Janin yang gugur perlu dikebumikan dan diuruskan dengan cara yang betul, sama seperti jenazah lain. Perkongsian ini memperbetulkan pelbagai pendapat tentang pengurusan janin keguguran.

Keguguran ialah kematian janin dalam kandungan yang berusia kurang dari 24 minggu dalam kandungan ibu. Menguruskan janin yang gugur dan uri sebenarnya ada langkah-langkahnya.

Dua keadaan yang berbeza tetapi langkahnya lebih kurang sama. Cuma bagi uri, tidak perlu permit penguburan.

Pengurusan janin keguguran dan menanam uri perlu diketahui semua. Jadi tidak salah ibu ayah sendiri belajar cara pengurusannya yang tepat.

Ustaz Rafie Zainal berkongsi langkah pengurusan ini bagi memberikan panduan kepada ibu bapa tentang tatacara sebenar pengurusan janin. Katanya ia adalah satu cara mengubati kesedihan kepada kehilangan yang dialami. Ia bermula daripada proses memandikan, mengafankan & menguburkan.

3 LANGKAH MUDAH URUS JANIN KEGUGURAN

Buat ibu dan ayah yang diuji keguguran janin, ubatilah kesedihan kalian dengan menguruskan jasad kecil itu sendiri. Sila ikuti panduan di bawah;

#1. BACA NIAT & RATAKAN AIR

Baca niat, “Sahaja aku mandikan janin ini kerana Allah swt” dan ratakan air bersih di seluruh badan janin.

(Boleh juga ditambah dengan air sabun, cendana dan lain-lain sekadar sunat wangian).

#2. TUTUP DENGAN 3 LAPISAN KAIN, SEHELAI DEMI SEHELAI

Letakkan 3 helai lapisan kain putih dan sedikit kapas sekiranya ada serta 3 utas tali yang dipotong dari helaian kain putih. (Rujuk gambar).

Setelah selesai mandikan janin, letakkan di atas kain tadi dan terus menutupnya sehelai demi sehelai.

 

#3. GALI KUBUR SEDALAM 1 ATAU 2 KAKI

Kubur digali sedalam 1 atau 2 kaki dengan syarat tidak sampai mengeluarkan bau atau dapat digali binatang.

Letakkan jenazah janin tadi dengan kedudukan sama seperti jenazah dewasa, kemudian letakkan papan lahad dan terus dikambus sehingga selesai.

NOTA PENTING UNTUK IBU AYAH 

1)DAPATKAN PERMIT MENGUBUR 

Pastikan ibu ayah mendapatkan ‘Permit Mengubur’ dari pihak Forensik Hospital atau Balai Polis berdekatan. Jika dikebumikan tanpa permit, kemungkinan besar boleh didakwa kerana menyembunyikan kematian.

2)JANIN KEGUGURAN TIDAK PERLU DISOLATKAN

Janin yang mati di dalam perut tidak perlu disolatkan. Sekiranya bayi dilahirkan hidup kemudian baru meninggal dunia, maka wajib solat jenazah ke atasnya.

3)KAEDAH SAMA UNTUK URUS URI, TIDAK PERLU PERMIT PENGUBURAN

Kaedah yang sama juga digunakan untuk menguruskan uri bayi. Cuma untuk tanam uri bayi tidak perlu dapatkan Permit Mengubur.

Sumber: Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia

Tinggalkan Komen