“Tolong Jangan Riba!” Kemalangan Hari-36 Pantang, Car Seat RM100 Lebih Selamatkan Nyawa Bayi

Share

Kemalangan tidak dapat dijangka, berlaku secara tiba-tiba. Meletakkan bayi pada kerusi keselamatan atau car seat adalah wajib. Pengalaman yang dikongsikan ibu perlu dijadikan panduan buat ibu bapa lain.

Perkongsian daripada Puan Norhannie Salleh tentang pengalamannya sendiri terlibat dalam kemalangan benar-benar menyentak sanubari ibu bapa. Info yang dimuatnaik di dalam sebuah kumpulan ibu-ibu di Facebook menerima lebih 8,000 reaksi daripada warganet.

Ia benar-benar membuka  mata ibu bapa tentang kepentingan memasang dengan betul dan meletakkan bayi pada kerusi keselamatan (baby car seat) ketika dalam perjalanan menggunakan kenderaan.

 

LORI DARI ARAH BERTENTANGAN, SEKELIP MATA MEREMPUH

“Maaf sebab saya share gambar kereta, ini kereta kami. Pada hari ke-36 saya berpantang, kami terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Lori masuk laluan bertentangan dan melanggar kereta kami.

DIRI SENDIRI TERCAMPAK KE HADAPAN

“Saya, suami dan baby baru 36 hari (tak habis pantang lagi) dalam perjalanan balik ke rumah.

“Apa yang saya nak share kat sini berapa penting baby car seat. Masa kejadian saya dan anak berada di tempat duduk belakang kereta. Semasa kemalangan saya tercampak ke depan dekat pemandu.”

CAR SEAT BERALIH DARI KIRI KE KANAN KERETA

NorHannie turut menceritakan detik cemas kemalangan di mana kerusi keselamatan yang diduduki bayinya turut beralih dari kiri ke kanan kenderaan. Bagaimana pun, dia berasa amat bersyukur dan lega, tindakan meletakkan si kecil dalam kerusi keselamatan melindunginya dari kecederaan dan lebih menakutkan lagi kehilangan nyawa!

“Manakala anak pula yang berada dalam baby car seat beralih ke sebelah kiri dari kanan.

“Andai kata saya riba anak saya waktu tu, anak saya mungkin dah patah atau meninggal. Suami cedera teruk. Saya & anak cedera ringan. Allah lindungi kami.”

JANGAN PEDULIKAN KATA ORANG

Ibu ini juga turut menyarankan para ibu bapa agar melatih anak sejak kecil lagi untuk diletakkan dalam kerusi keselamatan. Kuatkan azam, kata-kata sinis dan komen negatif daripada orang lain seharusnya diabaikan sama sekali.

Gambar hiasan

“Saya mula letak anak dalam baby car seat selepas 1 minggu lepas keluar hospital. Nak pergi ke klinik check kuning pun saya letak dalam baby car seat. Ramai yang tegur

“Baby kecil lagi dah letak dalam car seat”…

“Nanti baby sakit belakang..”

“Car seat baby pakar dah test beratus kali untuk pastikan keselamatan bayi dalam kenderaan.”

KEJADIAN NAK BERLAKU SEKELIP MATA

Gambar hiasan

NorHannie menyatakan perkongsiannya ini adalah semata-mata untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa lain tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi.

“Kenapa saya share kat sini… Sebab saya yakin ramai ibu-ibu riba anak masa dlam kereta… Ibu-ibu semua, kejadian nak berlaku kejap je.

“Nyawa anak sangat berharga, pakaikanlah baby car seat untk anak-anak kita. Car seat harga RM100 lebih je, nyawa anak bayar 1 juta pun tak mampu pulang kan balik…”

Norhannie ketika dihubungi Pa&Ma turut menyatakan suaminya mengalami patah tulang punggung dalam kemalangan terbabit.

Ibu ini berharap perkongsiannya membuka mata ibu bapa lain untuk memastikan langkah keselamatan diambil oleh ibu bapa kepada si kecil dalam kenderaan dengan meletakkan di dalam kerusi keselamatan atau car seat.

Sumber: Norhannie Salleh

Published by
Azma ML