Tempe goreng yang sedap selalunya lembut di dalam dan ada rasa manis. Tempe goreng memang sedap dimakan panas-panas. Boleh ajar anak-anak makan tempe sejak dari kecil lagi. Nak goreng tempe ada caranya, kena tahu tip yang betul. Kalau tak nanti hasilnya keras bila sudah digoreng dan jadi tidak sedap.
INFO TENTANG TEMPE:
*Dengan mengambil 100 gram tempe mampu memenuhi 15 peratus keperluan kalsium dan 65 peratus keperluan fosfot untuk sehari bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
*Tempe dihasilkan daripada proses penapaian kacang soya dan boleh dimakan begitu sahaja atau dimasukkan dalam hidangan makanan.
*Tempe mengandungi karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin B 12, kalsium dan antioksidan.Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mengambil tempe dalam menu harian untuk mendapatkan khasiatnya.
Untuk dapatkan tempe goreng yang dalamnya lembut dan sedap macam makan kacang rebus boleh guna tip yang dikongsi oleh Norizam Salina. Selain itu tip ini juga akan membuatkan tempe jadi garing di luar. Barulah ‘syok’ makan.
1. Potong tempe dan rendam air garam dan kunyit serbuk. Garam tak perlu banyak, secubit sudah cukup untuk naikkan rasa lemak.
2. Rendam selama 30 minit atau satu jam kemudian boleh goreng seperti biasa.
3. Hasilnya tempe goreng akan jadi lembut di dalam, sedap dan manis rasanya macam makan kacang rebus. Cara ini juga buat tempe garing di luar, memang ralit makan.
Tip tempe goreng lagi sedap:
Boleh juga tumbuk sedikit ketumbar dan bawang putih kemudian gaul dengan tempe sebelum digoreng.
Sumber: Norizam Salina dan Kementerian Kesihatan Malaysia