Rambut bayi yang baru lepas dicukur selepas lahir perlu ‘dirangsang’ agar tumbuh lebat dan sihat. Tidak perlu beli ubat-ubatan, cukup hanya menggunakan cara semula jadi agar rambut bayi tumbuh subur dan sihat.
Tip Rangsang Rambut Bayi Tumbuh Lebat
Tidak semua bayi dilahirkan dengan keadaan rambut hitam dan lebat. Kadar pertumbuhan rambut terutama ketika bayi berada dalam kandungan berbeza. Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya rambut bayi dicukur selepas dilahirkan bagi memastikan rambut baru yang tumbuh itu lebih lebat dan sihat.
Namun, terdapat juga bayi yang masih tidak tumbuh rambut walaupun selepas dicukur berbulan-bulan dan ia mungkin mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa. Setiap ibu bapa akan melakukan pelbagai usaha supaya rambut si kecil tersayang tumbuh dengan lebat dan sihat selepas dicukur.
Ini Cara Semula Jadi Boleh Dicuba
MADU DAN MINYAK ZAITUN
Madu bukan saja baik diamalkan dalam diet seharian malah dapat membantu menyihatkan kulit, begitu juga dengan minyak zaitun yang membuat kulit lebih sihat kerana mengandung vitamin E. Kedua bahan semula jadi ini boleh dicampurkan dan dioleskan di bahagian kepala dan biarkan beberapa saat sebelum membilasnya. Disebabkan sifatnya yang semula jadi, selamat untuk mengoleskannya pada rambut atau kulit kepala bayi sekali sehari atau dua hari sekali.
LIDAH BUAYA
Lidah buaya memang bukan lagi rahsia untuk membantu melebatkan rambut, bukan hanya bayi malah ramai orang dewasa yang menggunakan tanaman ini untuk menghitamkan dan melebatkan rambut. Untuk bayi anda, boleh gunakan lidah buaya dengan mengambil isi dan lendirnya saja. Hancurkan isi sehingga berbentuk gel dan oleskan secara merata pada rambut dan kulit kepala bayi. Lakukan berulang setiap minggu, kerana lidah buaya bukan hanya melebatkan malah membantu menghitamkan rambut bayi.
AVOKADO DAN MADU
Avakado dan madu antara bahan semula jadi lain yang memiliki kandungan yang baik untuk membantu melebatkan rambut bayi. Ambil isi buah yang sudah masak, kemudian hancurkan hingga halus seperti pupur. Kemudian, campurkan satu sudu madu asli sebelum dioleskan pada rambut serta kulit kepala bayi. Jangan lupa gunakan penutup kepala agar tidak disentuh atau diusik oleh tangan mereka. Biarkan seketika dan bilas hingga bersih.
MINYAK KELAPA
Sebaik-baiknya, hentikan penggunaan bahan tidak jelas dan berbahaya yang sering kali digunakan dalam minyak rambut. Sebenarnya, pada usia seawal itu, ibu bapa tidak digalakkan menggunakan produk rambut untuk melebatkan rambut bayi kerana dikhuatiri bahan yang terkandung di dalamnya membawa mudarat kepada mereka. Sebaliknya, gunakan saja bahan semula jadi seperti minyak kelapa yang sudah jelas tidak akan membawa bahaya atau merosakkan rambut dan kulit kepala mereka.
PISANG DAN MINYAK ZAITUN
Selain menggunakan madu dan minyak zaitun, anda juga boleh menggunakan pisang dan minyak zaitun. Pisang mengandung bahan mineral seperti kalium yang boleh membuat rambut tumbuh lebih cepat. Sementara campuran dengan minyak zaitun akan membuat folikel rambut lebih kuat dan tumbuh dengan baik. Pisang juga termasuk makanan yang mengandung asid folik dan penting untuk ibu hamil dan bayi.
BUAH KERAS
Buah keras adalah tumbuhan yang bijinya boleh dimanfaatkan sebagai sumber minyak dan rempah. Minyak buah keras memiliki banyak khasiat untuk rambut, menyihatkan, menyuburkan, menguatkan, mencegah rambut rosak serta menghitamkannya secara semula jadi. Sapukan secara rutin minyak buah keras ke kepala anak anda hingga ke hujung rambut.
AIR KELAPA MUDA
Rutin melakukan urutan lembut kepala bayi dengan menggunakan air kelapa muda juga boleh melebatkan rambut mereka. Anda hanya perlu menyediakan air kelapa muda secukupnya, siramkan ke kulit kepala bayi sambil diurut lembut. Untuk hasil yang maksimum lakukan petua ini secara rutin setiap pagi dan petang selepas mandi.
Sumber: kelabmama via Pa & Ma
Kredit foto: Freepik
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI