Rezeki Allah nak bagi dalam pelbagai cara. Cuma kita tak tahu macam mana rezeki yang dah ditentukan pada kita. Rezeki anak, wang, kerjaya antara yang cukup berharga buat seseorang dalam hidup mereka.
Begitu juga buat pasangan suami isteri ini, Siti Nur Izati Azmi dan Ahmad Zulhadi Ghazali yang dikurniakan cahaya mata kembar lelaki berusia 1 tahun 3 bulan.
Mungkin ramai menganggap anak kembar ini mestilah salah seorang pasangan mempunyai keturunan kembar. Namun bagi Izati dan Zulhadi, mereka berdua tiada genetik kembar dan tak sangka pun dikurniakan anak kembar.
Menurut Izati, pertama kali semasa tahu dirinya hamil pada usia kandungan 4 minggu. Namun semasa kandungan masuk 8 minggu barulah tahu mengandungkan anak kembar.
“Itupun masa awal-awal doktor tak perasan tapi bila buat pemeriksaan secara teliti nampak ada dua janin dalam rahim. Apabila beritahu ahli keluarga memang semuanya terkejut dan tak percaya namun kami menerima dengan reda dan gembira rezeki dari-Nya.
“Syukur juga sepanjang mengandung tiada alahan teruk dan masih aktif. Naik turun tangga pun tiada masalah,” katanya.
Kata Izati, selepas lahirkan anak kembar mereka, Ali Yusuf dan Ali Umar, baru rasa sedikit cabaran terutama aspek mental. Nak kena urus anak dua orang serentak bukan perkara mudah. Bagaimanapun, pertolongan dari ahli keluarga buatkannya sentiasa positif.
“Kini semuanya mudah kerana dah tahu apa rutin mereka, macam mana nak urus masa bawa keluar berjalan, ketika demam atau tak sihat.
“Satu lagi formulanya, saya dah tetapkan rutin mereka berdua sejak bayi lagi. Contohnya bila nak makan bersama, menyusu dan tidur pun sama. Jadi tiadalah saya rasa penat sepanjang masa.
“Ibaratnya saya belajar dari zero hinggalah dah mampu urus anak sendirian walaupun ada ketikanya mereka berdua agak lasak,” katanya.
Nak tahu lagi apa yang menarik mengenai dunia si kembar dan perkongsian tip dari Pakar Sakit Puan, tonton rancangan Pa&Ma malam ini, jam 9 malam di Astro Prima dan Maya HD.