Kes kembar siam sebenarnya banyak ada di serata dunia, tetapi kurang diberi perhatian kerana peratusannya tidak setinggi kembar normal. Bukan mudah untuk membesarkan anak kembar siam, bahkan mereka juga sukar untuk menjalani kehidupan harian kerana ‘melekat’ antara satu sama lain.
Sebuah kes kembar siam di Bangladesh akhirnya diselesaikan dengan kejayaan seramai 35 pakar bedah yang bertanggungjawab menjalankan pembedahan untuk memisahkan mereka.
DHAKA – Sepasukan 35 pakar bedah Hungary berjaya memisahkan sepasang kembar siam Bangladesh yang bercantum di bahagian tengkorak selepas menjalani pembedahan selama 30 jam.
Kembar berusia tiga tahun itu dinamakan sebagai Rabeya dan Rukaya, lahir dalam keadaan kepala mereka bercantum dan ia hanya berlaku sekali dalam setiap enam juta kelahiran.
Pakar bedah Andras Csokay berkata, keadaan pasangan kembar siam itu stabil dan kini dalam proses pemulihan.
Sementara itu, bapa kepada pasangan kembar itu, Rafiqul Islam turut melahirkan rasa lega dan gembira atas kejayaan itu.
Ads
“Doktor berjaya memisahkan anak saya. Saya menyaksikannya sendiri. Keadaan mereka baik. Saya berharap kedua-dua anak perempuan saya akan pulih sepenuhnya dan menjalani kehidupan normal,” kata Islam.
Sebelum pembedahan doktor hanya memberi peluang 50 peratus untuk pasangan kembar itu terselamat. – AFP
Baru Darjah 2, tapi jurus tari bagaikan pendekar, Adrean Mohd Safzan Akhtar berjaya mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai johan acara silat pada usia seawal 8 tahun.
Anak kecil ini membuktikan bahawa seni silat bukan sekadar warisan nenek moyang, malah masih hidup subur dalam jiwa generasi muda. Kejayaan Adrean dalam Pertandingan Persembahan Perguruan Silat anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Sabtu lalu, benar-benar membuka mata bahawa bakat anak-anak mampu menyerlah jika diberi ruang dan sokongan.
Walaupun baru murid Darjah 2, Adrean berjaya mengungguli kategori solo remaja bawah 13 tahun. Rakaman persembahannya yang dikongsi di media sosial menunjukkan setiap langkah jurusnya kemas, yakin dan penuh aura seorang pendekar.
Dengan busana silat serba hitam bercorak keemasan serta tanjak di kepala, penampilan Adrean menyerlahkan karisma luar biasa. Walaupun tubuh kecil, gerakannya lembut gemalai tetapi penuh tenaga, membuatkan ramai yang terpukau.
Kejayaan Adrean mendapat pujian netizen. Rata-rata meluahkan rasa kagum dan menganggapnya sebagai bukti bahawa seni silat masih relevan untuk diterapkan dalam diri generasi muda.
“Inilah perlu diterapkan dalam diri anak muda supaya budaya bangsa terus dijunjung. Syabas!” tulis seorang pengguna Facebook.
Malah, ramai juga menyanjung usaha ibu bapa Adrean yang memperkenalkan seni warisan bangsa ini sejak kecil. Kata mereka, sokongan keluarga adalah kunci melahirkan pesilat berkualiti dan berdisiplin.
Kemenangan Adrean bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi simbol bahawa silat mampu membentuk sahsiah, jati diri dan keyakinan anak-anak. Ia menjadi bukti bahawa warisan bangsa ini masih boleh terus dimartabatkan sekiranya diberi perhatian sejak usia kecil.
Buat ibu bapa, kisah Adrean ini boleh dijadikan inspirasi untuk mendedahkan anak kepada aktiviti bermanfaat seperti seni mempertahankan diri. Selain menyihatkan tubuh badan, ia juga mendidik anak tentang disiplin, hormat kepada guru, serta membina keyakinan diri yang tinggi.
