“Tiada Lelaki Akan Cintai Irisa Lebih Dari Baba.” Manja Anak Izara Dengan Adib Khalid

Share

Keletah comel anak kepada pelakon Izara Aishah, Irisa Alaia yang bakal berusia 3 tahun pada April depan dan terlalu manja bersama bapanya, Muhammad Adib Khalid mencuri tumpuan ramai.

Menerusi perkongsian di TikTok, Izara memuat naik gelagat Irisa dan Adib saling berbalas ciuman antara satu sama lain.

@izaraaishahofficialNo man will ever love her more than her baba.♬ original sound – Umer baba

“No man will ever love her more than her baba,” tulis Izara

Hasil tinjauan ke ruangan komen, wargamaya terharu melihat hubungan mesra Irisa bersama Adib dan ada juga warganet memuji kecomelan Irisa yang tak tumpah seperti ibunya.

“Cinta pertama anak perempuan adalah ayahnya.

“Momen paling indah bagi seorang isteri dan ibu, apabila melihat pasangannya iaitu ayah kepada anaknya melayani anak-anak.

“MasyaAllah comelnyaa. Subhanallah indah ciptaan Allah semoga jadi anak solehah sayang like ur mommy🥰”

“Bonding anak dengan ayahnya memang love.”

Sementara itu, berdasarkan perkongsian dari Pakar Motivasi, Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz ada beberapa cara boleh dilakukan sejak anak dalam kandungan sehingga mereka membesar.

  1. Sebaik-baiknya ia perlu bermula dari awal, ketika bayi berada dalam rahim ibu, walau kita masih belum tahu jantinanya. Bacalah Al-Quran, berkomunikasi dengan bayi dan ucaplah kata-kata yang baik pada anak, juga pada isteri.
  2. Bila anak ini dilahirkan, azankan di telinganya. Tak cukup dengan itu, si ayah harus belajar bagaimana untuk membasuh uri anak dan menanam ‘kembarnya’ itu.
  3. Walau badan anak masih lembut, si ayah belajarlah untuk mandikan anak. Kena beranikan diri. Basuh berak anak jangan lupa. Jangan sekadar sental dengan tisu basah, basuh juga ia dengan air paip. Takkan nak harapkan mak mentua atau isteri yang tengah berpantang tu?
  4. Bila anak berusia 7 hari, mohon si ayah cukur rambut bayi. Beli je mesin gunting rambut di Mr DIY. Kemudian, cukur pakai pisau cukur. Senang. Jangan beri alasan takutlah, kepala bayi lembutlah, rasa gelilah, eh, macam-macamlah. Anak kita tu, berilah servis yang terbaik ya.
  5. Bila anak selesai menyusu badan, bersambung pula dengan susu formula, ayah tolonglah belajar buat susu anak. Saya dulu, langsung tak tahu bab ini. Zero! Sampaikan berapa sukatan susu yang perlu diisi dalam botol pun tak tahu. kahkah
  6. Tapi iyalah, bila anak minum susu, mulalah pukul 2 3 pagi duk merengek pada kita suruh buat susu. Jadi, janganlah pergi kejut isteri untuk buatkan. Ayah bangunlah tidur, buatkan dan beri pada anak. Dapat pahala tau.
  7. Bila anak dah besar sikit, selalulah peluk mereka. Cium dahi, pipi, tangan dan ubun-ubun anak. Mereka akan rasa disayangi oleh seorang ayah.
  8. Sebelum anak pandai untuk gosok gigi dan mandi sendiri, si bapa haruslah uruskan benda tu. Gosokkan gigi mereka, jirus dan sabunkan. Anggap saja ia satu khidmat yang kita beri untuk membantu isteri di rumah.
  9. Sikatkan rambut anak perempuan kita selepas mandi. Belajar bagaimana nak ikat rambut mereka. Memang susah, dia lari sana sini. Ah, kau pandai-pandailah kunci pergerakan anak. Kahkah
  10. Orang perempuan suka dipuji, maka pujilah anak perempuan kita selalu. Jangan kedekut untuk cakap comellah anak ayah, cantiklah anak ayah, bagi pickupline ke, apa sahajalah. Yang penting, kata-kata pujian.
  11. Bila kita peluk anak, jangan lupa cakap, “Abi sayang Aya Sophia (nama anak saya).” Buatlah setiap hari. Dan ajar anak kita tu cakap benda yang sama, “Aya sayang Abi.”
  12. Ayah dan anak perempuan perlu ada chemistry. Maksud saya, kena pandai masuk ketika mereka bermain. Sebagai contoh, bila dia naik atas badan kita, maka jadilah kuda. Bila anak main masak-masak, kita cubalah buat-buat rasa masakannya (walaupun tak ada apa-apa yang dia suap pada mulut kita). Gunalah imaginasi untuk mewarnai imaginasi anak kita.
  13. Tonton kartun kegemaran mereka bersama-sama. Bab ini saya suka. Upin Ipin saya tengok bersama mereka, Boboiboy, Ejen Ali, Ultraman, Doraemon dan lain-lain. Err, sebenarnya bapak yang lebih suka, bukan anak. Kahkah
  14. Ayah dan anak perempuan mesti ada trademark. Sebagai contoh, high five ke, fist bumb ke (macam Baymax dalam Big Hero 6), fist bumb macam dalam Ejen Ali ke (Neuro Style), colek ibu jari ke, macam-macamlah yang boleh dibuat.
  15. Bila anak dah pandai bercakap, jadilah pendengar yang baik. Mendengar dengan penuh minat apa yang anak kongsikan, ceritakan, luahkan dan sebagainya. Tunjukkan yang kita prihatin dan sentiasa ada ketika mereka memerlukan. Bukan anak cakap, mata kita dok mengadap phone layan group wassap.
  16. Ayah kena sentiasa berkomunikasi dengan anak. Tanamkan soal akidah kepada anak, berkongsi kisah-kisah Nabi serta ajarkan doa-doa dan Al-Quran. Paling penting, bacakan buku untuk mereka, bukan kita suruh anak baca buku. (bawah 7 tahun)
  17. Si ayah wajib berkongsi pada anak-anak, berkenaan private part, sentuhan selamat dan tidak selamat, menjaga aurat, soal akil baligh anak perempuan dan isu-isu melibatkan kesihatan reproduktif.
  18. Bila anak perempuan ini meningkat usia remaja, ketika itu mereka akan rasa bapanyalah lelaki paling baik, kacak, prihatin, pendengar yang baik dan boleh berkongsi cerita. Maka, mereka tak akan sewenang-wenangnya beri cinta pada lelaki tah mana-mana yang dia jumpa di sekolah, dalam internet atau tepi jalan. Mereka tak akan pilih lelaki selekeh untuk menjadi pasangan hidupnya.

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

Published by
Wan Amy