Baru-baru ini tular sebuah video yang dikongsi dan di RT di Twitter mengenai seorang pengasuh yang memukul bayi berusia kurang dari setahun. Video tersebut menunjukkan wanita itu menarik kaki dan beberapa kali menghempas mangsa sehingga menangis kesakitan.
Susulan daripada penularan video tersebut, polis telah menahan pengasuh yang berada dalam video tersebut di sebuh rumah di Tanjong Tokong Lama, Georgetown, Pulau Pinang.
Menurut laporan, polis mengambil keterangan pengasuh wanita selepas video dirinya memukul bayi perempuan berusia enam bulan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata keterangan diambil selepas polis menerima laporan dibuat seorang pekerja sebuah bank pada jam 4.01 petang Isnin lalu, selepas menerima video berkenaan daripada rakannya yang juga kenalan suspek.
Katanya, pengadu memaklumkan tidak mengenali waris bayi malang itu namun kejadian disyaki berlaku di sebuah rumah kampung di kawasan Tanjung Tokong Lama.
Berdasarkan rakaman percakapan yang dibuat pada hari sama, pengadu memaklumkan menerima dua video pendek daripada seorang kenalannya, menunjukkan seorang wanita yang juga pengasuh memukul mangsa.
“Video berdurasi tujuh dan tiga saat itu menunjukkan suspek menggoncang kaki bayi yang sudah boleh meniarap, selain dilihat menampar kepala dan menghentak mangsa ke lantai.
“Dia mengakui bahawa individu dalam video terbabit adalah dirinya. Suspek mengakui bertindak kasar terhadap mangsa tetapi tiada pengakuan bahawa dia mendera mangsa. Dia juga memberitahu tidak ingat bila kejadian itu berlaku.
“Setakat ini polis belum menahan wanita berusia 34 tahun itu tetapi sudah merakam percakapannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Che Zaimani berkata, menurut pengadu, tujuan wanita itu menghantar video berkenaan adalah kerana tidak mahu pengadu menghantar anak ketiganya kepada pelaku di dalam video itu terbabit.
“Pengadu memberitahu, rakannya itu bimbang suspek akan memperlakukan anak pengadu seperti di dalam video terbabit.
“Wanita itu turut memaklumkan tidak pasti bila kejadian itu berlaku dan siapa yang merakam video terbabit, namun ia berkemungkinan terjadi sebulan yang lalu.
Beliau berkata, polis yang merakam percakapan ibu mangsa memaklumkan tidak mengesan sebarang perubahan pada bayinya atau melihat kesan lebam pada mana-mana bahagian badannya.
“Wanita itu juga turut memaklumkan tidak mengesyaki bayi itu didera kerana dia aktif seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Che Zaimani berkata hasil rakaman percakapan dengan doktor yang memeriksa mangsa memaklumkan tidak menemui sebarang kesan penderaan terhadap bayi itu, namun bayi itu dirujuk ke hospital bagi tujuan pemantauan.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Sumber: Berita Harian