Biasanya ibu bapa beriya nak anak pandai baca seawal mungkin. Tapi macam mana nak suruh anak minat dengan buku.
Bila ada orang kata biasakan bawa anak masuk ke kedai buku rasa macam lawak je tapi ia salah satu faktornya.
Berdasarkan perkongsian dari Ahmad Saifuddin Yusof beliau ada berkongsikan tip bagaimana nak memastikan anak suka buku sejak kecil tanpa perlu dipaksa apabila dah besar.
Tip ini berdasarkan pengalaman peribadi semata-mata.
Pertama : Kertas dan Buku
- Mesti didik sejak bayi lagi. Bagaimana? Dedahkan dengan kertas. Biar anak itu ‘attach’ dengan kertas lebih awal. Tetapi hati-hati kertas juga boleh mencederakan kulit kita.
- Bermain dengan kertas. Ajar anak-anak yang sudah pandai memegang supaya bermain dengan kertas. Bolehlah ibu ayah buat origami ringkas seperti jet, katak dan sebagainya. Ini kelebihan saya boleh buat pelbagai origami termasuk katak, dinasour, pepatung dsbnya.
- Selalu bawa masuk ke kedai buku. Biar anak-anak dapat bau buku. Sensor bau dalam dirinya dapat dibiasakan dengan buku.
- Wujudkan perpustakaan mini di rumah walau anak-anak belum boleh membaca. Buku-buku itu dimuatkan buku ibu ayah. Supaya dia sentiasa terdengar bunyi-bunyi berkaitan buku. Seperti bunyi buku dibelek, bunyi buku jatuh dan sebagainya.
- Ibu ayah kena baca buku walaupun majalah biasa. Tunjukkan contoh kepada anak-anak kecil bahawa membaca buku itu adalah hobi ibu ayah.
Kedua : Tanamkan Sifat Ingin Tahu
- Latih semua deria anak-anak sejak kecil dengan pelbagai perkara.
- Apabila jumpa apa-apa objek yang boleh disentuh, bagi anak itu sentuh. Terutama benda-benda baru diluar rumah. Contohnya, jumpa pokok, sebut ‘pokok’ dan bawakan tangan anak supaya sentuh pokok. Biar anak itu rasa kulit pokok yang menggerutu itu. Atau jumpa daun di pokok, sebut ‘daun’ dan suruh anak sentuh pula supaya dia rasa bentuk pipih daun itu.
- Rangsang bau yang tidak merbahaya. Contohnya bau bunga, daun, buah, sayur dan sebagainya. Biar ada rangsangan bau dan otak akan mencetuskan untuk tahu lebih lagi.
- Berikan informasi yang betul apabila anak tanya. Contohnya anak tengok berita dan dia tanya.
Anak : Siapa itu abah?
Ayah : Itu Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia.
Anak : Perdana Menteri itu apa?
Ayah : Perdana itu maksudnya sangat besar. Menteri itu ketua. Jadi Perdana Menteri Malaysia itu ketua yang paling besar sekali di Malaysia.
Anak : Ooooo
Jangan sesekali menipu berkaitan informasi. Tidak tahu, cakap sahaja tidak tahu dan cari kemudian.
Cubalah, anak-anak akan ‘lapar’ buku setiap minggu.
Sumber: Saifuddin Yusof