Tersilap makan cuka, kandungan pertamanya keguguran. Pada kehamilan kedua ibu ini lebih berhati-hati dalam mengatur pemakanan dan nutrien untuk kehamilan.
Puan Nisa Riduan berkongsi tentang pengalamannya dalam rancangan TV Pa&Ma Musim Keempat, episod ketiga yang bertajuk Pemakanan Semasa Hamil. Bagi pasangan yang baru berkahwin, kehadiran cahaya mata memang dinanti-nantikan.
Nisa yang yang kehilangan kandungan pertama yang ketika itu berusia lebih kurang sebulan lebih mengimbau kembali detik-detik sedih yang berlaku pada tahun 2016 itu.
TERLUPA MINUM CUKA
“Memang sejak sebelum mengandung lagi saya memang mengamalkan meminum cuka kurma. Cuma masa mengandung, ada satu hari tu terlupa tak boleh minum cuka. Saya minum malam dan keesokan pagi terus bleeding,” kata Nisa.
Saya memang menganggap kami tak ada rezeki. Minum hanya sesudu sahaja tetapi ia menyebabkan saya bleeding. Sehari kemudian baru saya pergi ke hospital untuk check up.
Doktor yang merawat menyarankan Nisa untuk merehatkan rahim selama 6 bulan sebelum hamil lagi. Rezeki sudah tersurat, Nisa akhirnya hamil lagi selepas 6 bulan dan kini si kecil sudah pun berusia 9 bulan.
HAMIL KEDUA LEBIH BERHATI-HATI
Pada kehamilan kali kedua ini, dia lebih berhati-hati. Walau pun alahan kehamilan agak teruk, Nisa mengamalkan memakan kurma dan kismis untuk tenaga.
Saya juga memakan buah jambu batu dan buah-buahan lain seperti epal. Sayur dan lauk juga turut diambil ketika mengambil hidangan nasi.
LEGAKAN SEMBELIT DENGAN MINYAK KELAPA
Sembelit memang seringkali terjadi kepada ibu ini. Ia sudah pun dilalui Nisa sejak sebelum hamil lagi namun setelah hamil ia menjadi lebih teruk kerana tidak boleh meneran.
Untuk mengelakkan sembelit berlarutan, Nisa turut mengamalkan minyak kelapa dara pada waktu pagi dan sebelum tidur. Ia bertujuan untuk melancarkan pembuangan air besar.
SUKA MAKAN NASI
Paling menarik, kehamilan kedua ini Nisa berselera memakan nasi. Dia memakan nasi tiga kali sehari, tapi kalau orang tawarkan lagi nasi, dia masih boleh menikmati nasi tanpa masalah.
“Nisa hantu nasi. Dalam sehari, kadang-kadang 3 kali Nisa akan makan nasi, ibu-ibu lain jangan ikut saya, tak elok untuk badan. Tapi fasa makan nasi kerap ini bertahan hanya pada trimester kedua sahaja. Trimester pertama memang kerap sangat muntah,” kata Nisa.
BUAH-BUAHAN & SAYUR-SAYURAN
Bagi menyeimbangkan, Nisa mengamalkan untuk mengudap sajian kecil badan, kurma, buah-buahan. Ia juga meredakan sembelit yang dialaminya.
“Nisa akan pastikan dalam peti sejuk sentiasa ada stok dua benda ni. Sayur dan buah sangat-sangat penting! Serius time mengandung, Nisa kena sembelit. Baru perasan masa tu dah seminggu kurang makan sayur dan buah. Kalau rajin, saya juga buat jus, ” kata ibu muda ini.
AMBIL BAHAN ASLI & BANYAKKAN MINUM AIR
Nisa yang selamat menyambut cahaya matanya pada Jun 2018 sempat berpesan kepada ibu-ibu hamil lain mengambil kurma yang asli bukannya jus kurma bercampur gula. Amalkan meminum air masak dengan banyak, mengurangkan pengambilan makanan segera serta melebihkan buah dan sayur-sayuran dalam menu harian.
Bagi mama papa yang ingin mendapatkan info lanjut mengenai pemakanan ibu hamil, boleh menonton rancangan TV Pa&Ma Musim Keempat, episod ketiga yang bertajuk Pemakanan Semasa Hamil pada 26 Mac 2019, jam 12 tengah hari & ulangan 9 malam di slot Dewi Astro Prima & Astro Prima HD.