Si comel ini tular tahun lepas kerana kisahnya menghidap ketumbuhan pada mulut. Seperti yang dapat dilihat, ibu dan ayahnya sangat positif dan tenang berhadapan dengan ujian ini. Setiap perkongsian di media sosial mereka hanya mengenai perkara yang baik-baik.
Kisah Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin ini semakin trending apabila dia ditawarkan untuk mendapatkan rawatan di London, United Kingdom bersama pasukan doktor pakar berpengalaman yang turut melibatkan Dr Amalina Bakri.
Pa&Ma sempat bertanyakan kepada pasangan Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani tentang bagaimana mereka kekal positif biarpun berhadapan dengan ujian ini.
Menurut Safiuddin yang membahasakan dirinya sebagai Walid dengan Ainul, bohonglah jika mereka sentiasa positif. “Waktu awal kami diuji dengan keadaan Ainul begini, sedih juga. Saya bohong kalau kata kami tak pernah bersedih dan rasa down. Bayangkan, dia dilahirkan pra matang kemudian doktor kesan ada ketumbuhan di mulutnya. Jadi kami bersetuju untuk dijalankan pembedahan ke atasnya untuk membuang ketumbuhan itu,” cerita Safiuddin.
Selepas pembedahan itu berjaya, mereka diberitahu pula tentang Ainul yang didapati cleft. Untuk dibedah, Ainul masih kecil. “Ketika kami dah mula happy sebab Ainul berjaya dibedah kemudian dapat tahu dia ada cleft pula. Tak boleh buat apa ketika tu sebab dia masih kecil. Ainul mendapat rawatan di HKL lebih kurang dua bulan sebelum dibenarkan balik dari hospital,” tambah Safiuddin lagi.
Ibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga, selepas sebulan Ainul dibawa pulang ke Melaka untuk rawatan di sini, doktor mendapati ada ketumbuhan lain di dalam mulut Ainul. Memandangkan ketumbuhan itu berada di tempat yang berisiko untuk dibedah, doktor hanya membuat ujian untuk melihat sama ada ketumbuhan itu sejenis kanser atau tidak.
“Memang kami lost. Doktor mengesahkan ketumbuhan itu kanser. Saya dan isteri terdiam waktu diberitahu hal ini. Waktu perjalanan pulang dari hospital, saya dan isteri tidak bercakap sepatah perkataan pun. Saya pandang sebelah sini, dia pandang sebelah sana. Tahu-tahu dengan bunyi esakan menangis. Saya pandang langit, persoalkan hal ini, kenapa ujian berat menimpa saya dan isteri. Kami pasangan muda, Ainul pula anak sulung kami. Kenapa kami yang perlu diuji macam ni?,” kata Safiuddin.
Melihat Ainul kuat berhadapan dengan ujian ini, Safiuddin dan Erwani bertanya pada diri. Kalau Ainul kuat, kenapa tidak mereka? Sejak itu, pasangan ini nekad untuk kuat demi kesihatan anak mereka. Jadi mereka banyak muhasabah diri dan sentiasa reda.
Sejak dari itu, Safiuddin dan Erwani banyak berkongsi tentang Ainul di media sosial dan syukur ramai yang mendoakan kesihatan anak mereka. Apabila ditanyakan tentang perkembangan Ainul, mereka memberitahu perkembangan kesihatan anak mereka semakin baik.
“Dia dah boleh duduk. Ainul juga semakin pandai berkomunikasi. Dah boleh faham apa yang orang cakap dan mampu meluahkan perasaannya. Merajuk pun selalu,” seloroh Safiuddin mengakhiri temu bual bersama Pa&Ma.
*Nantikan kisah ekslusif bayi kesayangan rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah dalam majalah Pa&Ma Edisi Anak Istimewa pada bulan April 2020 ini!*
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI