Ada ibu yang bertanya bagaimana dan bilakah kita patut tangan-tangankan anak seperti yang disarankan pepatah? Dan bilakah kita patut mula mendisiplinkan anak?

“Proses disiplin bermula dari peringkat bayi oleh itu kita perlu ‘tangan-tangankan’ anak dari bayi lagi.”

Ini jawapan dari Perunding Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar buat ibu bapa dalam memberi didikan terbaik untuk anak.

Jawapan yang saya berikan ini sering membuatkan ayah dan ibu terdiam sejenak.

Tiga Kaedah Ini Dilakukan Masa Peringkat Bayi, Mampu Disiplinkan Anak Dari Awal

Jika disiplin pada tafsiran anda adalah menggunakan kekerasan dan hukuman semata-mata, maka anda silap.

Disiplin bermula dengan membina RASA PERCAYA (trust) dalam diri anak.

Rasa percaya tersebut dibina dengan menggunakan tangan tangan ibubapa.
Ayah dan ibu perlu mengangkat bayi, mendukung bayi, membelai bayi, menenangkan bayi, menyusukan bayi, memandikan bayi, mendodoi bayi, dan bermain dengan bayi.
Bukankah semua ini menggunakan tangan?

Inilah tafsiran ‘tangan-tangankan’ yang perlu diamalkan ketika usia awal.

Seorang anak yang percayakan ayah dan ibu yang menguruskannya dan memberi perhatian kepadanya dari lahir, akan percaya apabila ayah atau ibu berkata
“Adik tak boleh ke situ, bahaya” ataupun “Adik cuma boleh guna fon Ibu selama 10 minit.”

Mereka akan patuh kerana mereka percaya.

IKLAN

BAGAIMANA KAEDAH MENDISIPLINKAN BAYI?

  1. MEMBERI RESPON PADA TANGISAN BAYI.

Setiap bayi dilahirkan dengan Attachment Promoting Behaviour (APB) atau Tingkahlaku yang menggalakkan perapatan antara bayi dan ibunya.
InI merupakan fitrah seorang bayi.
APB merupakan bahasa yang paling awal digunakan oleh bayi untuk berkomukasi dan menyampaikan keperluannya sebelum dia mula bertutur.
APB yang utama adalah tangisan bayi.

ASAS DISIPLIN YANG PALING PENTING adalah memberi respon kepada tangisan bayi. Apabila bayi menangis, angkatlah dia dan tenangkanlah dia. Dia cuba berkomunikasi dengan anda. Dia juga cuba membina perapatan atau ‘attachment’ dengan anda melalui APB.
Pesan juga kepada pengasuh bayi supaya tidak membiarkan bayi menangis terlalu lama tanpa dilayan. Bayi bukannya manipulatif atau cuba menyusahkan orang dewasa tetapi bayi cuba berkomunikasi dan mewujudkan rasa percaya kepada orang dewasa yang terdekat dengannya.

Dari sinilah asas kepercayaan terbentuk.
Jika kita memberi respon kepada ketidakselesaan yang bayi alami, bayi akan membina rasa percaya kepada kita. Dia percaya yang kita akan berada di sisinya apabila diperlukan. Dia percaya kita akan pastikan keselamatan dirinya. Suatu hari nanti dia percaya bahawa nasihat dan tegahan kita adalah untuk kebaikannya.

Jika kepercayaan yang asas ini tidak terbina ketika bayi, dia membesar tanpa rasa selamat dan tanpa peduli dengan arahan dan tegahan terhadapnya.

Amalan ini juga melahirkan anak-anak yang peduli akan emosi dan kesusahan yang dialami oleh orang lain kerana mereka biasa dipedulikan oleh ayah, ibu dan penjaga ketika usia bayi.

  1. MENGGENDONG BAYI (BABY WEARING)

Aneh bukan, bagaimana menggendong bayi dapat membentuk disiplin anak?
Bukankah gendong cuma trend semasa?

IKLAN

Kajian* menunjukkan bahawa bayi yang digendong menjadi lebih tenang dan kurang meragam. Pergerakan (motion) menenangkan bayi. Merasai degupan jantung ibu atau ayah juga menenangkan bayi.
Rasa tenang dan selamat adalah juga ASAS DISIPLIN YANG PENTING. Anak yang tenang menjadi kurang impulsif dan kurang memberontak dengan kemarahan.

Dengan menggendong, bayi ikut ke mana ibu atau ayah pergi, bayi melihat apa yang dilihat ayah ibu dan bayi mendengar apa yang didengari dan diperkatakan oleh ayah dan ibu dengan jelas.
Ini membuatkan bayi merasakan dirinya penting dan menjadi sebahagian dari dunia ayah dan ibu.
Gendong juga membuatkan ibubapa lebih sensitif kepada keperluan bayi kerana bayi sentiasa dekat dengan ibubapa.

Ayah dan ibu yang ‘connected’ dengan anak akan menjadikan anak lebih sensitif terhadap harapan dan keperluan ibubapa apabila anak semakin meningkat usia.

Anak akan faham jelingan ayah bermaksud tegahan. Dia akan faham ibu mempunyai harapan agar dia berkelakuan baik. Dia akan tahu tingkah laku manakah yang patut dielakkan kerana akan membuatkan ayah dan ibu sedih dan kecewa.

Tiga Kaedah Ini Dilakukan Masa Peringkat Bayi, Mampu Disiplinkan Anak Dari Awal

  1. BERMAIN DENGAN BAYI

Apa pula kaitan bermain dan disiplin?
Bukankah apabila kanak-kanak bermain mereka akan bergerak lasak ke sana ke mari dan sepahkan rumah? Bukankah jika bermain mereka susah hendak berhenti untuk melakukan rutin yang lain?

IKLAN

Bermain membuatkan ibubapa lebih memahami keupayaan dan kekurangan seorang anak. Ibubapa akan lebih memahami tingkah laku dan emosi pada setiap perkembangan anak melalui bermain.

Apakah yang membuatkan anak gembira?
Apakah yang menyebabkan anak sedih dan kecewa?
Apakah yang membuatkan anak patuh?
Apakah yang membuatkan anak berkecenderungan untuk melawan?

Mengenali anak anda akan membuatkan anda tahu kaedah disiplin manakah yang lebih berkesan ke atasnya dan kaedah disiplin manakah yang tidak diendahkannya.
Adakalanya anak tidak berdisiplin kerana ibubapa menggunakan kaedah yang tidak sesuai dengan pembawaan dan perkembangan mereka.

Bermain juga membuka peluang kepada perkakasan atau ‘tool’ disiplin yang sangat penting iaitu humor.
Gelak ketawa, senyuman dan keletah anak akan:

1) mengenepikan konflik atau stress
2) membina tumpuan anak
3) membuatkan anak terbuka menerima suruhan dan tegahan.

Jika anak sudah biasa mengikut peraturan permainan, dia juga mudah mengikut arahan yang diberikan oleh ibubapa dan patuh kepada ‘authority’.

Praktikkanlah ketiga-tiga kaedah ‘tangan-tangankan’ anak ketika bayi untuk membina asas disiplin. Tanpa RASA PERCAYA dan tanpa PERAPATAN, anak-anak tidak akan peduli dengan arahan ataupun peraturan yang kita tetapkan. Anak juga tidak sensitif terhadap keperluan dan harapan ibubapa.

Apabila usia anak semakin meningkat, dan dia mula memahami konsep ‘kesan dan akibat’, langkah seterusnya bagi ibubapa adalah untuk menetapkan batasan (boundary) ataupun peraturan. Fungsi peraturan bukannya untuk mengongkong sebaliknya ia melatih anak supaya menjadi insan yang berdisiplin, beradab dan berakhlak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI