Sebenarnya tiada masalah untuk ibu hamil untuk menyusu. Walau bagaimanapun, proses penyusuan akan mencetuskan hormon oksitosin yang boleh juga menyebabkan kontraksi.
Menurut Pakar Laktasi, Puan Ratzuraini Rahim, disebabkan oleh perkara ini, ibu mungkin akan merasakan kontraksi ‘Braxton Hicks’ yang lebih kuat daripada biasa. Keadaan ini tidak menjadi masalah bagi kehamilan yang berisiko rendah.
Malah, sehingga tubuh ibu sudah bersedia untuk melahirkan bayi iauitu sekitar 38 minggu, hormon oksitosin tidak banyak memberi kesan pada rahim sama sekali.
Walau bagaimanapun, jika ibu menjangkakan bayi kembar atau ibu pernah mengalami keguguran atau kelahiran pramatang pada masa lalu, ibu mungkin perlu berhati-hati terhadap penyusuan semasa mengandung.
Pastikan keputusan untuk terus menyusu dibincangkan dengan pakar perubatan sebelum meneruskan penyusuan sepanjang kehamilan terutamanya bagi kehamilan yang berisiko tinggi.
Untuk pengetahuan puan, ketika hamil dan dalam masa yang sama ibu menyusukan anak kecil, bayi dalam kandungan (yang belum lahir) tetap akan mendapat semua nutrien lengkap yang diperlukannya daripada tubuh ibu. Dengan itu, pastikan ibu mengambil makanan yang sihat dan kaya dengan pelbagai nutrien secukupnya.
Kebanyakan ibu akan menyedari beberapa perubahan dalam penyusuan ketika hamil. Di awal-awal kehamilan, ibu mungkin akan mengalami puting sensitif yang boleh mengakibatkan rasa sakit ketika menyusu. Kebanyakkan ibu hanya merasa kesakitan dalam masa yang tidak lama. Setelah itu ibu akan mula menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
Setelah usia kandungan mencecah kira-kira lima bulan, payudara akan mula menghasilkan kolustrum bagi mempersiapkan tubuh untuk kelahiran bayi. Anak kecil yang sedang menyusu mungkin tidak suka akan perubahan di mana rasa susu bertukar daripada biasa.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan penurunan dalam kuantiti penghasilan susu pada ketika ini. Disebabkan oleh dua faktor ini, ada juga anak kecil yang terus menolak untuk menyusu disebabkan perubahan itu.
Selepas kelahiran, ibu boleh menyusukan kedua-dua anak iaitu bayi dan anak kecil dengan melakukan tandem feeding. Jangan risau, ibu akan mempunyai susu yang cukup untuk kedua-dua anak. Ini adalah kerana otak akan mentafsirkan bahawa lebih banyak susu yang diperlukan melalui stimulasi daripada kedua-dua anak yang menyusu.
Dengan ini, lebih banyak susu yang akan dihasilkan apabila kedua-dua anak disusukan secara serentak. Ibu-ibu yang melakukan tandem kurang mendapat masalah bengkak payudara atau masititis berbanding ibu yang menyusukan hanya satu bayi.
Namun, jika ibu merasakan terlalu sakit atau penat untuk terus menyusu kedua-dua anak pada waktu yang sama, jangan rasa bersalah untuk berhenti menyusu anak kecil anda.
Keputusan untuk meneruskan penyusuan anak kecil apabila ada bayi baru adalah keputusan peribadi ibu. Jangan terlalu stres sehingga boleh memudaratkan penyusuan bayi baru yang lebih memerlukan khasiat dari susu ibu pada ketika ini.