Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, semalam.
Muhammad Hamadi Zakaria dan Nur Syuhadah Zaini juga meninggalkan dua anak perempuan iaitu Hana Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata motosikal jenis Honda CB500 ditunggang mangsa dipercayai merempuh sebuah motosikal jenis Suzuki yang sebelum itu terbabit kemalangan di tengah jalan.
“Hasil siasatan mendapati motosikal ditunggang oleh dua mangsa yang cedera itu telah berlanggar dan terbabas di tengah jalan di lokasi tersebut.
“Mangsa dan isterinya tidak dapat mengelak dan telah melanggar dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Suzuki Axelo itu,” katanya.
Sementara itu, dalam laporan Harian Metro, bapa kepada arwah Muhammad Hamadi, Zakaria Tajudin, 60-an berkata, segala yang terjadi itu adalah ketentuan Yang Maha Esa.
“Terlalu sedih namun saya sekeluarga reda dengan kemalangan yang mengorbankan nyawa anak dan menantu.
“Saya dan isteri akan berangkat mengerjakan ibadah haji, hari ini dan kedua-dua mereka sudah merancang untuk menghantar kami ke Kompleks Tabung Haji (TH), namun takdir Allah SWT mengatasi segalanya,” katanya.
Menurut Zakaria, anak dan menantunya menaiki motosikal setiap hari untuk ke tempat kerja.
“Inilah yang dinamakan ketentuan. Saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sumber: Metro