Permulaan tahun 2021 menguji sebuah keluarga apabila mereka tujuh beranak disahkan positif Covid-19. Bukan itu sahaja, tujuh lagi ahli keluarga mereka iaitu ibu mertua, adik ipar lelaki, adik ipar perempuan dan suami bersama dua anak serta seorang kakaknya turut disahkan positif Covid-19.
Hadir kenduri kahwin
Semuanya berlaku selepas mereka sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan di Melaka Pindah, Alor Gajah pada 2 Januari lalu.
Berkongsi pengalamannya kepada Sinar Harian, bekas pesakit Covid-19, Mohd Azmi Abu Bakar, 37, berkata, dia bersama isterinya, Siti Hajar, 37, dan lima anak berusia tiga hingga 10 tahun disahkan positif pandemik tersebut pada 9 Januari lalu selepas membuat saringan di Klinik Kesihatan Batu Berendam dan menjalani kuarantin selama 10 hari di Hospital Besar Melaka.
Kontak rapat dengan kakak ipar
Azmi berkata, mereka menyedari menghidap Covid-19 selepas kakak iparnya disahkan positif dan mereka sekeluarga menjadi kontak rapat.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami. Takut, cemas, sedih…semua ada. Ia kerana sebelum itu kami ada bersama kak long (kakak ipar) di rumah dan anak-anak pun bermain bersamanya.
“Sebelum buat saringan, kami semua ada gejala demam, tekak rasa tak selesa dan anak-anak mula mengadu sakit ketika bernafas. Kami akhirnya dipanggil buat saringan. Dua hari selepas itu, kami tujuh beranak bersama ahli keluarga yang lain disahkan positif Covid-19.
“Pada 11 Januari lalu, kami dapat panggilan telefon daripada pihak hospital memaklumkan dua ambulans akan mengambil kami untuk ke hospital dan dikuarantin serta rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Azmi berkata, dia sekeluarga dan ibu mertuanya dibawa ke hospital Melaka, manakala adik ipar lelaki bersama birasnya dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).
Anak Azmi semasa menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat kuarantin Hospital Besar Melaka.
“Adik ipar perempuan saya dan dua anaknya termasuk seorang bayi dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, sementara kakak ipar diminta kuarantin di rumah memandangkan hanya bergejala ringan,” katanya.
Akuinya, sepanjang berada di hospital, mereka dilayan baik oleh doktor dan jururawat serta diberi makanan diet seimbang mengikut keperluan diri pesakit.
Alhamdulillah semua dah beransur sihat
Azmi berkata, selepas mereka sekeluarga menjadi mangsa Covid-19, barulah dia akui virus itu memang bahaya dan perlu dielakkan.
“Bagi saya ia penyakit yang benar wujud dan perlu dijauhi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Yang penting, jangan sesekali kita mengalah dan putus asa apabila disahkan positif Covid-19 kerana jika kita kuat semangat, berdoa dan tidak lemah, Insya-ALLAH kita akan segera pulih.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami sekeluarga, Alhamdulillah kami semakin sihat dan mula menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
ARTIKEL MENARIK [Silapnya Sebelum Ni Sehari 5 Jam Tengok Youtube. Anak Dah 7 Tahun Belum Boleh Baca]
LAGI ARTIKEL MENARIK [Diam-Diam Anak 5 Tahun Order Kasut Frozen 2 Pasang. Siap Beli Sekali Untuk Adik!]
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)