Setiap pasangan yang berumah tangga pasti menginginkan zuriat buat pengikat kasih. Itulah hadiah paling bermakna buat pasangan suami isteri. Agaknya bagaimana caranya anda memberitahu suami ketika anda mengandungkan anak pertama dahulu?
Terharu melihat video berdurasi lebih kurang seminit ini, ketika seorang isteri membuat kejutan buat suaminya untuk memberitahu yang dia sedang hamil. Video ini dikongsikan di laman Twitter oleh adik kepada wanita dalam video. Jelas kelihatan abang iparnya terkejut dan gembira dengan berita baik ini.
Menurutnya, kakaknya akan membuat ujian kehamilan setiap kali lewat datang haid. Apabila keluar dari tandas, dia hanya akan mengatakan ujian itu dibuat saja-saja sambil tersenyum. Pun begitu, jelas kelihatan matanya dalam kekecewaan. Berkat kesabaran pasangan ini, akhirnya si isteri didapati mengandung.
Sebak pula petang-petang macam ni, bila tengok video ni. Nampak sangat memang suaminya menanti dan berharap sekian lama. Pa&Ma doakan agar proses kehamilan wanita ini dipermudahkan dan melahirkan anak yang sihat dan comel nanti.
Pemergian seorang isteri yang sedang sarat hamil selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan mengelak seekor ular melintas di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang (Jalan Jeniang-Sik-Pedu), 4.30 petang Rabu lalu sangat dirasai oleh ahli keluarganya.
Ini kerana wanita tersebut disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan muka namun bayi dalam kandungannya berjaya diselamatkan selepas mangsa segera dikejarkan ke Hospital Sik.
Due sepatutnya 29 Oktober
Menerusi laporan dari Harian Metro, ibu kepada mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, iaitu Arbaiyah Hamzah, 46 memaklumkan sepatutnya anak perempuannya itu melahirkan anak kedua pada 29 Oktober ini, namun ajal lebih tiba menjemputnya.
“Mengikut jangkaan, arwah sepatutnya melahirkan bayi keduanya pada 29 Oktober ini namun apakan daya, semuanya sudah tertulis apabila dia terbabit dalam kemalangan Rabu lalu namun bayinya berjaya diselamatkan,” kata.
Difahamkan, bayi lelakinya berjaya diselamatkan selepas pembedahan dilakukan dengan segera di Hospital Sik kerana Nor Hidayah telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Keluarga tak tahu arwah pergi jemput adik di sekolah
Tambah, Arbaiyah lagi, anak dan menantunya menetap di Pulau Pinang namun sekitar September, allahyarham telah pulang ke kampung untuk berehat sebelum menanti untuk melahirkan anak keduanya.
Allahyarham juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kemalangan namun dilihat lebih banyak berkurung di dalam bilik dan telah keluar mengambil adiknya dari sekolah tanpa pengetahuan keluarga setelah pulang dari pemeriksaan kandungan di klinik.
“Saya tak nampak langsung perubahan arwah sebelum ini kerana dia banyak duduk dalam bilik.
“Cuma pada hari kejadian kami tidak tahu dia pergi menjemput adik perempuannya berusia 16 tahun pulang dari sekolah selepas selesai membuat pemeriksaan kandungan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.
Tiap kali scan tak nampak jantina anak
Dalam pada itu itu, Allahyarham juga masih tidak tahu tentang jantina anaknya kerana tidak kelihatan jantina bayi setiap kali melakukan imbasan sehinggalah dia meninggal dunia.
“Arwah pun tak tahu jantina anak dalam kandungannya kerana setiap kali dia menjalani imbasan, jantina bayi itu tidak kelihatan.
“Lepas ni makcik akan jaga bayi ini bersama anak sulung arwah, Nur Hanan Askayra Afnan Alif, 2 , sebagai pengubat rindu,” katanya.
Status FB jadi tanda tanya
Bapa kepada wanita terbabit juga sempat menceritakan satu status Facebook yang pernah dibuat oleh anaknya itu pada 2020 dimana mengatakan yang dia akan mendapat seorang anak perempuan dan akan mempunyai dua orang cahaya mata pada tahun 2022 sebelum pergi setelah 44 hari melahirkan.
“Saya tak tahu apa maksud status yang dimuatkan oleh arwah tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Beris Jaya, Sik.
Terjatuh dari tingkat 16 pangsapuri, remaja perempuan 15 tahun maut. Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim,George Town, Pulau Pinang pada awal pagi Ahad.
Mayat remaja berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 1 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Difahamkan, terdapat kesan kelar pada tangan kiri remaja terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan polis mendapati sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara remaja itu dengan kekasihnya.
Menurutnya, siasatan lanjut pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Semakan juga mendapati mangsa merupakan anak tunggal manakala ibu bapanya sudah bercerai dan ketika kejadian ibu keluar membeli barang.
“Siasatan lanjut masih dijalankan, kita minta orang ramai jangan buat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta sensitiviti keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Swee Sake berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Tiada yang lebih meruntun jiwa selain kehilangan anak yang masih kecil, apatah lagi apabila tragedi itu berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat sekolah.
Kes murid darjah empat yang dilaporkan meninggal dunia selepas didakwa menjadi mangsa buli nyata membuka luka mendalam buat ibu bapa, keluarga dan masyarakat.
Tangisan seorang ibu di perkarangan hospital cukup merobek hati, seolah-olah menggambarkan betapa besarnya kehilangan yang tidak mungkin mampu diganti. Lebih memilukan, insiden berlaku di kawasan sekolah tempat di mana anak-anak dihantar untuk menimba ilmu, bukan menanggung derita.
Menurut laporan media, ibu kepada mangsa sukar menyembunyikan perasaan sedihnya. Suasana pilu itu telah mengundang hiba di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.
Terdahulu, ibu bapa murid tahun empat tersebut tiba di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau sekitar jam 12.55 tengah hari.
Sebaik turun dari kenderaan, si ibu dilihat berjalan sambil menangis di bahu suaminya yang kelihatan cuba menenangkan diri sebelum mereka masuk ke ruang menunggu.
Difahamkan, bedah siasat bermula kira-kira jam 1 tengah hari. Namun sehingga jam 4 petang, jenazah masih belum dibawa keluar untuk dituntut keluarga.
Suasana di unit berkenaan semakin sebak apabila pihak sekolah, rakan dan saudara-mara datang menziarahi serta memberikan semangat kepada pasangan itu.
Sementara itu, di Seremban, pihak polis dilihat memasuki sekolah berkenaan di Senawang kira-kira jam 9 pagi. Sehingga jam 12 tengah hari, tiada kenderaan polis dilihat keluar.
Hasil tinjauan di sekolah mendapati sesi persekolahan berjalan seperti biasa, meskipun beberapa kenderaan agensi berkaitan dilihat keluar masuk kawasan tersebut.
Datuk saudara kepada arwah, berusia 44 tahun, memaklumkan bahawa keluarga masih terkesan dengan kejadian tersebut dan tidak bersedia untuk bertemu dengan media. Katanya, arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, seorang kanak-kanak bijak dan sangat disayangi ibu bapa.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian murid itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.