Dengan sokongan keluarga dan dorongan masyarakat, tidak mustahil semakin ramai pendekar cilik akan lahir, sekali gus memastikan seni silat terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesihatan anak adalah segalanya bagi seorang ibu. Bila anak tak sihat, dunia boleh rasa gelap serta-merta. Orang mungkin nampak kita masih tersenyum, masih berjalan seperti biasa tapi dalam hati hanya Allah yang tahu bagaimana rapuhnya jiwa seorang ibu yang terpaksa melihat anak sendiri menanggung sakit. Dalam kisah ini, pengalaman berkaitan infective enteropathy kanak-kanak menjadi pusat ujian besar seorang ibu.
Kadang kita memang tak pernah terfikir bahawa anak kecil yang kita peluk setiap malam, yang kita mandikan, yang kita suapkan dengan penuh kasih tiba-tiba diuji dengan penyakit yang langsung tak pernah ada dalam bayangan kita.
Waktu itu, hati seorang ibu terus luruh. Bukan sebab penat, tapi sebab tak sanggup melihat anak melalui perkara yang sepatutnya tak perlu pun dilalui oleh insan sekecil itu. Namun sebagai seorang ibu, kita tak ada pilihan. Kita tetap bangun. Tetap bertahan. Tetap kuat sebab kita tahu anak perlukan kita lebih daripada sesiapa pun.
Begitulah juga kisah seorang ibu yang berkongsi pengalamannya di FB, Amira Aziz, yang akhirnya mampu menarik nafas lega selepas melalui episod paling berat dalam hidupnya.
Selepas 39 hari berada dalam wad, akhirnya anaknya, Ayla, dibenarkan discharge. Dalam perkongsiannya, Amira meluahkan rasa syukur yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Ayla disahkan menghidap post infective enteropathy, keadaan di mana usus anak sedang luka sehingga tak mampu menyerap nutrisi dengan baik. Disebabkan itu, Ayla perlu bergantung kepada susu khas Neocate untuk memastikan badannya tetap mendapat nutrisi yang cukup.
“Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah setelah 39 hari dalam wad..anak saya dapat discharge semalam..syukur Alhamdulillah..yang mana tanya anak saya sakit apa..anak saya post infective enteropathy.
“Usus anak saya sekarang tengah luka jadi usus dia tak dapat serap nutrisi-nutrisi anak saya kena minum susu khas..susu neocate.”
Namun katanya lagi, susu itu bukan mudah untuk diminum. Bau pun sudah buat tekak meloya, apatah lagi nak telan. Sebab itu Ayla terpaksa minum melalui tube, termasuk sepanjang 3 bulan seterusnya di rumah. Bayangkan perasaan seorang ibu. Setiap kali tengok anak kecil sendiri makan melalui tiub, bukan mulut. Setiap kali terpaksa menahan sebak bila bau susu pun buat dia rasa nak muntah, tapi itu saja pilihan untuk memastikan anak terus kuat.
“Masuk tanpa tube balik dengan bertube untuk 3 bulan nie..kenapa anak saya kena minum pakai tube sebab susu tu tak sedap saya bau susu tu pun nak muntah apatah lagi anak saya nak minum ikut tekak.”
Namun dalam semua kepayahan itu, Amira tak putus mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan. Doa-doa itu jadi kekuatan untuk dia dan Ayla bertahan sepanjang hari-hari mencabar di wad.
“Terima kasih semua yang sentiasa doakan untuk anak saya sepanjang dalam wad..semoga Ayla lepas nie diberikan kesihatan yang baik2 dan membesar dengan sihat..in Sha Allah..Aamiin YRA”
Semoga Ayla membesar dengan sihat, kuat, dan kembali ceria seperti anak-anak lain.
