Kelahiran terutama secara pembedahan mempunyai risiko yang tinggi untuk terjadinya pendarahan? Dr Mastura Mohd Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, menjelaskan mengenai komplikasi ini.
Tumpah darah merupakan salah satu komplikasi yang biasa terjadi semasa proses kelahiran. Terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan kebarangkalian terjadinya tumpah darah ini. Ia berkait rapat dengan uri, tahap kesihatan ibu dan permasalahan yang timbul semasa proses kelahiran berlangsung.
Pendarahan semasa proses kelahiran menerusi pembedahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lazimnya bagi wanita hamil, darah akan dihasilkan 50% lebih banyak daripada biasa. Justeru, pendarahan yang normal terjadi semasa pemisahan uri dan dinding rahim atau episiotomi ialah sesuatu yang dijangkakan.
Bagi kelahiran secara caesarean, pendarahan yang lebih banyak dijangkakan akan berlaku. Bagi mempersiapkan diri menghadapi kelahiran, ibu-ibu perlu memahami faktor yang meningkatkan risiko terjadinya pendarahan berlebihan atau tumpah darah. Lebih-lebih lagi bagi kelahiran secara pembedahan caesarean. Terdapat lapan keadaan yang boleh meningkatkan risiko terjadinya pendarahan selepas kelahiran.
- Uri bawah (placenta previa) yang hanya akan disahkan apabila kandungan tujuh bulan ke atas. Keadaan ini terbahagi kepada empat tahap. Hal ini boleh berlaku sekiranya ibu-ibu yang mempunyai parut pada dinding rahim akibat pembedahan, prosedur D&C, kehamilan hasil kaedah IUI atau IVF, ibu mempunyai sejarah uri bawah pada kehamilan sebelum ini atau mempunyai radang pada rahim (endometrisis).
- Uri lekang (placenta abruptio) di mana uri lekang dari dinding rahim lebih awal daripada waktu sepatutnya iaitu hanya dua atau tiga minit sebelum kelahiran. Ia sering terjadi pada ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa hamil, mengalami trauma pada perut, sejarah uri lekang, air ketuban kurang atau pecah awal.
- Uri melekat (placenta accreta/increta/percreta) berlaku apabila berlaku lekatan uri ke dalam otot rahim hingga ada kalanya sehingga pundi kencing dan ia tidak boleh dikeluarkan secara normal selepas bersalin.
- Ibu yang mempunyai tahap HB yang rendah mempunyai risiko pendarahan kerana rahim tidak kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.
- Ibu yang bersalin anak kelima dan ke atas kerana otot rahim kurang elastik dan kuat untuk mengecut kembali.
- Pengembangan rahim yang lebih daripada normal sama ada disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak, atau bayi terlalu besar (4kg ke atas).
- Ibu menghidapi hemofilia atau trombofilia yang menyebabkan kegagalan darah membeku atau berhenti.
- Rahim merekah (uterine rupture) semasa proses bersalin bagi ibu yang melahirkan anak kelima ke atas, pernah melalui caesarean, jarak caesarean kurang daripada 18 bulan atau bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin (obstructed labour).
- Prolonged labour di mana proses kelahiran berlangsung lebih daripada 12 jam (kecuali anak pertama). Ia disebabkan oleh pelvis ibu yang kecil atau bayi terlalu besar dan bukaan serviks yang perlahan. Keadaan ini juga boleh menyebabkan rahim tidak mengecut atau uterine atony selepas bersalin.
Rawatan bagi ibu tumpah darah semasa bersalin
Bagi setiap kelahiran, rahim akan segera mengecut selepas bayi dan uri dikeluarkan. Pengecutan yang kuat ini bertindak menutup salur darah yang terbuka di mana uri bersambung. Namun bagi ibu yang menghadapi tumpah darah, salur darah yang terbuka tidak tertutup kerana rahim yang tidak mengecut.
Bagi keadaan rahim yang tidak mengecut sejurus selepas kelahiran (uterine atony) doktor akan mengambil langkah untuk mempercepatkan proses rahim kembali kepada asal dan menghentikan pendarahan dengan beberapa langkah.
- Mengurut bahagian atas rahim.
- Memberikan suntikan
- Menyusukan bayi secepat mungkin.
- Bagi kes pendarahan yang teruk, pembedahan dilakukan secepat mungkin. Rahim akan diikat supaya ia mengecut lebih cepat.
- Jika usaha ini tidak berjaya menghentikan pendarahan yang boleh mengancam nyawa ibu, pembedahan untuk membuang rahim (hysterectomy) terpaksa dilakukan.
Persediaan bagi ibu berisiko tinggi
Bagi ibu yang menghadapi komplikasi kesihatan sepanjang kehamilan dan mempunyai risiko tinggi untuk mengalami tumpah darah, mereka perlu sentiasa berwaspada. Ambil langkah awal untuk menghadapi proses kelahiran dengan persediaan daripada segi mental dan fizikal.
- Mendapatkan rawatan, pemeriksaan dan pemantauan daripada pakar perbidanan dan sakit puan.
- Memastikan paras hemoglobin adalah pada tahap optimum atau sekurang-kurangnya 11g/dl.
- Bersalin di hospital yang mempunyai kelengkapan dewan bedah yang lengkap dan bank darah.