Betul ke bayi tidur mengiring adalah cara terbaik? Ini kerana kebanyakan ibu bapa baharu tertanya-tanya posisi tidur bayi yang betul dan selamat.
Jika anda salah seorang daripadanya, teruskan membaca perkongsian artikel ini bagi mendapatkan jawapannya. Semoga bermanfaat!
Betul ke bayi tidur mengiring yang terbaik?
Menurut saranan American Academy of Pediatrics (AAP), tidur secara mengiring adalah tidak selamat untuk si kecil.
Terdapat beberapa sebab mengapa posisi tidur mengiring bagi bayi yang baru lahir menjadi tidak selamat. Ia memberi tekanan tambahan pada rahang – berisiko menyekat saluran pernafasan bayi.
Posisi tidur ini juga menyebabkan kepala si manja berada dalam kedudukan yang menyebabkan mereka menghirup udara kitar semula – tidak segar – secara berterusan. Ia boleh membawa kepada pengumpulan karbon dioksida dan kekurangan oksigen.
Posisi tidur bayi yang betul adalah berbaring secara menelentang.
Walaupun ada yang menyatakan bayi tidur mengiring adalah lebih selamat untuk mengelakkan si kecil muntah atau mengalami refluks, namun ia tidak benar. Bahkan, apabila tidur dalam keadaan telentang, bayi yang kerap refluks akan kurang mengalami keadaan tersebut.
Selain itu, meletakkan bayi tidur secara telentang pastinya lebih selamat daripada tidur meniarap kerana ia meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) dan sesak nafas.
SIDS adalah penyebab utama kematian bayi antara usia sebulan dan setahun.
Pilihlah posisi tidur bayi yang betul ini
Demi keselamatan, semua bayi harus ditidurkan secara menelentang pada tahun pertama kehidupan. Ini juga termasuk kepada bayi pramatang. Bayi yang tidur dalam posisi ini mempunyai risiko SIDS lebih rendah.
SIDS cenderung untuk terjadi dalam tempoh 6 bulan pertama kehidupan – kebanyakannya berlaku pada usia 1-4 bulan. Disebabkan itu, amat penting untuk memastikan si kecil tidur menelentang.
SIDS umumnya jarang terjadi selepas usia bayi 12 bulan.
Menelentang adalah posisi tidur yang betul
Pun begitu, sesetengah bayi pramatang dengan penyakit pernafasan mungkin perlu tidur secara meniarap. Namun ia harus dilakukan dalam persekitaran yang diawasi secara perubatan, seperti hospital.
Walaupun menelentang adalah posisi tidur bayi yang betul, sesetengah ibu bapa bimbang keadaan tersebut boleh meratakan kepala si kecil. Sekiranya berlaku, ia hanya bersifat sementara.
Galakkan si manja berbaring dan meniarap ketika berjaga boleh membantu mencegahnya.
Ada juga kebimbangan kononnya bayi akan tersedak muntah atau mengeluarkan air liur semasa menelentang. Tetapi National Institutes of Health (NIH) melaporkan tiada bukti mengenainya. Malah dipercayai bayi tidur dalam posisi ini mungkin dapat mengeluarkan cecair lebih berkesan.
Perkara boleh dilakukan & elak untuk mendapatkan posisi tidur bayi yang betul
Menyediakan persekitaran selamat semasa tidur adalah sama pentingnya seperti memastikan si manja lena dalam posisi yang betul.
Mustahak untuk memastikan kawasan tidur bayi tidak mempunyai barang yang boleh mengakibatkan mereka lemas atau terperangkap.
Berikut antara langkah-langkah boleh diambil untuk persekitaran bayi selamat:
Lakukan ini untuk dapatkan posisi tidur bayi yang betul
- Meletakkan bayi tidur menelentang
- Memastikan permukaan tidur rata dan padat
- Gunakan katil bayi, bassinet atau katil bayi mudah alih
- Galakkan tummy time semasa bayi terjaga tetapi masih diawasi
- Pastikan tiada barangan gantung berdekatan
- Gunakan tilam yang dipasang cadar fitted
- Pastikan suhu bilik selesa
- Tetapkan rutin tidur apabila bayi berusia 4-6 bulan
Elakkan
- Bantal, boneka haiwan, selimut, comforter atau bean bag
- Bayi tidur di atas tilam empuk, sofa atau katil air (air mattress)
- Menutup kepala bayi
- Mendedahkan bayi kepada asap rokok
- Berkongsi katil dengan bayi kerana risiko sesak nafas
- Gunakan selimut atau cadar longgar
- Letakkan bayi berdekatan dengan penghawa dingin atau lubang pemanas
- Memakaikan bayi terlalu banyak lapisan pakaian
Tip lain:
Perkara berikut juga boleh membantu mengurangkan risiko SIDS:
- Dapatkan suntikan yang disyorkan, kerana ini boleh membantu melindungi bayi daripada SIDS
- Mengikut jadual temu janji doktor
- Lakukan penyusuan eksklusif sehingga bayi berusia 6 bulan
- Elakkan minum alkohol, merokok, dan mengambil dadah semasa kehamilan
Pilihlah posisi terbaik
Menelentang adalah posisi tidur bayi yang betul dan terbaik sehingga bayi berusia setahun. Ia terbukti dapat mencegah SIDS.
Manakala kedudukan bayi tidur mengiring adalah selamat apabila bayi berumur lebih 4-6 bulan kerana sudah pandai berguling sendiri selepas dibaringkan telentang.
Membawa bayi baru lahir pulang ke rumah boleh mewujudkan rasa gelisah dan bercampur baur, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.
Sebaiknya jika terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan mengenai keadaan tidur yang selamat, rujuklah kepada doktor atau pakar pediatrik untuk mendapatkan maklumat lanjut dan lebih kepastian.
Amat penting untuk memastikan si manja tidur dalam keadaan yang selamat dan posisi betul untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.
Kredit: Hello Doktor
Dah tak ada idea nak masakkan apa untuk anak, semua dia tolak. Tak tahulah di mana silapnya padahal dah cuba macam-macam resipi. Untuk mommies yang ada masalah anak susah makan, jom segera dapatkan e-book 100++ Resipi Si Manja & Tip Untuk Mama!
Hanya RM20, memang berbaloi dengan pelbagai resipi menarik serta info pemakanan anak. Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/e-book-resipiselerasimanja/ untuk dapatkan e-book istimewa ini!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI