Seorang bayi berusia 20 hari maut dipercayai akibat tersedak susu, di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Dalam kejadian jam 3.07 petang itu, bayi perempuan berkenaan disedari tidak sedarkan diri oleh bapa angkatnya yang berusia 35 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berkenaan kemudian menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayi terbabit disahkan sudah meninggal dunia.
“Ketika kejadian bayi berkenaan dipercayai sedang menyusu di rumah sewa lelaki berkenaan di Tanjung Kupang.
“Mangsa kemudian mendapati anak perempuannya itu tidak bergerak dan disyaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.
“Mangsa menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayinya itu disahkan sudah meninggal dunia, ” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, bayi perempuan berkenaan dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)pada 27 September lalu.
“Jenazah bayi berkenaan dihantar ke HSA untuk tindakan bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, perkongsian Dr Azila Mohd Kasim mengenai cara elakkan bayi tersedak susu ini boleh ibu praktikkan. Kita cuba, selebihnya kita serahkan pada-Nya.
Hari ini ada lagi kes bayi meninggal dunia akibat tersedak susu.
Masa saya beranak kecil, semasa anak-anak bayi..perkara yang paling saya takuti adalah bayi lemas akibat susu. Alhamdulillah..saya sudah melepasi fasa tersebut.
Saya kongsikan tips susukan bayi :
➡️ Jangan menyusukan bayi bila susu badan terlalu penuh, aliran air susu yang laju boleh membuatkan bayi tersedak.
➡️ Jangan biarkan bayi bawah 6 bulan minum susu sendiri tanpa pantauan, bayi bila tersedak boleh mengakibatkan risiko kematian mengejut.
Selepas susukan anak, jangan lupa sendawakan bayi ya.
Apabila bayi merengek semasa menyusu, itu menandakan bahawa bayi sudah mula tidak rasa selesa pada perutnya.
Jadi, berhenti menyusukan dan cuba sendawakan bayi. Menangis yang berterusan dapat membuatkan bayi tertelan lebih angin sehingga membuatkannya meragam dan mudah termuntah.
Di dalam badan bayi mengandungi gas dan mereka cuba untuk keluarkan gas tersebut. Apa yang berlaku adalah abdomen bayi sedang mengalami kontraksi untuk menolak gas yang terapung, yang bergerak untuk disendawakan.
Jadi bayi akan menangis, berbunyi, cuba bercakap untuk beritahu bahawa dia tidak selesa.
Waktu Terbaik Sendawakan Bayi
➡️ Bagi yang menyusu botol. Adalah dinasihatkan untuk sendawakan bayi selepas menyusukannya sebanyak 2 ke 3 auns (60 ke 90 ml) susu.
➡️ Bagi yang menyusu badan, sendawakan anak sebelum beralih ke sebelah payudara lagi.
Posisi Betul Untuk Sendawakan Bayi
Terdapat beberapa cara untuk sendawakan bayi mengikut kesesuaian ibu bapa.
Caranya ialah melentokkan bayi pada bahu dan menepuk belakangnya dengan perlahan.
Bayi ditiarapkan @ dibaringkan di atas bahu ibubapa / penjaga di mana dada bayi akan ditekan oleh bahu penjaga.
Tambah bantuan dengan menepuk secara perlahan / gosok belakang bayi bagi memudahkan gas dikeluarkan.
2️⃣ Bayi ditiarapkan di atas lengan secara 45° dan tepuk secara perlahan-lahan di belakang bayi.
Sebelah tangan digunakan untuk menyokong dada dan sebelah lagi untuk menepuk belakang. Lentokkan badan sedikit ke hadapan untuk memudahkan sendawa.
Bagi bayi baru lahir, pastikan leher dan kepala disokong.
Bayi ditiarapkan di atas riba dan tepuk-tepuk sahaja belakang bayi untuk memudahkan gas dikeluarkan.
Menukar bayi kepada beberapa posisi juga dapat membantu mengeluarkan angin dengan lebih lancar.
Fokuskan menepuk belakang bayi pada bahagian kiri kerana lokasinya yang berdekatan dengan perut.
Jika bayi meragam tetapi tidak dapat sendawa, ibu bapa boleh cuba untuk melakukan urutan lembut pada bahagian perut atau lakukan pergerakan ‘mengayuh basikal’ dalam keadaan bayi berbaring.
Melatih bayi untuk meniarap juga dapat membantu mengurangkan gas dalam perut.
Persediaan Yang Boleh Dilakukan
Sediakan kain lap yang bersih ketika menyusukan bayi. Harus diingat bahawa bayi boleh termuntah semasa sendawa.
Sampai Bila Bayi Patut Disendawakan?
Pada awal kelahiran bayi perlukan perhatian khusus kerana anggota badannya yang masih berkembang.
Lama-kelamaan, ibu bapa tidak perlu sendawakan bayi sekerap dahulu kerana sistem penghadamannya yang semakin matang mengikut usia.
Semoga perkongsian ini dapat membantu ibubapa sekalian.
Kredit: Berita Harian & Dr Azila Mohd Kasim