalau nak grow.
Faham, kalau ada hari proses growth kita terhenti. Maklumlah, kita kan manusia. Ada hari stres, ada hari produktif. Ada hari penat, ada hari semangat. Ada waktu kalah, ada hari menang. Yang penting, kita sentiasa usaha untuk jadikan esok hari yang lebih baik.
Karies botol susu terjadi apabila bayi atau kanak-kanak dibiarkan tidur ketika sedang menghisap susu atau air manisan daripada botol susu. Cecair yang tidak dibersihkan daripada dalam mulut bayi ini akan menyelaputi gigi dan menyebabkan kerosakan pada gigi.
Gigi yang sering kali menjadi mangsa ialah gigi susu hadapan atas.
Rata-rata ibu bapa mengendahkan perkara ini dan membiarkan sahaja gigi susu ini rosak, dengan alasan boleh diganti dengan gigi kekal.
APA LANGKAH TERBAIK IBU BAPA?
1. Jangan biarkan bayi tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan.
2. Bersihkan mulut bayi selepas meminum susu dengan menggunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi bayi untuk membuang sisa susu.
3. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan atau sudu seawal usianya 6 bulan.
4. Bilas mulut bayi anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu.
5. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu bayi anda.
6. Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak-anak berusia di bawah 6 tahun.
7. Bawa anak untuk pereriksaan gigi di klinik gigi setiap 6 bulan.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.