Tip Bangun Dari Katil Selepas Caesarean. Mama Kena Ikut 5 Langkah Ini

Share

Kesan kesakitan akibat daripada pembedahan caesarean akan mula dirasai selepas tempoh enam jam anda dibedah.

Kesakitan yang dialami itu menyebabkan anda tidak berupaya untuk membuat apa-apa dengan sendiri seperti kebiasaannya.

Untuk berganjak sedikit daripada pembaringan pun, memerlukan anda memegang sesuatu ataupun bantuan seorang.

Jadi apa yang patut anda lakukan jika mahu bangun dari katil selepas bersalin secara pembedahan caesarean? Tip ini mungkin boleh membantu.

Enam jam selepas pembedahan, anda tidak dibenarkan mengangkat kepala kerana ubat bius masih ada dalam tubuh. Ia mungkin boleh membuatkan anda sakit kepala.

Selepas tempoh enam jam, barulah anda boleh bangun. Ketika ini, anda perlu paksa diri untuk bangun dari katil. Hal ini bagus kerana dapat membantu peredaran darah yang lebih lancar.

Langkah 1

Apabila cuba bangun, mengiring ke sisi kanan atau kiri terlebih dahulu. Gunakan lengan untuk menolak badan ke posisi duduk.

Sokong perut dengan menggunakan tuala yang telah digulung ataupun bantal untuk mengampu bahagian luka pembedahan.

Anda juga boleh gunakan bengkung caesarean untuk rasa lebih selesa. Ia dapat menyokong bahagian luka pembedahan dengan baik dan memudahkan pergerakan anda.

Langkah 2

Bersedia untuk menjatuhkan kaki anda ke bawah dari katil.

Langkah 3

Dengan mengunakan kekuatan tangan, perlahan-lahan bangun sehingga anda berada dalam posisi duduk.

Langkah 4

Stabilkan diri anda dan bernafas dengan baik. Tunggu sekitar satu atau dua minit untuk memastikan anda tidak pening. Jika anda rasa keadaan baik, bangun perlahan-lahan dan mula berdiri.

Langkah 5

Stabilkan diri anda. Jika tiada rasa pening mulakan langkah anda.

Jalan perlahan-lahan. Tegakkan badan walaupun anda rasa sakit di bagagian pembedahan. Jangan lupa untuk ampu perut anda.

Published by
Intan Jastina