Dapat tahu hamil, hati ibu mana yang tak gembira dan bersyukur. Lagi-lagi kehamilan ini adalah yang sangat ditunggu-tunggu. Namun setiap perjalanan hidup kita itu dah ditentukan oleh Allah.
Namun bila kehamilan ini diharapkan mampu memberi sinar dalam keluarga tetapi diuji dengan ujian lain ketika melahirkan anak mungkin agak sukar. Hanya sokongan dan kata-kata semangat dapat beri kekuatan.
Kisah yang dikongsikan oleh Dr Redza Zainol mengenai salah seorang ibu yang diuji dengan kelahiran anak pramatang setelah 5 tahun menanti zuriat cukup mengambarkan betapa kuatnya seorang wanita bergelar ibu.
Menangis tanpa berkata-kata
Seorang ibu datang melawat anaknya di NICU. Perlahan-lahan dia berjalan masuk ke bilik yang paling kritikal dan kebetulan saya ada di situ.
Dia cuci tangan dan pergi pada anaknya yang baru lahir semalam, pramatang 30 minggu dengan berat cuma 1.1kg.
Itulah kali pertama dia lihat anaknya di NICU.
Walaupun baru sehari lepas pembedahan caesar, dikuatkan juga semangat tu supaya dapat dia lihat anaknya pada hari ini.
Seperti biasa, saya terangkan keadaan bayi pada ibu. Habis saja satu ayat, saya perasan yang ibu ni mula menangis. Saya berhenti dan ambilkan tisu untuk dia.
Dari satu ayat ke satu ayat, mengalir saja air matanya. Sampaikan saya tak tahu ke mana saya patut pandang. Dia cuba senyum tapi saya tahu saya patut berhenti.
“Puan, ada nak tanya apa-apa?”
Dia cuma menggeleng sambil dilap air mata dengan lengan bajunya.
“Saya dah 5 tahun tunggu untuk zuriat ni,” suara ibu ni terketar-ketar menahan tangisan.
“Masa saya mengandung, mak ayah saya betul-betul gembira. Tak sabar nakkan cucu.
Tapi yang paling gembira sebenarnya suami saya. Dia dah tunggu lama sangat.”
Saya pun sambung mendengar sampailah dia kata,
“Tahu-tahu, anak lahir awal. Kecil sangat pula tu.
Saya jaga makan minum, saya tak ada buat kerja berat-berat doktor. Semua kerja di rumah, suami saya yang buat.”
Ada zuriat, tak ada zuriat semua kuasa Allah
Allahuakbar. Waktu tu baru saya tersedar. Ibu ni diselubungi dengan rasa bersalah. Dia fikir dialah punca keluarga tak dapat zuriat. Sekarang dia fikir dialah punca anaknya jadi begini.
Saya pun kata gini.
“Ada zuriat atau tak ada zuriat, bukan kita yang tentukan. Ada yang dapat cepat, ada yang dapat lambat. Semua tu bukan kita yang tentukan.
Bayi pramatang lain dalam bilik ni pun Allah yang tentukan. Ibu mereka semua tak salah walaupun sedikit.”
Dia pandang pada saya. Nampak dia lega sangat. Dia ucap terima kasih dan waktu tu saya boleh rasakan betapa bersungguh-sungguh dia ucapkan kalimat tu.
Besar ujian ibu ni. Ramai ibu yang datang ke wad bayi dalam keadaan begini. Rasa bersalah sebab anaknya lahir awal, ada yang sakit itu dan ini.
Suami orang penting bagi kata semangat
Untuk suami, kalau anda nampak isteri bergelut dengan perasaan bersalah, tawarkan diri untuk mendengar. Jadi prihatin dengan perasaan isteri.
Tak reti juga, sentiasalah beri kata semangat dan ada disamping isteri. Anak lahir awal, tak sikit pun mengurangkan kebaikan awak sebagai ibu. Boleh jadi anak tu lahir awal sebab Allah tahu ibu tu dah bersedia.
Sumber: Dr Redza Zainol