Travel Kit Untuk Kesihatan Anak Kecil. Wajib Ada Jika Nak Bawa Anak Makan Angin

Share

Tiap hujung tahun, pasti ada perancangan cuti untuk bawa anak-anak makan angin. Tak kisahlah dalam atau luar negara. Dalam hal ini, ramai ibu bapa yang ada anak kecil risau takut anak tiba-tiba tak sihat  ataupun anak boleh ikut atau tak jadual perjalanan yang dirancang.

Biasanya keutamaan akan diberikan untuk bawa pakaian yang sesuai dan stok makanan. Namun ibu kena ingat penting juga ubat atau kit kesihatan anak sepanjang percutian. Tertinggal yang ini mungkin agak susah jika anak tiba-tiba sakit.

Perkongsian dari Dr Erna Nadia apa yang perlu ibu sediakan dalam beg travel bila bawa anak bercuti bersama boleh dijadikan panduan.

Kredit Gambar: Dr Erna Nadia

Dari kita membazir beli benda merapu untuk bayi dan anak-anak kecil, baik kita sediakan benda-benda ini

Termometer
Tak kisahlah termometer jenis digital atau manual, carilah termometer yang berkualiti elok. Penting untuk ada termometer di rumah dan di dalam beg travel. Anak anak kecil ni walau aktif dan badan tak panas mana tapi bila periksa, suhu mereka boleh sangat tinggi. Perlu diingatkan bahawa suhu bayi dan anak kecil biasanya mencanak naik sewaktu tengah malam ke pagi hari. Jadi, eloklah jika kerap periksa suhu anak bila anak tidak sihat di waktu tengah malam.

Ubat demam
Pastikan di rumah ada disediakan ubat demam. Ubat demam boleh jadi paracetamol, ibuprofen, acetaminofen. Belilah yang berbentuk air dan ubat punggung. Ubat punggung jika suhu terlampau tinggi melebihi 39. Jika bayi demam, terus beri ubat demam dan mandikan/lap badan bayi kemudian periksa semula suhu badan anak selepas satu jam.

Ubat titis hidung/nasal drops
Jika bayi selesema/batuk, boleh sahaja titiskan ubat ini ke dalam hidung bayi. Ini kerana salur pernafasan bayi adalah sempit berbanding orang dewasa. Biasa kita dengar bayi seakan berdengkur semasa tidur tapi tidurnya lena sahaja. Ini kerana hingus/kahak/air liurnya tersekat di hujung tekak. Bayi tidak pandai nak meludah atau membuang kahak jadi bila kahak berkumpul, ianya menghasilkan bunyi. Berilah ubat titis hidung untuk cairkan kahak bayi. Namun, jika nafas mereka laju, demam, tidak aktif, mempunyai lekuk di leher dan dada, terus bawa berjumpa doktor.

Losyen calimine
Losyen ini boleh digunakan untuk menghilangkan ruam-ruam gatal dibadan anak anda. Untuk demam campak, hfmd pun boleh guna. Ianya tidak mengandungi steroids dan insha Allah selamat untuk bayi.

Zinc oxide cream
Krim ini boleh digunakan untuk kes kes melecet akibat pampers atau kesan seluar. Jangan letakkan bedak pada kawasan melecet. Bedak lagi lagi bedak herba akan menyebabkan kawasan melecet menjadi lebih teruk. Tak perlu letak bedak di celah kangkang bayi pun. Cukuplah sekadar sapu losyen bayi atau baby oil.

Putik kapas/cotton bud
Belilah yang untuk bayi/kanak kanak punya. Tak elok masukkan putik kapas sehingga ke dalam telinga. Cukuplah sekadar cuci di sekeliling luar telinga sahaja selepas mandi kerana telinga kita ini sudah dikurnia Allah dengan fungsi self-cleansing. Bahaya menjolok terlalu ke dalam kerana risau sehingga terkena gegendang telinga yang nipis tu.

Syringe, sudu kecil atau cawan kecil
Ini perlu ada di rumah dan dibersihkan dengan seeloknya untuk memudahkan anda memberikan ubat kepada anak anda. Ubat perlu disukat jadi seeloknya bersihkan seeloknya syringe yang ada ya.

Tongue depressor
Ini adalah alat untuk memeriksa tekak anak. Tak wajib pun untuk ada. Jika anda tidak tahu cara menggunakannya, sebolehnya elakkan. Risau jika anda menjolok terlalu dalam atau tersalah cara. Namun, anda boleh sahaja belajar cara menggunakannya dengan doktor di klinik/hospital.

Torchlight/lampu suluh kecil
Ini guna penting supaya anda boleh memeriksa ke dalam lubang atau rongga badan seperti telinga, hidung, mulut dan juga mata. Tahu sahajalah anak anak kecil memang suka masukkan sesuatu ke dalam mana mana rongga yang ada kerana sifat inovasi mereka yang super kreatif tu hehe.

Baby oil
Ini boleh digunakan untuk bahagian yang kering atau untuk mengurut ngurut anggita badan bayi bila travel jauh. Siapa yang tak suka kena urut kan?

SpO2 detector
Ini adalah alat untuk mengukur tahap oksigen di dalam badan dan biasanya ada sekali fungsi mengira nadi. Tidaklah wajib ada namun ianya bagus untuk anak yang mempunyai masalah paru paru atau jantung. Jika SpO2 kurang dari 95% adalah tidak bagus.

Kain lap
Ini bolehlah termasuk kain napkin atau kain biasa. Sediakam khas untuk kegunaan anak anak sahaja. Bila demam, boleh gunakan kain ini untuk lap badan anak anak anda. Elakkan menggunakan kain buruk atau kain batik yang anda guna. Sharing is not caring in this case. Pastikan bawa kain lap anak ye masa berjalan.

Plaster
Ini juga tidaklah wajib tapi saya suka nasihatkan pesakit saya untuk sediakan juga sebab kita taktahu bila kemalangan akan menimpa. Jika ada luka dan berdarah, bersihkan dahulu luka dengan air biasa, jangan letak apa apa dan terus balut dengan plaster sebelum ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Ini untuk mengelakkan luka tersebut terdedah kepada kekotoran.

Nasal aspirator
Ini adalah alat untuk menyedut hingus di dalam hidung. Elok digunakan selepas anda menitis ubat titis hidung. Namun jangan terlalu kuat ok. Kesian hidung baby.

Rasanya, cukup dulu kot senarai alat alat yang perlu anda sediakan di rumah dan sewaktu berjalan.

Tak perlu membazir membeli sesuatu yang tidak perlu. Pastikan anak anda dalam keadaan selamat dan bersih. Nak jadi ibu bapa ni, yang penting adalah sifat bertanggungjawab dan sabar

Sumber: Dr Erna Nadia

Published by
Wan Amy