
Hanya tinggal tiga bulan lagi sebelum menyambut kelahiran anak ketiga, namun takdir Tuhan mendahului segalanya.
Seorang suami, tempat isteri berpaut dan pelindung dua anak kecil, pergi menghadap Ilahi selepas terlibat dalam nahas menyayat hati di Kilometer 41, Jalan Batu Pahat–Kluang, pagi Selasa.
Mangsa, Mohamad Salrizal Rohani, 31, yang bekerja sebagai runner di sebuah pejabat peguam, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pacuan empat roda dipandunya melanggar sebuah lori yang berhenti untuk masuk ke simpang di laluan berkenaan.

Bagi isterinya, Naziha Mohd Salleh, 31, yang kini mengandung enam bulan, kehilangan suami tercinta itu begitu perit untuk diterima. Malam sebelum kejadian, arwah sempat meluangkan masa bersama dua anak perempuan mereka berusia empat dan dua tahun tanpa sesiapa tahu, itulah rupanya pertemuan terakhir mereka.
“Saya tak sangka kunjungan arwah ke rumah ibu di Taman Mengkibol malam itu jadi kali terakhir dia bersama anak-anak. Saya tak ikut sebab bekerja,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya lagi, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pada malam tersebut.

“Arwah pergi tanpa sebarang pesan… malah ketika pulang bekerja dia seperti biasa, tak ada langsung tanda-tanda akan tinggalkan kami buat selamanya,” ujarnya ketika dikunjungi Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin di rumahnya di Taman Mengkibol.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi dan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dipandu mangsa serta sebuah lori satu tan jenis Daihatsu yang membawa muatan batu blok, dipandu lelaki berusia 31 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati lori tersebut berhenti di simpang untuk masuk ke kawasan UK Farm sebelum dilanggar dari belakang oleh pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah yang sama.

“Perlanggaran dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori tersebut. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


