Tumpah Makanan Kena Marah, Bersepah Kita Bebel. Akhirnya Anak Tidur Dengan Air Mata

Share

Sebagai ibu bapa adakah kita perasan sebenarnya cara kita layan anak itu ada silapnya. Namun kita tak pernah pun fikir hal tersebut.

Jika berterusan anak akan terus memendam rasa dan ini semestinya akan memberi kesan negatif sepanjang perkembangan mereka.

Menurut Konsultan Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar ibu bapa kena faham betul-betul cara mendidik dan menghargai anak agar kesinambungan ikatan kasih sayang sentiasa mempunyai aura positif.

 APA YANG KITA MAHU?

Apabila anak berbohong kita hukum, tetapi pada waktu lain apabila anak bercakap benar kita tidak hargai.

Apabila anak tumpahkan makanan kita marah, tetapi pada waktu lain apabila anak makan dengan tertib kita tidak memuji.

Apabila anak menjerit-jerit kita cubit, tetapi pada waktu lain apabila sopan tutur kata anak kita tidak sebut kebaikannya.

Apabila anak sepahkan mainan atau pakaian kita membebel tetapi pada waktu lain apabila anak cuba kemaskan sedaya upayanya tidak pula kita akui usahanya.

Apabila anak meraung inginkan sesuatu kita jegel marahkan anak tetapi pada waktu lain apabila anak tenang kita langsung tidak memberi belaian tanda gembira.

Apabila anak malas membantu kita merungut tetapi pada waktu lain apabila anak ringan tulang kita membisu kerana anggap itu tanggungjawab anak.

Ayah ibu sekalian…

Pekalah pada usaha anak untuk berbuat kebaikan walaupun sedikit.
Pekalah pada usaha anak untuk berubah walaupun perlahan.
Sebut, puji, akui, dan hargai usaha kecil tersebut.
Nescaya anak akan terus berusaha untuk kekalkan kebaikan itu.
Kerana tidak ada ganjaran yang lebih besar bagi seorang anak selain dari penghargaan dan pengiktirafan daripada ibubapanya sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Published by
Wan Amy