Infective enteropathy pada kanak-kanak ialah keadaan di mana usus kecil mereka jadi luka atau meradang selepas kena jangkitan. Bila usus luka, ia tak boleh berfungsi seperti biasa, dan tidak dapat serap nutrisi daripada makanan atau susu. Untuk kanak-kanak terutamanya bayi ini bahaya sebab badan mereka sangat bergantung pada nutrisi untuk membesar.
Bayi pula biasanya lebih sensitif:
Senang cakap: makanan masuk, tapi badan tak dapat serap. Sebab itu anak tak naik berat, kurang tenaga, nampak pucat, dan lambat sembuh bila sakit. Usus pula perlukan masa untuk pulih, kadang beberapa minggu atau bulan.
Doktor akan tentukan bila selamat untuk mula solid food semula.
Ya, insyaAllah kebanyakan kanak-kanak pulih sepenuhnya. Tapi prosesnya perlahan sebab usus perlu masa untuk pulih. Yang paling penting ialah ikut jadual susu khas, jangan skip feeding, pantau najis dan cirit-birit, serta ikut arahan doktor. Dengan rawatan yang tepat, anak boleh kembali aktif dan sihat seperti biasa walaupun mengalami infective enteropathy kanak-kanak.
Detik paling membahagiakan dalam hidup pasangan ini bertukar menjadi episod duka apabila ibu meninggal dunia selepas bersalin, hanya 11 jam selepas bayi perempuan mereka disahkan meninggal dunia. Kisah ini benar-benar meruntun jiwa, menjadi peringatan bahawa setiap kelahiran adalah penuh dengan risiko, dan setiap nyawa adalah pinjaman Allah yang amat berharga.
Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31, menghembuskan nafas terakhir hanya beberapa jam selepas bayi perempuannya yang lahir pramatang tidak dapat diselamatkan. Bayi yang dinanti penuh kasih sayang itu diberi nama Nyra, namun takdir Allah menentukan segalanya.
Menurut suaminya, Akmal Mohtar, 31, kehilangan isteri dan anak dalam tempoh kurang sehari merupakan ujian paling berat sepanjang hidupnya.
“Saya luluh hati apabila diberitahu anak kami sudah tiada. Namun saya cuba tenangkan diri dan beri kekuatan kepada isteri. Tak sangka, tidak lama selepas itu, saya turut kehilangan dia,” katanya sebak.
Akmal yang kini menetap di Semenyih bersama anak sulung mereka, Noah berusia empat tahun, masih terbayang wajah isterinya di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum kesihatan arwah merosot dengan cepat.
“Sebahagian jiwa saya turut pergi bersamanya. Terlalu sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu,” luahnya.
Menurutnya lagi, arwah isterinya sangat teruja menanti kelahiran anak perempuan pertama mereka. Malah, hampir setiap hari mereka berbual mengenai nama Nyra dan kelengkapan bayi yang telah disediakan dengan penuh teliti.
“Dia sangat gembira sepanjang mengandung. Setiap kali bercakap tentang bayi, matanya bercahaya,” kenang Akmal penuh pilu.
Walaupun tiada pesanan terakhir, Akmal berkata kelembutan dan kasih sayang arwah akan terus hidup dalam dirinya dan anak mereka.
“Setiap kali Noah mencari ibunya, hati saya hancur. Tapi saya yakin, Allah menjanjikan syurga untuk wanita yang pergi ketika melahirkan anak. Saya akan terus kuat demi Noah. Dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya cuba jadi ayah dan ibu buatnya,” katanya.
Kisah ibu meninggal selepas bersalin ini mengingatkan kita bahawa setiap kehamilan memerlukan penjagaan rapi, dan setiap detik bersama orang tersayang wajar dihargai sepenuhnya. Ujian kehilangan bukanlah mudah, namun doa dan sokongan daripada orang sekeliling dapat memberi kekuatan.
Semoga roh Nuraderrah dan bayinya ditempatkan di kalangan orang beriman, dan semoga suami serta anak kecil yang ditinggalkan terus tabah menempuh kehidupan ini.