Untuk anak yang masih kecil, kebanyakan ibu biasanya tidak yakin untuk memberi kudapan yang dibeli di pasaran. Walaupun sudah dinyatakan bahan-bahan yang digunakan dalam proses pembuatan kudapan di packaging, masih ada rasa ragu-ragu untuk memberinya kepada si manja.
Lebih baik jika ibu boleh buat sendiri apa saja jenis snek untuk anak menggunakan ramuan semula jadi yang pastinya lebih sihat.
Sekiranya anak anda sukakan labu, bolehlah cuba resipi ini. Tidak sukar untuk dibuat dan rasanya juga berlemak, pasti digemari anak. Resipi biskut labu versi bayi ini dikongsikan oleh Farisha Sofea di laman Facebooknya.
Berikut bahan-bahan serta cara membuat biskut labu;
*BISKUT LABU VERSI BABY*
Bahan-bahan:
250g mentega tanpa garam
3/4 cawan labu (dah direbus & dilenyek)
2 sb madu (1 tahun ke atas)
1 sb krim keju
2 1/4 cawan tepung gandum tanpa bahan peluntur
2 1/4 cawan tepung jagung
Cara-cara:
1. Pukul mentega sehingga kembang dan gebu. Masukkan labu, madu dan juga krim keju. Pukul sebati.
2. Masukkan pula bahan tepung. Masukkan sedikit demi sedikit sambil diuli hingga adunan menjadi doh.
3. Tidak perlu habiskan semua tepung jika adunan sudah menjadi doh. Canaikan doh mengikut ketebalan yang diinginkan.
4. Kemudian terap menggunakan acuan / bentukkan mengikut citarasa masing-masing.
5. Susunkan di dalam loyang pembakar yang telah dioles dengan sedikit minyak. Ulang proses sehingga selesai .
6. Panaskan oven. Bakar pada suhu 180C selama 25 minit atau sehingga masak bergantung kepada oven masing masing.
7. Setelah masak, sejukkan seketika sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
Siap , selamat mencuba!
Baca Juga:
Resipi Baked Potato Sedap & Mengenyangkan. Boleh Buat Bekal Anak Pergi Sekolah, Mudah Sangat!
Resipi Mi Sizzling Abang Remy, Makan Panas-Panas Memang Syok! Hidangan Sesuai Untuk Satu Famili
Labu mempunyai kandungan serat yang baik untuk membantu sistem penghadaman bayi. Jika diambil dalam kuantiti terkawal, ia dapat membantu mengelakkan sembelit. Warna kuning pada labu adalah disebabkan komponen beta karoten dan vitamin A yang berfungsi menjaga kesihatan mata.
Labu mempunyai tryptophan yang membantu penghasilan serotonin. Ia dikaitkan dengan bahan kimia yang berkait dengan rasa gembira dan ketenangan. Dengan pengambilan labu, ia membantu bayi untuk mendapatkan tidur yang berkualiti dan lebih lena.
Di dalam labu juga terkandung vitamin C yang baik untuk membantu bayi diserang demam selesema serta menguatkan sistem imunisasi mereka. Labu mempunyai kalsium dan magnesium yang sangat penting untuk pertumbuhan tulang yang baik.