Anak sakit sikit pun mama dah sedih, inikan pula melihat anak kesayangan menggaru-garu, kulit pedih keterlaluan hingga berdarah. Lebih teruk lagi apabila air bisa yang keluar dari kulit yang digaru. Tapi itu antara perkara dan pengalaman biasa yang dihadapi oleh kanak-kanak yang bernama Tia Al-Batrisya Muhamad Alhafiz.
Mawarni Abd Manaf atau lebih mesra dengan panggilan Mimi yang merupakan ibu kepada Tia menambah hanya mereka yang mengalami masalah sebegini faham akan situasi yang dialami.
“Ramai orang ingat ekzema setakat gatal-gatal saja. Hanya yang merasai tahu perasaan ini. Sukar nak berhenti menggaru. Malah, cabaran utama pesakit ekzema ialah mengadu sangat pedih apabila terkena air ketika mandi. Begitulah juga yang dihadapi Tia, paling kesian bila selepas menggaru kulit Tia melecet hingga rapuh dan mula membengkak. MasyaAllah hanya Yang Maha Esa saja yang tahu deritanya Tia. Bila dari muka hingga kaki bengkak dek kerana kesan kulit gatal yang digaru. Bukan itu saja malah rambutnya gugur dan keningnya hilang,” terang Mimi yang rasa cukup gelisah bila keadaan sedemikian dialami anak kesayangannya dan suami, Muhamad Alhafiz Zakaria.
Mimi juga menerangkan anaknya disahkan menghidap Severe Eczema iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki alami kegatalan teruk sehingga membuatkan anak kecil ini sering kegelisahan.
“Tia mula menghidap ekzema ketika umurnya empat tahun. Penyakit ini mula menyerang selepas hari raya. Permulaannya kulit Tia jadi kering dan hitam. Dari situ saya dan suami ke klinik-klinik pakar untuk merawat Tia. Tapi keadaan dia semakin lama semakin teruk. Pada masa yang sama kami ke Pakar Kulit HUKM dan kemudiannya selepas lima bulan doktor pakar membuat surat rujukan untuk Tia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana kondisinya yang semakin teruk.
“Semakin hari keadaan Tia semakin teruk dan tidak terkawal sehinggalah kulit dia tak boleh nak pegang. Melecet pedih, 24 jam gatal-gatal dan dia menggaru. Bila mandi dia menjerit-jerit kesakitan.
“Malam tak boleh tidur. Berpeluk saja dengan dia 24 jam. Kemudian dia terus ditahan di HKL selama sembilan hari. Bermacam-macam jenis ubat yang diberikan kepada Tia. Sehari lapan jenis ubat yang Tia makan. Berjumpa doktor selang tiga hari, turun ke seminggu sekali, dua minggu sekali, tiga minggu sekali, sebulan sekali selama setahun lebih. Keadaan terkawal sebab penggunaan steroid dan ubat hospital. Dari ubat makan sampai ubat sapu. Bila berhenti makan ubat, keadaan menjadi kembali teruk.
“Sehingga satu ketika sewaktu berusia enam tahun, Tia sudah pandai luahkan perasaan dan dia tak mahu makan ubat lagi. Sebabnya bila dia makan ubat dia akan rasa lemah, letih dan tak boleh bermain-main. Dia rasa tak seronok dan dari situ saya mula mencari alternative lain dengan menggunakan Viprolabs. Alhamdulillah perlahan-lahan penyakit Tia berkurangan,” ungkap Mimi.
Mimi turut berkongsi dia berasa sangat sedih apabila pada usia lima tahun, Tia hanya berpeluang ke Tadika selama beberapa bulan sahaja kerana keadaannya itu.
“Ketika usianya 5 tahun, hanya dua bulan dapat ke tadika. Kemudian dia terpaksa berulang alik ke hospital. Ketika usia 6 tahun, dua tadika dia pegi. Tadika pertama dan kedua tidak dapat menerima keadaan Tia. Jadi dia hanya sempat bersekolah paling lama pun hanya tiga bulan sahaja.
“Akhirnya Tia tak pergi terus ke sekolah. Tapi syukur, tadika ketiga memahami keadaan Tia dan menerima Tia sebagai salah seorang pelajar mereka.” cerita Mimi dengan nada yang cukup sedih.
Tahun 2019 Tia mula bersekolah, bulan pertama memang penuh cabaran, Minggu pertama semuanya berjalan dengan lancar. Minggu kedua keadaan Tia mula meruncing.
“Minggu kedua Tia mula menangis-nangis, tergaru-garu sehingga cikgu hubungi saya kerana badan Tia dah berdarah-darah. Kadang tu masuk pukul 7.30 kemudian jam 8.30 sekolah dah hubungi saya untuk ambil Tia. Bulan kedua bersekolah saya tunggu Tia di kantin dan dia akan hadir setakat mana dia mampu bertahan.
“Selama tiga bulan lebih Tia menderita ketika di sekolah akhirnya sekarang Tia pulih dan syukur kerana dia sudah tidak gatal-gatal teruk seperti dulu. Walaupun semakin pulih namun saya masih menjaga pemakanan Tia dan dia juga berpantang daripada mengambil beberapa makanan yang boleh membuatkan kulit Tia kembali gatal. Penyakit Tia bukan disebabkan faktor keturunan atau makanan, tetapi menurut doktor ia berpunca daripada sistem imun Tia sendiri,” jelas Mimi.
Demi menjaga anak kesayangannya, Mimi juga terpaksa berhenti kerja dek kerana keadaan Tia yang teruk pada tahun 2017. Namun pengorbanan itu sangat berbaloi kerana dia berasa puas dapat menjaga dan bersama-sama dengan Tia tatkala anaknya memerlukan ibu di sisi. Selain itu Mimi juga sangat bersyukur kerana keluarga memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sekeluarga sepanjang Tia menderita penyakit yang dihidapi.
sumber: Mingguan Wanita