Ayah mana yang tidak sedih jika dirinya tidak mampu menyediakan kemudahan yang cukup buat anak-anak. Suami mana yang tidak tercalar egonya jika tidak dapat memberi yang terbaik buat si isteri. Pelakon Reza Hasbi melalui Insta Story, memohon kemaafan dari anak-anaknya kerana tidak dapat membeli sebarang kelengkapan buat mereka.
Selain itu, ayah kepada dua orang anak, Muhammad Rifqi Danial dan Muhammad Rafi Daiyan turut memberitahu ada bayaran yang belum dilunaskan walaupun penggambaran sudah selesai lebih kurang lima bulan lalu. Dalam perkongsiannya itu juga, Reza meminta agar isterinya, Rosedarlila dan anak-anaknya bersabar dan memberinya sedikit masa sebelum mungkin menarik diri dari industri seni.
Tidak mahu dipandang serong, Reza memberitahu tindakannya berkongsi tentang hal ini bukanlah untuk meraih simpati. Dia hanya terkilan kerana nasibnya di dalam bidang lakonan seolah-olah tidak terbela. Tambahnya lagi, ada beberapa tawaran yang datang tetapi terpaksa ditolak kerana menurut syarikat pengurusan, dia kononnya dibayar murah.
Reza merasa serba salah dengan situasi ini kerana menyedari hakikat dia sebagai ketua keluarga harus menyediakan segala keperluan buat isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Pun begitu, Rosedarlila sangat menyokong suaminya dan memberi kata-kata semangat kepada Reza menerusi posting di laman Instagram peribadinya.
Tidak lama dahulu dia terpaksa tinggal di kampung bersama keluarganya di Kuala Kangsar, Perak kerana tiada sebarang tawaran berlakon. Kehidupannya di sana juga atas ihsan kedua orang tuanya. Bahkan untuk mengisi minyak kereta pun terpaksa meminjam wang dari isterinya yang sangat memahami. Lampin dan susu anak juga dibeli oleh Rosedarlila.
Demi meneruskan kelangsungan hidup dan memikirkan tanggung jawabnya sebagai seorang suami dan bapa, Reza tidak segan mengakui yang dia mengambil upah sebagai kontraktor memasang siling di rumah orang. Sekurang-kurangnya pendapatan yang diperolehi Reza bolehlah digunakan untuk kepentingan keluarga.
Pa&Ma mendoakan yang terbaik buat Reza dan keluarganya. Semoga niatnya yang ikhlas memikirkan soal isteri dan anak-anak akan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah pada masa hadapan. Berkat doa dan pengorbanan isteri tercinta, mana tahu akan lebih banyak tawaran pekerjaan untuk Reza selepas ini. Semoga berjaya, Reza Hasbi!
Sumber: Reza Hasbi & Rosedarlila
https://www.majalahpama.my/angin-tak-boleh-masuk-melalui-kaki-kalau-nak-pakai-stokin-masa-berpantang-ini-stokin-yang-betul/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI