Seorang bayi lelaki berusia 50 hari cedera parah akibat digigit kera jantan dewasa dalam kejadian di Kampung Manggis, Sungai Puyu di sini, Sabtu lepas.
Diseret kira-kira satu meter
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, bayi tersebut baru bangun dari tidur dan berada di ruang tamu rumahnya manakala ibu dan neneknya berada di dapur.
Ketika kejadian, semua tingkap jenis nako dan pintu rumah kampung itu tertutup manakala ibu serta nenek mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan sedang membancuh susu dan memasak di dapur. Sementara ayahnya baru keluar ke kedai runcit berdekatan.
“Ibu bayi itu terkejut setelah tiba-tiba mendengar tangisan kuat bayinya dan terus meluru ke ruang tamu, sebelum mendapati bayinya sudah berlumuran darah dan dipercayai diseret kira-kira satu meter dari tilamnya. Seekor kera jantan didapati terus keluar menerusi pintu (rumah),” katanya.
Tambah beliau, ibu mangsa terus menghubungi suaminya memaklumkan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu dan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan gigitan di kepala, perut dan pipi bayi berkenaan, sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.
“Bagaimanapun, bayi itu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 10 malam (hari sama) dan menjalani pembedahan kecil di bahagian perut selain dijahit di beberapa bahagian yang digigit haiwan itu pada pagi Ahad.
Noorzainy berkata, hasil keterangan doktor, mangsa tidak mengalami kecederaan pada ususnya yang mana, pembedahan tersebut hanya untuk mencantumkan bahagian kulit perut yang koyak.
“Mangsa masih dirawat di HPP dan dilaporkan stabil. Dia masih dibawah pemantauan doktor dan akan dirawat di wad dalam tempoh dua minggu lagi.
Ditembak mati
Sementara itu, dalam laporan terbaru, haiwan liar tersebut telah ditembak mati dalam operasi polis bersama Jabatan Perhilitan pada jam 11.30 pagi Isnin.
Menurut Noorzainy, siasatan awal mendapati, kera jantan berwarna hitam itu bersaiz besar serta berbulu agak panjang. Ia bergerak sendirian dan sering berada di kawasan rumah keluarga mangsa serta jiran di situ,” katanya.
Sering berdengus dengan penduduk setempat
Jelasnya, kejadian itu merupakan serangan pertama haiwan tersebut sehingga mendatangkan kecederaan kepada manusia.
“Sebelum ini, kera itu sering berdengus menunjukkan garangnya kepada kanak-kanak serta orang tua yang bermain di luar rumah. Haiwan itu juga sering menyelongkar peralatan periuk belanga di dapur, dipercayai kelaparan.
Kredit: Bernama & Sinar Harian
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI