
Tumbuk pemandu wanita, anggota tentera tak mengaku bersalah. Seorang anggota tentera yang videonya tular kerana menumbuk seorang wanita di Senawang bulan lalu, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tumbuk Pemandu Wanita, Anggota Tentera Tak Mengaku Bersalah
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Hafiz didakwa dengan sengaja menumbuk kepala seorang wanita berusia 28 tahun menggunakan tangannya.

Kejadian tersebut berlaku pada 29 Mac 2025 sekitar jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon agar jaminan direndahkan memandangkan tertuduh menanggung dua anak kecil, ibu bapa serta isteri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta laporan perubatan lengkap.

Sebelum ini, media melaporkan satu rakaman video tular menunjukkan seorang wanita yang memandu Perodua Axia ditumbuk seorang lelaki di kawasan Taipan Senawang.
Insiden itu dipercayai berlaku kerana lelaki tersebut marah setelah mendakwa anaknya telah dilanggar oleh wanita terbabit semasa melintas jalan.
Lelaki berkenaan kemudian ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Ibu Hamil Maut Dilanggar SUV Di Terowong Menora, Polis Kesan Pemandu!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI