Tinggalkan Pengganti Buat Isteri. 6 Tahun Tunggu Zuriat, Tak Sempat Lihat Bayi Lahir

Share

Allah yang mengetahui segala-galanya. Kita hanya mampu merancang namun jika Allah dah takdirkan, reda itu penting. Mungkin kita cakap senang tapi orang yang terpilih melalui ujian ini akan terasa keperitannya.

Siapa sangka penantian suami isteri ini untuk mendapat cahaya mata setelah 6 tahun berkahwin berakhir dengan tragedi pemergian suami setelah terlibat dalam kemalangan selepas dua hari bertarung nyawa di ICU.

Difahamkan mangsa seorang pekerja kilang koma akibat kemalangan, selepas motosikal ditunggang merempuh babi hutan, Jumaat lalu dan dilaporkan meninggal dunia tengah malam (Isnin).

Dikenali sebagai Zulkarnain Mokhtar, berusia 32 tahun, arwah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pada 12.30 malam.

Tak sempat menatap wajah anak sulung

Lebih memilukan, kakak ipar arwah, Mastura Mohd Ali, 39, berkata, Zulkarnain juga tidak sempat menatap wajah anak yang dijangka lahir Ogos depan.

“Sebelum ini arwah sangat teruja untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, tetapi Allah Maha Kuasa dan semoga arwah diizinkan menatap wajah anaknya di syurga kelak…”

Bertarung nyawa selama dua hari, ahli keluarga bagaimana pun reda dengan pemergiaannya kerana ini semua telah ditentukan Tuhan.

Tunggu 6 tahun untuk dapat zuriat

Arwah meninggalkan seorang balu, Nurul Asyikin, 31, guru agama di sekolah rendah agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Bagaimanapun, selepas enam tahun berkahwin Nurul Asyikin disahkan mengandung dan dijangka melahirkan anak sulung mereka tidak lama lagi.

Semua persiapan sambut bayi dah siap

Segala persiapan sudah disediakan untuk menyambut zuriat yang telah lama dinantikan, namun ajal terlebih dahulu menjemput sebelum sempat Zulkarnain dapat menatap wajah anak sulungnya.

Jenazah dibawa pulang ke kediaman ibu bapanya di Tanah Rancangan Felcra Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Cina selepas solat Asar.

Sumber : Harian Metro

Published by
Wan Amalia Mohd Daud