Tuntutlah ilmu hingga ke negara Cina. Itulah kata-kata yang menjadi petanda buat kita yang mana ilmu adalah sesuatu yang tidak akan habis dipelajari walaupun berkurun lama. Mungkin ini semangat yang dipegang oleh para ibu yang sarat membawa bayi dalam kandungan namun masih gigih untuk menhadiri kelas antenatal bagi melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya sebelum mengalami detik cemas penuh bermakna buatnya.
Pelbagai topik yang dibincangkan oleh para doktor bagi memastikan semua peserta dan pasangannya menguatkan mental dan fizikal sebelum mendengar tangisan insan yang ditunggu sembilan bulan lamanya.
Salah satu topik yang menarik untuk diketengahkan ialah, ‘Epidural Analgesia During Labor’ yang disampaikan oleh Pakar Bius DEMC, Dr. Wan Afaf Zainal Abidin.
Melalui perkongsian beliau, ternyata epidural yang dikatakan mempunyai kesan sampingan negatif kepada kesihatan si ibu sebenarnya hanya berlaku jika doktor yang melaksanakan proses bius tersilap menyuntik epidural tersebut ke dalam tulang belakang ibu.
Katanya, untuk mengelakkan perkara seumpama itu, hanya doktor pakar sahaja yang patut dipercayai agar kesilapan yang berlaku dapat diatasi.
“Setiap manusia melakukan kesilapan, namun in sha Allah, dengan pengalaman dan kepakaran yang ada, untuk seorang doktor pakar melakukan kesilapan adalah sangat minimum,” terangnya lagi.
Memberi sedikit fakta mengenai epidural, Dr. Wan memberitahu si ibu tidak akan merasa sakit sehingga selesai bersalin. Ibu tetap berada dalam keadaan terjaga, hanya bahagian bawah badannya yang akan merasai kesan bius epidural berbanding bius yang lain.
“Berbeza dengan bius secara gas dan injection, epidural membolehkan ibu melihat sendiri anak yang bakal dilahirkan kerana mereka tidak tidur sepanjang proses kelahitan tersebut. Apabila kesan ubat bius hilang, badan akan kembali berfungsi seperti normal.
Dr. Wan amat menekankan, epidural adalah untuk wanita yang sudah tidak tahan menahan sakit bersalin namun ’jalan’ masih lagi belum terbuka secukupnya.
“Kalau bukaan baru 1sm tapi si ibu betul-betul tidak mampu bertahan lagi dengan rasa sakit, ketika itu saya akan cadangkan untuk mengambil epidural bagi mengurangkan rasa sakit yang ditanggungnya.
Bagaimanapun, kaedah epidural ini tidak digalakkan bagi para ibu yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung dan pernah mengalami masalah tulang belakang.