“Tiba-Tiba Dengar Orang Tercekik, Umayr Cakap Tertelan Syiling..” Terus Ummi Nak Pitam

Share

Dalam fasa nak membesarkan anak, ibu bapa kena extra perhatikan setiap pergerakan anak. Bukan apa pantang terleka sikit, pasti ada je akal anak untuk buat perkara yang diluar fikiran orang dewasa.

Lagipun anak dalam usia 2 hingga 6 tahun mereka sedang aktif untuk meneroka dan nak tahu sesuatu perkara. Jadi akan ada bermacam-macam kejutan buat ibu ayah sementara tunggu anak besar dan boleh berfikir sendiri mana yang baik dan tak baik.

Menerusi perkongsian ibu ini, Puan Nur Azreen Abd Haris, kisah anak yang tertelan duit syiling ini boleh dijadikan peringatan bersama ibu bapa yang lain.

Pengalaman yang takkan ummi dan abi lupakan sepanjang hayat.

Permulaan:

13/03/2021 Ahad

Dalam pukul 2.00 petang macam tu tiba-tiba terdengar bunyi orang tercekik. Rupanya Umayr. Dia datang sambil tangan dia masuk dalam mulut dan minta tolong ummi.

Masa ni, ummi tengah susukan Aman. Terus duduk dan tepuk belakang dia. Menyirap darah sebab ummi suruh tidur petang. Lain kerja dia buat. Bila tanya Umayr makan apa?

“Duit syiling”.

Hilang nyawa ummi kejap. Terbang terus hilang.. Lepas lari pergi dapur. Dia datang semula,

“Ummi takpe, Umayr dah minum air oren” (dia tahu ummi marah). Sambil pegang punggung dia cakap..

“Ummi, nak berak”(dia panik dan ingat boleh terus keluar). Tanya kenapa makan duit syiling, dia jawab..

“Umayr main kuih-kuih dan hamburger” Imaginasi kau nakk. Terus call abi..hujan ribut petang tu. Seribut hati ummi.

Lepas Maghrib, bawa pergi x-ray. Ummi dekat rumah in ‘denial phase’ sebab antara percaya atau tak percaya. Sehinggalah abi bagitau ada duit syilingnya. Dah masuk dalam perut. Lega sekurang-kurangnya tak tersangkut dekat kerongkong (worst case)

Aduhai anak. Ini bukan mimpi. Risaunya ummi bukan kepalang. Doktor bagi ubat lawas dan masa 3 hari untuk next x-ray.

Pertengahan:

16/03/2021 Selasa

Syiling dah bergerak. Doktor ramal dah masuk dalam usus besar. Jangkaannya duit syiling tu saiz 20sen. Ummi kena refresh balik pasal GI tract dengan doktor.

Disebabkan Umayr sihat dan aktif, masih selera makan dan minum, tak demam, sakit perut, muntah dan cirit-birit maka doktor bagi masa lagi untuk cukupkan seminggu.

Sepanjang seminggu ni semua orang yang terlibat masa dia nak membuang kena cek najis dia. Terpaksa pakaikan diaper sebab nak monitor kalau dia berak. Tapinya, dia nak membuang dekat tandas juga.

Bila dia membuang dia akan cakap sendiri “syiling, mana syiling ni. Bila nak keluar”. Sedih ummi dengar. Pujuk dia suruh makan banyak-banyak dan doa supaya cepat keluar.

Sebelum ni abi kalau beli pisang terpaksa sorokkan sampai kadang tu lupa. Ranum dah boleh buat cekodok.

Sebab anak-anak ni suka sangat makan pisang. Boleh habis sesikat sekejap je. Disebabkan kejadian ni, Umayr dapat makan pisang ‘free-flow’. Budak bertuah. Lepas tu bila orang tanya duit syiling dah keluar ke belum, dia kata belum. Bila semua orang asyik tanya, dia stres. Macam-macam nasihat dia dapat.

Masa terasa lambat bergerak. Ummi masih risau fikirkan dia. Ada masa nangis kat tempat kerja. Salahkan diri sendiri tak jadi ibu yang baik. Abi cakap Insha’Allah semua akan ok.

Pengakhiran:

22/03/2021 Isnin 

Terus pergi ke bahagian kecemasan Hospital Shah Alam untuk check keadaan dia. Umayr tetap ceria macam tak ada apa yang berlaku. Siap bergurau dengan doktor. Masa menunggu tu ummi rasa lagi nervous dari nak bersalin.

Alhamdulillah, kami dapat berita gembira. Duit syiling dah tak ada dalam perut Umayr. Rasa ringan bahu terus. Leganyaa..sumpah. Dalam masa yang sama, ummi rasa geram sebab tak nampak duit syiling tu keluar. Gigih kot najisnya.

Balik hospital terus belanja dia makan mee dan belikan toys. Tak apa la ummi bagi peluang. Janji Umayr dah ok.

Apa pun, kejadian ni ummi ambil sebagai “teguran” dan cabaran membesarkan anak. Ada yang bagi sokongan, yang menenangkan hati dan tak kurang juga yang menyalahkan. Bukan kami pinta semua ini terjadi.

Dan ajaibnya ciptaan Allah. Menjadikan sistem tubuh badan dengan sangat hebat. Benda yang agak besar boleh bergerak dalam tempat yang sempit. Amazing!

Terima kasih semua yang sentiasa doakan Ahmad Umayr. Ada di antara doa yang sudah makbul. Alhamdulillah. Insha’Allah, lepas ni akan lebih peka. Bagi yang ada anak kecil, sama-sama kita berhati-hati. Malang tak berbau. Serik dah!

Kredit: Nur Azreen Abd Haris 

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy