Bila anak-anak sudah tumbuh gigi, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak-anak menjaga gigi yang dikurniakan pada kita. Namun tanpa kita tahu bahawa menjaga gigi juga perlukan ilmu dan cara tepat. Malah hendak meletakkan sedikit sapuan ubat gigi juga perlu ada sukatan yang sepatutnya supaya tidak memudaratkan atau terkurang fungsinya pada anak-anak kita.

Perkongsian Dr Abdul Rahman Fauzi, doktor gigi di Klinik Pergigian Al-Huda Balok ini ibu bapa perlu ambil tahu. Bukan main letak sahaja ubat gigi pada anak, sebaliknya ada sukatan tertentu. Barulah gigi anak terjaga dengan baik.

Setelah saya membaca dengan lebih mendalam dan merujuk kepada pakar, ada sedikit ralat pada tulisan saya sebelum ini tentang kandungan fluorida yang sesuai dalam ubat gigi.

Berapa Jumlah Tepat?

Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh Public Health England yang bertajuk: “Delivering better oral health: An evidence based toolkit for prevention”, saya boleh ringkaskan kepada beberapa perkara tentang penggunaan ubat gigi berfluorida seperti berikut:

1) Penggunaan ubat gigi berfluorida harus dimulakan seawal gigi pertama anak anda tumbuh dengan kandungan fluorida TIDAK KURANG DARIPADA 1000ppm bermula sekitar usia anak 6 bulan sehingga 3 tahun. Kuantiti ubat gigi pula hanya sekadar satu lapisan nipis pada berus gigi.

2) Bagi kanak-kanak yang berumur 3 tahun hingga ke 6 tahun pula, adalah disyorkan menggunakan ubat gigi dengan kandungan fluorida 1000ppm sehingga 1350ppm, dengan kuantiti ubat gigi sebesar kacang pea.

3) Manakala bagi kanak-kanak yang berumur 0-6 tahun tetapi mempunyai masalah karies gigi yang agak teruk disyorkan untuk menggunakan ubat gigi dengan kandungan fluorida 1350ppm-1500ppm, iaitu sama dengan kandungan fluorida yang disyorkan untuk gigi orang dewasa. Kuantiti ubat gigi bagi yang berumur 3 tahun ke bawah ialah sekadar satu lapisan nipis pada berus gigi mana yang berumur 3 tahun ke atas ialah sebesar saiz kacang pea.

Ok doktor. Sekarang jenama apa yang sesuai?

Secara jujurnya, saya belum sempat untuk membuat perbandingan pada semua jenis ubat gigi. Cuma untuk ubat gigi kanak-kanak, jenama K hanya 400ppm, C dan D hanya sekitar 500-600ppm, iaitu agak rendah berbanding 1000ppm yang disyorkan.

Pernah viral sebelum ini ubat gigi kanak-kanak jenama yang dikeluarkan satu pasaraya yang dikatakan bagus untuk kanak-kanak. Ada 3 jenis seingat saya. Untuk umur 0-2 tahun, kandungan fluoridanya ialah 1000ppm manakala untuk 3-5 tahun ialah 1450ppm. Untuk 6 tahun ke atas saya kurang pasti.

Apa yang mengejutkan saya ialah ubat gigi sensitif yang saya guna sekarang kandungannya hanya 1100ppm walaupun sepatutnya untuk gigi orang dewasa sekurang-kurangnya 1350ppm. Saya belum sempat untuk melihat kandungan fluorida dalam ubat gigi jenama-jenama lain. In sha Allah jika ada masa saya akan cuba buat perbandingan yang lebih baik. Jika anda masih mempunyai masalah gigi walaupun anda sudah membersihkan gigi dengan kerap dan bersih, mungkin anda patut periksa ubat gigi yang anda guna.

Apapun jenama pilihan anda, pastikan yang berfluorida. Itulah yang disyorkan oleh pengamal pergigian.

Saya berkongsi di sini hanya untuk tujuan info kesihatan pergigian berdasarkan pembacaan saya dan pemerhatian saya serta tidak berniat untuk mempromosi atau menentukan jenama mana yang terbaik.

Rajin-rajinlah untuk membuat pemeriksaan gigi serta dapatkan nasihat daripada doktor gigi anda.

p/s: Ppm atau part per million ialah unit yang digunakan untuk kandungan fluorida dalam ubat gigi