Jangkitan tonsil atau tonsillitis adalah salah satu jangkitan yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Ia berpunca daripada pelbagai jenis kuman seperti virus Influenza, Parainfluenza dan Rhinovirus ataupun bakteria seperti Streptococcus pneumoniae dan Hemophilus influenza.

Selalunya kuman-kuman tersebut tersebar melalui rembesan sistem pernafasan seperti air liur, hingus dan kahak, menerusi ciuman, bersin dan batuk.

Antara gejala utama tonsillitis adalah demam tinggi, sakit tekak, batuk dan selesema. Kanak-kanak juga boleh mengalami muntah-muntah terutamanya pada fasa awal jangkitan. Apabila tonsil bengkak dan merah, selera makan akan berkurangan disebabkan rasa sakit di bahagian berkenaan.

Ads

Kanak-kanak yang dijangkiti juga akan menjadi kurang aktif kerana kurang selera untuk makan dan minum. Bengkak pada dinding rongga hidung dan tonsil pula akan menyempitkan saluran pernafasan lalu kanak-kanak akan berdengkur semasa tidur.

Jangkitan tonsil mudah dirawat menggunakan antibiotik yang sesuai. Sekiranya dirawat dengan cepat dan tepat, semua gejala akan beransur hilang dan kanak-kanak akan pulih sepenuhnya dalam jangka masa lima hingga tujuh hari.

Ads

Walau bagaimanapun, adakalanya sebahagian kanak-kanak mendapat jangkitan tonsil yang berulang. Antara risiko komplikasi jangkitan tonsil yang berulang adalah tonsillar hypertrophy di mana tonsil kanak-kanak itu kekal bengkak walaupun semasa bebas jangkitan.

Tonsillitis Kena Dirawat Segera. Boleh Pulih Dalam Tujuh Hari
 

Tonsillar hypertrophy merupakan salah satu penyebab masalah Obstructive Sleep Apnea Syndrome (OSAS) iaitu masalah saluran pernafasan menjadi sangat sempit atau tertutup semasa tidur. Kanak-kanak ini akan mengalami masalah tidur yang tidak sempurna. Tidurnya tidak nyenyak kerana asyik terbatuk dan tercungap sehingga mungkin terjaga beberapa kali setiap malam.

Ads

Tidur yang tidak berkualiti menyebabkan anak tidak mendapat rehat yang secukupnya. Hal ini boleh menjejaskan kualiti rutin hariannya. Dalam jangka masa panjang masalah OSAS ini turut berisiko untuk mendatangkan komplikasi kepada fungsi jantung anak pula.

Antara rawatan yang disarankan untuk masalah tonsillar hypertrophy ini adalah tonsillectomy iaitu pembedahan untuk membuang tonsil. Walau bagaimanapun, pesakit disarankan untuk mendapatkan konsultasi dan nasihat daripada Doktor Pakar Bedah Telinga Hidung dan Mulut (ENT) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI