Tidak Cukup Zat Besi Ganggu Kepintaran Anak. Baca Dan ‘Hadam’ Tip Nombor 4

Share

Soalan:

Saya baru sahaja melahirkan anak sulung. Saya ingin tahu apakah amalan pemakanan yang boleh membantu saya mendapatkan anak yang cerdik otaknya?

Jawapan:

Jawapan saya, boleh! Soalan ini adalah soalan yang sering kali saya terima ketika berbincang dengan ibu-ibu hamil. Saya lihat mereka sanggup berpantang pelbagai perkara yang dirasakan boleh menjejaskan tumbesaran anak ketika mengandung, tetapi mula lupa tentang aspek yang perlu dititikberatkan selepas anak dilahirkan dan dalam proses membesar.

Pemakanan bayi memberi kesan kepada perkembangan otaknya bermula di antara pertengahan kehamilan dan usia dua tahun. Pertumbuhan otak yang tidak mencukupi menjelaskan mengapa kanak-kanak yang kekurangan nutrisi semasa janin dan bayi mengalami defisit tingkah laku dan kemahiran kognitif seperti lambat bercakap, IQ rendah dan pencapaian akademik yang rendah.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu puan dan suami lakukan bagi memastikan anak membesar sebagai seorang anak yang pintar.

1. Selepas kelahiran, pertumbuhan otak ini sangat bergantung kepada kualiti pemakanannya. Susu ibu menawarkan campuran nutrien paling baik untuk menggalakkan pertumbuhan otak. Oleh yang demikian, kualiti susu ibu sangat bergantung kepada kualiti pemakanan puan. Elakkan makanan diproses seperti jeruk, keropok, kerepek dan lain-lain lagi. Variasikan jenis makanan dan makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Ini bermakna lebih banyak vitamin yang diperolehi daripada jenis makanan tersebut.

2. Pilih makanan yang mengandungi protein berkualiti tinggi. Banyakkan makan ikan terutamanya ikan yang tinggi dengan Omega-3 seperti salmon, tenggiri dan kembung. Selain itu, dapatkannya juga daripada suplemen seperti minyak ikan atau makanan yang telah ditambah dengan omega-3 seperti telur, susu dan lain-lain.

3. Setelah bayi mencapai usia enam bulan, kenalkan dia kepada makanan yang sihat dan lengkap. Dia boleh diperkenalkan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijadikan puri. Masukkan sumber protein secara perlahan-lahan ke dalam menu hariannya. Puri boleh dicampurkan dengan perahan susu ibu untuk menjadikannya lebih berkhasiat dan enak. Jangan hadkan pemakanan anda hanya dengan bubur nasi atau bijirin komersial semata-mata.

4. Kekurangan zat besi dikaitkan dengan defisit kognitif pada anak. Oleh itu, penting untuk beri dia zat besi mencukupi. Zat besi bukan sahaja banyak terdapat dalam kerangan dan organ dalaman tetapi turut wujud di dalam lauk pauk seharian seperti ayam, daging dan ikan.

5. Beri anak makan banyak sayur dan akhiri dengan buah-buahan sitrus yang tinggi dengan Vitamin C. Zat besi adalah kritikal untuk mengekalkan kebolehan sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan.

6.Jika anak tidak disusukan dengan susu ibu, pilihlah susu formula bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Susu-susu ini diformulakan untuk meniru formula yang terdapat di dalam susu ibu.  Namun, harus diingatkan bahawa susu ibu mempunyai lebih keupayaan untuk meningkatkan kepintaran anak.

Soalan ini dijawab oleh Noorlailina Moha Mohtar, Pegawai Dietetik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah

Published by
Intan Jastina